Soalan “Mana Menteri Pengangkutan dan Perdana Menteri?” menggambarkan rintihan kekecewaan dan kemarahan oleh keluarga mangsa-mangsa 239 anak kapal dan penumpang MH370 terhadap ketidakcekapan, sikap tidak sensitif dan tiada rasa hormat yang ditunjukkan kepada mereka oleh pihak berkuasa Malaysia

Soalan “Mana Menteri Pengangkutan dan Perdana Menteri?” menggambarkan rintihan kekecewaan dan kemarahan oleh keluarga mangsa-mangsa 239 anak kapal dan penumpang MH370 terhadap ketidakcekapan, sikap tidak sensitif dan tiada rasa hormat yang ditunjukkan kepada mereka oleh pihak berkuasa Malaysia.

Tidak ada jawapan kepada kemarahan yang ditonjolkan seorang ahli keluarga yang berkata: “Mereka tidak berani untuk mengumumkannya di hadapan kami,” kerana itulah kebenarannya.

Jelas bahawa pihak berkuasa Malaysia belum mengambil pelajaran daripada siri kecuaian dan kegagalan dalam salah urus tragedi MH370 tahun sejak kehilangan pesawat MAS itu pada 8 Mac tahun lalu, terutamanya bagaimana untuk melayani keluarga mangsa yang sedang bersedih dengan rasa hormat, sama ada berkaitan perkembangan terkini mengenai pesawat yang hilang itu mahupun perancangan atau niat kerajaan.

Kenapa pihak berkuasa tidak memaklumkan atau berunding terlebih dahulu dengan pihak keluarga mangsa sebelum membuat sebarang pengumuman semalam bahawa MH370 adalah satu ‘kemalangan’ dan kesemua 239 penumpang serta anak kapal dipercayai telah meninggal dunia?

Lebih teruk lagi, pihak berkuasa telah melakukan satu permainan kejar mengejar dengan keluarga mangsa yang telah cuba mendapatkan maklumat tentang pengumuman tersebut sejak 29 Januari, tetapi mereka yang bertanggungjawab tidak mahu memberitahu mereka apa-apa walaupun pihak berkuasa sebenarnya merancang untuk mengumumkannya; dan kemudian membatalkan pula sidang media yang telah dijadualkan semalam apabila ahli keluarga juga telah turut hadir seterusnya Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman membuat pengumuman tersebut dalam siaran langsung yang dibuat secara tertutup tanpa kehadiran media atau waris mangsa.

Semua ini bukanlah amalan terbaik dalam pengurusan nahas dan bencana, dan kita diingatkan pula tentang kegagalan pengurusan bencana dalam musibah banjir terburuk dalam sejarah Malaysia yang baru sahaja berlaku bulan lalu.

Kerisauan dan ketakutan utama waris dan keluarga mangsa ialah pihak berkuasa Malaysia, terutamanya Jabatan Penerbangan Awam, cuba melarikan diri daripada tanggungjawab ke atas tragedi MH370 dan sedang mengambil langkah-langkah permulaan untuk mengakhiri pencarian pesawat yang hilang tersebut.

Ketiadaan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan hanya menambah lagi kebimbangan mereka bahawa pihak berkuasa bakal melepaskan tangan daripada tragedi tersebut.

Bagaimana boleh Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan boleh memberikan ahli keluarga mangsa, negara dan dunia – kerana waris mangsa juga terdiri daripada warga berbilang negara – jaminan yang boleh dipercayai bahawa kerajaan Malaysia tidak akan putus asa mencari pesawat yang hilang itu?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah