Pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan merupakan isu DAP sewaktu pilihanraya kecil Segamat Utara pada Oktober 1968, di mana Musa Hitam pertama kali dilantik sebagai Ahli Parlimen

Hafidz Baharom, seorang pengulas di The Malaysian Insider dalam rencananya bertanya:

“Kenapa tiba-tiba DAP bercakap tentang pilihanraya kerajaan tempatan. Adakah mereka tidak lagi mempunyai kawan-kawan di dalam NGO untuk diletakkan di dalam majlis bandaran?

“Sejujurnya, aturan masa untuk gesaan mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan ini sangat meragukan, terutamanya di saat separuh daripada negara sedang cuba untuk pulih daripada bencana banjir; ‘non-krisis’ ekonomi, dan sebuah kerajaan yang sedang cuba mengurangkan perbelanjaan”.

Saya sangat bersetuju dengan Hafidz bahawa pada ketika “separuh daripada negara sedang cuba untuk pulih daripada bencana banjir; ‘non-krisis’ ekonomi, dan sebuah kerajaan yang sedang cuba mengurangkan perbelanjaan”, adalah amat meragukan untuk DAP “tiba-tiba sahaja… bercakap tentang pilihanraya kerajaan tempatan”.

Cumanya DAP bukan ‘tiba-tiba’ sahaja bercakap tentang pilihanraya kerajaan tempatan di saat dan ketika negara sedang cuba pulih daripada bencana banjir terburuk dalam sejarah.

Pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan untuk memberi semula undi ketiga kepada rakyat Malaysia telah menjadi objektif DAP sejak penubuhannya hampir lima tahun lalu, tetapi dalam beberapa bulan kebelakangan ini, DAP tidak menimbulkan isu pengembalian undi ketiga; ia hanya timbul selepas kenyataan penuh kontroversi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan boleh mengakibatkan berlakunya rusuhan kaum seperti 13 Mei.

Pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan merupakan isu DAP sewaktu pilihanraya kecil Segamat Utara di Johor pada Oktober 1968, di mana Tun Musa Hitam pertama kali dilantik sebagai Ahli Parlimen – beliau kemudiannya menaiki tangga politik dan menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum menjadi mangsa pertama Tun Dr Mahathir, mengakibatkan Musa terkeluar daripada politik arus perdana.

Melihat kembali rekod-rekod lama sama, inilah yang telah saya sebut dalam ucapan di sebuah rapat umum pilihanraya Segamat Utara, di Buloh Kasap pada 15 Oktober 1968:

“Apabila kerajaan menggantung pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan pada bulan Mac 1965, di tengah-tengah konfrontasi Indonesia, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman memberi jaminan kepada Parlimen dan negara bahawa apabila keadaan telah kembali aman, pilihanraya kerajaan tempatan akan diadakan.

“Tunku dan Perikatan telah mengingkari janji mereka kepada negara.

“Konfrontasi Indonesia telah berakhir selama tiga tahun, namun pilihanraya kerajaan tempatan masih lagi ditangguh.

“Bagi menjustifikasi penangguhan berterusan pilihanraya kerajaan tempatan, kerajaan berkata bahawa ia sedang menantikan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap mekanisme majlis kerajaan tempatan diketuai Datuk Athi Nahappan, Naib Presiden MIC.

“Ketika Suruhanjaya ini ditubuhkan, semua orang menyangka bahawa ia bertujuan menangguhkan kembalinya pilihanraya kerajaan tempatan kepada kawalan demokratik pembayar cukai. Kerajaan telah berjaya melakukan ini selama tiga tahun dan tiada siapa tahu untuk berapa lama lagi.

“Rakyat dijanjikan, melalui Tunku, Khaw Khai Boh dan Datuk Athi Nahappan sendiri, bahawa laporan tersebut akan keluar, mulanya pada Disember 1966, kemudian awal 1967, kemudian pertengahan 1967, hujung 1967, awal 1968 dan seterusnya.

“Tetapi sehingga hari ini, laporan tersebut kekal suatu misteri.

“Kerajaan Perikatan wajar mempertimbangkan secara serius untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat apa yang telah terjadi kepada laporan Athi Nahappan.

“Tidak syak lagi bahawa penangguhan ini adalah bermotivasikan pertimbangan politik – Perikatan takut untuk mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan, kerana mereka tahu di pekan-pekan seperti Segamat, Perikatan akan kalah teruk di tangan pihak pembangkang”.

