Kabinet Malaysia barangkali yang paling teruk dalam sejarah – bertindak seperti tiga kera yang punya mata tetapi tidak melihat, punya telinga tetapi tidak mendengar, dan punya mulut tetapi tidak berkata-kata
Kabinet Malaysia edisi 2015 barangkali merupakan Kabinet paling teruk dalam sejarah 58 tahun negara – bertindak seperti tiga kera yang punya mata tetapi tidak melihat, punya telinga tetapi tidak mendengar, dan punya mulut tetapi tidak berkata-kata.
Adakah Kabinet telah menegur dan membantah kenyataan cuai dan tidak bertanggungjawab Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan bahwa pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan boleh mengakibatkan polarisasi kaum bertambah buruk ketika menyokong kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sama pelik, kononnya pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan boleh mengakibatkan berulangnya rusuhan kaum 13 Mei.
Abdul Rahman adalah Menteri Kerajaan Tempatan paling tidak bertanggungjawab dalam sejarah negara kerana tidak ada menteri kerajaan tempatan lain yang pernah membuat kenyataan begini dalam tempoh lima puluh tahun sejak pilihanraya kerajaan tempatan digantung pada bulan Mac 1965 atas alasan ancaman Konfrontasi Indonesia.
Pun begitu tiada sesiapa di dalam Kabinet berani berhadapan dengannya dan mencadangkan kepada Kabinet supaya beliau ditegur dan kemudian menjauhkan diri daripada kenyataan tidak bertanggungjawab dan cuai oleh Menteri Kerajaan Tempatan itu mengenai pilihanraya kerajaan tempatan.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Kabinet yang sebelum ini sebagai tidak berkualiti dan tidak memuaskan, manakala bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin pula telah memperlihatkan rasa meluatnya terhadap apa yang disifatkannya sebagai menteri-menteri kayu.
Namun Menteri-menteri Kabinet sekarang bukan sahaja tidak berkualiti atau ‘kayu’ apabila mereka langsung tidak peduli terhadap demikian banyak perkembangan di dalam negara, seperti:
- Rasional tidak bertanggungjawab Abdul Rahman mengenai polarisasi kaum yang akan bertambah buruk sekiranya undi ketiga dikembalikan,
- Pelanggaran tatasusila seorang menteri, kod etika malah peruntukan Akta Rahsia Rasmi oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, apabila menulis surat kepada FBI bagi menjamin integriti karakter Paul Phua yang didakwa seorang raja judi dan sedang dibicarakan di Las Vegas, Nevada atas tuduhan judi haram, menyanggah kenyataan polis kepada pihak FBI – tanpa izin dan makluman Ketua Polis Negara, Kementerian Luar, Kabinet mahupun Perdana Menteri.
- Siri tindakan terhadap mahasiswa dan ahli akademik, seperti keengganan untuk memperbaharui kontrak timbalan naib canselor Universiti Malaya Prof. Dr. Mohd Hamdi Abdul Shukor kerana keengganannya menyokong Umno dan tindakan menghukum pimpinan mahasiswa UM8 di Universiti Malaya kerana mengaturkan pidato politik, sedangkan pada masa yang sama standard pendidikan Malaysia di peringkat rendah, menengah, dan tertiari terus merosot.
- Tindakan berterusan membungkam hak bersuara, dengan contoh terbaru serbuan polis ke atas kartunis Malaysiakini Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar dalam siasatan polis di bawah Akta Hasutan – menunjukkan proses pendakwaan terpilih tanpa rasa bersalah oleh Peguam Negara dan penyiasatan terpilih di bawah Akta Hasutan, yang menarik kebimbangan beberapa negara dan organisasi mengenai pelanggaran hak asasi manusia, terbaru dari Menteri Luar Kanada, John Baird.
- Pertambahan kes mati dalam tahanan polis, dengan keputusan Mahkamah Koroner Seremban semalam bahawa kematian tahanan polis P. Karuna Nitha, seorang jurutera berusia 42 tahun pada dua tahun lalu di lokap polis Tampin adalah akibat dipukul oleh polis dan juga tahanan lokap yang lain.
Adakah Kabinet telah pernah membincangkan Surat Terbuka kepada Perdana Menteri oleh 25 Tokoh Melayu tersebut, dan juga sokongan yang kian bertambah daripada warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan daerah terhadap perlunya tindakan kerajaan untuk memelihara perpaduan negara dengan mengambil pendirian yang tegas dan tanpa kompromi terhadap ekstremisme, sikap tidak toleran dan kefanatikan?
Malaysia tidak mahukan sebuah Kabinet yang tidak bersedia untuk menggunakan pendekatan bertindak dan bertanggungjawab ke atas isu-isu kritikal demokrasi, urustadbir yang baik, hak asasi manusia, kecemerlangan pendidikan dan perpaduan negara.
Malaysia tidak sepatutnya mempunyai Menteri ‘kayu’ yang tidak berkualiti.