Empat pembohongan yang disebarkan oleh proksi dan tentera siber Umno tentang DAP dan isu ‘undi ketiga’ sepanjang satu minggu ini yang mesti dipatahkan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengarahkan pihak polis untuk menyiasat seorang pengguna laman Twitter kerana mendakwa bahawa kehilangan pesawat MH370 adalah satu konspirasi dan bukannya kemalangan.
Dalam SMS kepada Malaysiakini, Khalid menyifatkan mesej pengguna twitter itu sebagai berniat jahat dan meresahkan.
“Kita sedang cuba menenangkan waris. Jadi jika tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi dengan MH370, jangan celupar dan berkata sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak disokong dengan bukti-bukti” katanya. (We are trying to calm down the next-of-kin. So if you don't know what's really going on with MH370, don’t just shoot your mouth off and say something senseless which is uncorroborated by evidence.)
Pada jam 11.12 pagi hari ini, seorang pengguna twitter telah menghantar tweet kepada saya, mendakwa bahawa sayalah punca rusuhan kaum 13 Mei, dan pada 12 Mei 1969 kononnya saya telah berkata, “Melayu Balik Kampong. Melayu sekarang tiada kuasa. Sekarang kita Cina sudah control.”
Ini adalah satu penipuan dan pembohongan kerana saya tidak berada di Kuala Lumpur pada 12 Mei 1969. Malah saya tidak berada di Kuala Lumpur antara 11 hingga 13 Mei 1969 seperti yang boleh dibuktikan oleh rekod-rekod Cawangan Khas.
Tweet yang jahat ini bukanlah kali pertama, tetapi merupakan yang terbaru dalam lambakan pembohongan mengenai pemimpin DAP oleh tentera siber Umno yang cuba mencetuskan kebencian, sikap tidak toleran dan ekstremisme yang akan membinasakan fabrik masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama sekiranya tidak diambil tindakan.
Khalid tidak boleh mengabaikan tweet yang begitu bahaya kerana saya telah pun mengecam muslihat dan salahguna media sosial secara pengecut beberapa kali sebelum ini.
Kenapa Khalid tidak mengarahkan pihak polis untuk menyiasat pengguna Twitter dari di kalangan tentera siber Umno yang hanya bertujuan menyebarkan penipuan, kebencian dan ekstremisme di Malaysia?
Adakah Khalid mahu saya sendiri mengemukakan bukti-bukti tweet jahat ini sebelum beliau boleh mengambil tindakan?
Wujud satu fenomena pelik sepanjang minggu lalu di kalangan proksi Umno dan tentera sibernya sejak kenyataan mengejutkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan boleh mengakibatkan tragedi rusuhan kaum 13 Mei berulang kembali.
Ini diikuti oleh serangan yang sistematik dan tersusun ke atas pemimpin DAP melalui media sosial oleh proksi dan tentera siber Umno.
Sepanjang minggu lalu, proksi-proksi Umno dan tentera sibernya telah menyebarkan empat penipuan mengenai DAP dan isu ‘undi ketiga’ yang mesti dipatahkan.
PEMBOHONGAN PERTAMA adalah dakwaan mereka bahawa DAP cuba mendapatkan kawalan penuh ke atas negara melalui pengembalian undi ketiga, dengan mendakwa bahawa adalah rampasan kuasa oleh kaum Cina pasca PRU ke-13 yang merugikan orang Melayu - malah mendakwa bahawa DAP sudah pun mempunyai kelebihan untuk melakukannya kerana 60 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri dalam negara telahpun dikuasai DAP.
Penipuan ini boleh didedahkan sebagai sangat mengarut dan merepek sekiranya menggunakan pertimbangan akal, kerana ia mempunyai tiga kesalahan besar -
- DAP tidak menguasai 60% kerusi DUN, kerana ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat DAP, PKR dan PAS tidak menang 50% pun daripada jumlah kerusi DUN dalam PRU ke-13. Jumlah bilangan dan peratus kerusi DUN yang dimenangi parti-parti Pakatan dalam PRU ke-13 adalah 229 kerusi atau 45% daripada jumlah besar 505 kerusi DUN di dalam negara.
- DAP tidak pernah menjadi parti untuk orang Cina atai sesebuah kaum atau agama, kerana sejak penubuhannya 49 tahun lalu, DAP terus komited kepada tujuan untuk menjadi parti untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Malah, DAP adalah parti politik pan-Malaysia yang pertama di Malaysia, dengan cawangan di setiap negeri.
- Pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan telah menjadi objektif DAP sejak ia ditubuhkan pada tahun 1966. Saya telah membuat sekurang-kurangnya dua ucaptama di Parlimen mengenai pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan sepanjang tiga tahun pembukaan semula Parlimen pada 1971 hingga 1974, penggal pertama saya dilantik menjadi Ahli Parlimen.
PENIPUAN KEDUA - pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan akan menguntungkan orang Cina dan merugikan orang Melayu, sambil mengabaikan penstrukturan semula dan proses urbanisasi Melayu dalam masa lima dekad yang lampau, menyebabkan Malaysia mempunyai 148 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang 90% daripadanya mempunyai majoriti Melayu lebih 50% daripada populasi, manakala hanya dua atau tiga peratus daripada 148 PBT itu mempunyai majoriti Cina, dan baki 13 lagi dengan populasi bercampur-campur - tujuh darinya dominan Cina dan enam lagi dominan Melayu.
PENIPUAN KETIGA kononnya DAP ‘komunis’ dan ‘cauvinis’ kerana mahukan pilihanraya kerajaan tempatan. Pilihanraya kerajaan tempatan turut dianjurkan di Indonesia, Turki dan Iran. Adakah proksi-proksi dan tentera siber Umno ini mahu mengatakan bahawa presiden-presiden Jokowi dan Erdogan, serta bekas presiden Iran Ahmadinejad atau Indonesia, Turki dan Iran sebagai ‘komunis’ dan ‘cauvinis’?
PENIPUAN KEEMPAT bahawa DAP telah bertindak melulu dan secara bersendirian dalam menuntut supaya undi ketiga dikembalikan, melanggar Dasar Bersama Pakatan Rakyat, padahal sebenarnya pengembalian undi ketiga wujud di kedua-dua Manifesto Kebangsaan Pakatan Rakyat dan manifesto Pakatan Rakyat Selangor sewaktu PRU ke-13.
Pada bulan Mac 2010, Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang telah menulis surat secara berasingan atas nama Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat masing-masing kepada Suruhanjaya Pilihan Raya meminta supaya ia mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan di negeri masing-masing, yang kemudian dibantah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kesemua rakyat Malaysia yang percaya bahawa politik baru yang jujur dan benar mesti membantah politik penipuan, pembohongan dan kebencian, serta mesti membantu untuk mendedahkan dan mematahkan keempat-empat pembohongan mengenai pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan ini yang sedang cuba disebarkan dengan sedaya upaya oleh proksi dan tentera siber Umno sepanjang satu minggu lalu.