Terserah kepada Hadi jika beliau mahu membantu memanjangkan jangka hayat Najib sebagai Perdana Menteri di tengah taufan skandal 1MDB, namun pemimpin-pemimpin PAS tidak boleh mengharapkan DAP berdiam diri apabila mereka membuat serangan tidak berasas ke atas DAP
Saya telah menasihatkan para pemimpin DAP untuk tidak mencontohi sikap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali menyerang pemimpin DAP tanpa asas. Saya juga telah menasihatkan para pemimpin DAP untuk sentiasa “berpegang dengan prinsip, menjaga etika, sopan dan jangan sekali-kali menggunakan pembohongan dan pendustaan, memfitnah, atau menggunakan gelaran yang buruk atau memburukkan peribadi sesiapa.”
Terpulang kepada Hadi jika beliau mahu membantu memanjangkan hayat politik Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri di tengah taufan politik skandal 1MDB dan mengecam percubaan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir untuk menjatuhkan Najib sebagai PM (mungkin Hadi boleh juga jelaskan mengapa beliau tidak cuba menyelamatkan Tun Abdullah ketika beliau menerima tekanan yang sama daripada Mahathir selepas pilihan raya umum 2008.
Namun pemimpin PAS tidak boleh mengharapkan para pemimpin DAP berdiam diri apabila mereka membuat serangan tidak berasas terhadap pemimpin DAP seperti yang dilakukan oleh Mustapha di Kuala Terengganu kelmarin.
Mustapha mengulangi dua tuduhannya terhadap pemimpin DAP, iaitu bahawa para pemimpin DAP angkuh serta menuduh DAP menyediakan “perangkap” buat para pemimpin progresif dalam PAS yang tewas dalam pemilihan parti itu baru-baru ini untuk menjadikan Gerakan Harapan Baru (GHB) “proksi” DAP.
Apakah Hadi dan kepimpinan tertinggi PAS ingin menafikan bahawa sejurus selepas Pilihanraya Umum ke-13, pemimpin PAS telah meminta persetujuan DAP supaya Hadi diberikan tempat di sebelah Ketua Pembangkang di Parlimen walaupun jumlah kerusi parlimen PAS adalah yang terkecil, iaitu 21 kerusi berbanding 380 kerusi DAP dan 30 kerusi PKR.
Tidakkah benar juga bahawa tanpa berfikir panjang saya telah bersetuju agar Hadi ditempatkan di kerusi kedua pembangkang itu di Parlimen – sesuatu yang tidak mungkin dilakukan jika DAP “angkuh” atau “chauvinistik” seperti yang kini kerap dituduh oleh kepimpinan Hadi terhadap DAP?
Selain itu, Mustapha juga adalah “saksi mata” penghinaan yang dilakukan Hadi terhadap Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim di Terengganu sewaktu krisis Menteri besar Selangor Ogos tahun lalu.
Tidakkah bekas Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata benar apabila beliau menceritakan perkara mengejutkan yang telah berlaku dalam pertemuan antara Anwar dan Hadi itu? Saya masih merasa terkejut dan marah mendengar tentang kejadian itu kerana DAP yang telah memujuk Anwar yang ketika itu berat hati untuk pergi menemui Hadi di Terengganu bagi merungkai kebuntuan yang ditimbulkan PAS dalam krisis Menteri Besar Selangor.
Sewaktu krisis Menteri Besar Selangor itu, Hadi bukan saja mengaibkan Anwar tetapi juga Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kerana beliau seorang wanita.
Menyedihkan apabila Mustapha masih bermain politik pembohongan dan tidak jujur dengan terus menyebarkan tuduhan bahawa para pemimpin progresif PAS dalam GHB hanyalah “proksi” DAP.
Sebelum Pakatan Rakyat dibunuh oleh pemimpin PAS, parti itu telah dituduh oleh propagandis dan cybertrooper UMNO sebagai proksi DAP, sepertimana DAP dituduh oleh MCA dan Gerakan sebagai boneka dan kuli PAS.
Pemimpin PAS tidak pernah menjadi proksi DAP, sepertimana pemimpin DAP tidak pernah menjadi boneka dan kuli PAS.
Mengapa Mustapha menggunakan taktik yang sama seperti digunakan propagandis dan cybertrooper UMNO untuk mencemarkan integriti dan sifat para pemimpin progresif PAS yang mereka itu tentunya lebih lama Mustapha kenal berbanding mana-mana jua pemimpin DAP?
Apakah kerana kita bercerai jalan politik apa saja taktik tidak bermoral, bertentangan dengan agama, dan tidak berprinsip, termasuk menyebarkan pembohongan dan pendustaan, boleh digunakan terhadap lawan?
Sudah tentu ini bukan ajaran Islam atau apa jua agama dalam negara ini. Ia adalah perbuatan tidak bermoral dan tidak beretika.
Mungkin ini salah satu sebab mengapa Pakatan Rakyat berkubur, iaitu apabila pemimpin PAS tidak bersedia untuk menjadi pemimpin politik yang boleh dipercayai, setia, dan komited dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan prinsip operasi secara muafakat Pakatan Rakyat.
Gabungan politik baru untuk menggantikan Pakatan Rakyat, sama ada dinamakan sebagai Pakatan Rakyat 2.0 atau apa saja nama, mestilah didasarkan pada prinsip dan matlamat politik bersama yang boleh menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara gagal lantaran rasuah yang bermaharajalela, ketidakadilan sosioekonomi dan kegagalan urus tadbir, bukan cuma satu pakatan oportunistik untuk menangguk laba daripada kedudukan di Putrajaya.
Saya masih ingat sewaktu menyampaikan ucapan di sebuah forum anjuran PAS di Melaka 15 tahun lalu, pada Jun 2000, saya telah mengemukakan pertanyaan berikut:
- Apakah PAS serasi dengan demokrasi.
- Apakah PAS serasi dengan pluralism esok.
- Apakah PAS serasi dengan hak asasi.
- Apakah PAS serasi dengan kepelbagaian budaya.
- Apakah PAS serasi dengan hak-hak wanita, prinsip kesetaraan untuk wanita, termasuk hak wanita untuk memegang jawatan awam dan terlibat dalam kehidupan awam.
- Apakah PAS serasi dengan pembangunan dan kemodenan.
Ketika Hadi dan kepimpinan PAS berpaling tadah daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat, mereka seolah-olah memberikan jawapan “tidak” kepada semua pertanyaan yang sama kemukakan 15 tahun lalu itu.
PAS dan DAP berpisah dengan berkuburnya Pakatan Rakyat kerana PAS berulang kali mencabul Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan kerana Hadi meminggirkan prinsip muafakat Pakatan, kerana beliau mahu menggunakan kuasa veto ke atas keputusan yang disepakati sebulat suara oleh Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat, walaupun mesyuarat ketika itu dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
Untuk menangani perbezaan antara kita, marilah kita guna akal dan hujah, bukan pembohongan dan pendustaan.