Tidak perlu bersedih dan putus di atas kematian Pakatan Rakyat – sepatutnya harus ada ketetapan yang lebih kuat serta komitmen untuk terus memburu Impian Malaysia yang inklusif ke arah perpaduan, keadilan, maruah dan kemakmuran buat semua rakyat Malaysia melalui susunan politik yang baru.

Nampaknya ramai yang kecewa dengan kematian Pakatan Rakyat, namun ini bukan alasan untuk merasa sedih dan kecewa di saat sepatutnya wujud ketetapan yang lebih kuat serta komitmen untuk terus memburu Impian Malaysia yang inklusif ke arah perpaduan, keadilan, maruah dan kemakmuran buat semua rakyat Malaysia menjelang pilihanraya umum ke-14.

Meskipun perjuangan politik tujuh tahun Pakatan Rakyat telah berakhir ekoran pelanggaran-pelanggaran serius terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat oleh PAS, kita percaya bahawa impian dan visi ke arah Malaysia baru yang memiliki perpaduan nasional, persefahaman antara kaum dan agama, serta rasa hormat, keadilan, akauntabiliti, urus tadbir yang baik, menamatkan rasuah dan salahguna kuasa, memelihara maruah, mempunyai sistem pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan yang baik serta persekitaran yang selamat untuk semua rakyat Malaysia harus menjadi objektif utama bagi PRU ke-14.

Atas tujuan ini, DAP akan bekerjasama dengan parti-parti politik dan kuasa-kuasa politik yang sependapat, demi membawa muafakat politik baru yang komited terhadap prinsip-prinsip tersebut dan wawasan Impian Malaysia.

Kami di DAP tidak akan bekerjasama dengan pimpinan PAS yang telah mencabul Dasar Bersama Pakatan Rakyat, tetapi bersedia bekerjasama dengan kuasa-kuasa politik dan rakyat Malaysia yang komited terhadap Dasar Bersama tersebut, termasuklah ahli-ahli PAS di pelbagai peringkat yang tidak menolak dan mengabaikan Dasar Bersama tersebut.

DAP tidak ada masa untuk sandiwara politik seperti usul Muktamar PAS yang memutuskan kerjasama dengan DAP dan seruan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamad yang meminta Majlis Syura untuk bertemu segera bagi membincangkan usul Muktamar terbabit, sedangkan Majlis Syura masih belum dibentuk!

Datuk Haron Din sendiri berkata selepas Muktamar bahawa beliau bukan lagi Mursyidul Am PAS sehinggalah Majlis Syura dibentuk semula.

Munculnya rang undang-undang persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan pelaksanaan hudud dalam aturan mesyuarat Parlimen sepanjang dua hari lalu, yang berakhir hari ini adalah isyarat kepada dua perkara:

  1. Hadi diberikan imbalan atas perubahan pendirian politiknya, di mana Umno dibahasakan dengan cara terhormat, manakala DAP dipersetankan dengan bahasa yang kasar di Muktamar PAS, dan
  2. Hadi sudah dipermainkan Umno yang tidak mempunyai niat mahupun kemampuan untuk memberikan sokongan di peringkat nasional mahupun di Parlimen untuk melaksanakan hudud, yang akan secara langsung menimbulkan kemarahan 48 Ahli Parlimen BN di Sabah dan Sarawak, mencetuskan bukan sahaja risiko bagi survival Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri tetapi juga survival dan perpaduan Malaysia.
Lim Kit Siang DAP Parliamentary Leader & MP for Gelang Patah