Ucapan untuk mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan tersebut saya buat pada 47 tahun lalu, bukan baru-baru ini.

Malah, dalam ucapan saya di DAP Cawangan Pantai di Selangor pada 7 Mei 1968, saya menyeru supaya pendemokrasian dilakukan pada lima perkara, “PENDEMOKRASIAN kerajaan tempatan dengan melakukan pilihanraya kerajaan tempatan dengan segera” sambil menekankan bahawa “penangguhan pilihanraya membantutkan demokrasi akar umbi, yang menjadi mata air pendidikan politik untuk penduduk kampung dan bandar tentang makna dan fungsi proses demokratik.”

Hujah saya untuk mengembalikan undi ketiga, untuk menyemai demokrasi akar umbi di kampung dan bandar, kekal relevan sehingga hari ini.

Pada ketika ini terdapat 148 pihak berkuasa tempatan di Malaysia yang terdiri daripada tiga Dewan Bandaraya, 9 Majlis Bandaraya, 37 Majlis Perbandaran dan 99 Majlis Daerah.

Sekiranya setiap PBT mempunyai 25 ahli majlis yang dilantik jika undi ketiga dikembalikan, ini bermakna akan terdapat sejumlah 3,700 ahli majlis yang dilantik di negara ini.

Sekiranya Pakatan Rakyat mempunyai sebarang harapan untuk menawan Putrajaya pada PRU ke-14 yang bakal diadakan dalam masa kurang tiga tahun sahaja lagi, Pakatan mesti berkeyakinan untuk memenangi 60-70% kerusi ahli majlis, bermakna 2,200 ke 2,600 ahli majlis Pakatan harus dilantik – atau setiap parti Pakatan mempunyai 740 ke 900 ahli majlis, yang akan mendapat pengalaman berguna sebagai pemimpin akar umbi, dan siapa tahu, salah seorang daripada mereka boleh menjadi pemimpin akan datang, sepertimana Jokowi di Indonesia, Erdogan di Turki atau Ahmadinejad di Iran.

Berdasarkan bancian 2010, daripada 148 pihak berkuasa tempatan di Malaysia 89.2% atau 132 kawasan mempunyai majoriti Melayu melebihi 50% daripada populasi, hanya dua atau tiga peratus daripadanya mempunyai majoriti Cina, dengan baki 13 lagi dengan kaum bercampur-campur, yang tujuh daripadanya dominan Cina dan enam lagi dominan Melayu.

Daripada pecahan 148 PBT, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan adalah negeri-negeri di mana ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat akan mendapat keuntungan jika diadakan pilihanraya kerajaan tempatan.

Sebelas daripada 15 PBT di Johor mempunyai majoriti Melayu, iaitu Pasir Gudang (91.4%) Mersing (77.5%) Kota Tinggi (74.6%) Tangkak (59.8%) Pontian (58.7%) Yong Peng (56.7%) Simpang Renggam (55.9%) Johor Bahru (54.1%) Muar (54.0%) dan Kulai (50.2%).

Bagi PBT dengan populasi kaum bercampur-campur, dua daripadanya dominan Melayu iaitu Kluang (Melayu 47.1% Cina 42.6% India 9.9% Lain-lain 0.5%) dan Segamat (Melayu 49.9% Cina 43.1% India 6.6% lain-lain 0.4%), manakala dua lagi dominan Cina iaitu Johor Bahru Tengah (Cina 47.2%, Melayu 38.8% India 13.4% lain-lain 0.6%) dan Labis (Cina 42.4% Melayu 39.2% India 18.2% lain-lain 0.2%).

Tujuh daripada lapan PBT di Negeri Sembilan mempunyai majoriti Melayu yang jelas – Rembau (81.1%) Kuala Pular (72.7%) Nilai (63.2%) Jempol (58%) Jelebu (59.5%) Port Dickson (52.4%) dan Seremban (50.9%). Tampin adalah satu-satunya PBT di negeri itu dengan populasi bercampur-campur yang dominan Melayu, di mana Melayu 49.6% Cina 31.8% India 18.2% dan lain-lain 0.3%.

Kedua-dua PBT di Melaka mempunyai majoriti Melayu – Alor Gajah (77.5%) dan Melaka Bandaraya Bersejarah (60.6%).

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah