Pemimpin Umno melancarkan serangan ke atas DAP dengan mengeksploitasi kenyataan Hadi mengenai berlakunya 13 Mei jika undi ketiga dikembalikan; dengan tentera siber Umno melancarkan kempen pembohongan di media sosial, termasuk serangan Twitter terhadap pemimpin DAP
Pemimpin Umno melancarkan serangan ke atas DAP dengan mengeksploitasi kenyataan Hadi mengenai berlakunya 13 Mei jika undi ketiga dikembalikan; termasuk kempen pembohongan jahat di media sosial terhadap pemimpin DAP oleh tentera siber Umno.
Sepanjang beberapa minggu lalu, akaun Twitter saya aman daripada serangan oleh tentera siber Umno, tetapi beberapa hari lalu sejak kenyataan Hadi, ia menjadi sasaran beberapa siri serangan tentera siber Umno, menggunakan beberapa akaun palsu, menyebarkan penipuan, mesej dan grafik fitnah.
Salah satu tema serangan Twitter ini ialah menuduh saya sebagai punca rusuhan kaum 13 Mei di Kuala Lumpur, seperti tweet berbunyi “TAHUKAH ANDA? @limkitsiang adalah pencetus Rusuhan Kaum 13 Mei.. #DAPRasis #S14.
Satu lagi serangan menggunakan grafik fitnah menampilkan saya sebagai seorang komunis berpakaian seperti Mao Zedong, dengan kapsyen berbunyi: “MELAYU KELUAR! APA LAGI DUDUK SINI, KITA HENTAM LU, SEKARANG KITA SUDAH ADA KUASA” LIM KIT SIANG (BAPA 13 MEI)
Mereka yang mengirim tweet fitnah berangkai ini tahu bahawa ia memang fitnah, kerana saya tidak pernah menyebut kata-kata ini, dan saya tidak berada di Kuala Lumpur antara 11 hingga 13 Mei 1969; dan saya juga tidak terlibat dengan mana-mana rusuhan 13 Mei - itu sebabnya mereka tidak berani menggunakan nama dan identiti sebenar kerana mereka pastinya akan diheret ke mahkamah dan akan terpaksa membayar ganti rugi akibat memfitnah.
Saya masih tertarik dengan bagaimana saya kini dituduh komunis oleh tentera siber Umno tidak berwajah ini selepas PRU 2008 dan 2013, kerana tidak ada seorang pun daripada enam Perdana Menteri, baik Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir, Tun Abdullah malah Datuk Seri Najib Razak sendiri pun tidak berani membuat tuduhan demikian sepanjang 49 tahun kerjaya politik saya, kerana mereka tahu itu tidak benar.
Jika tidak, pastilah kita menyaksikan kegagalan terbesar Cawangan Khas dalam tempoh lima dekad ini - membenarkan seorang ‘komunis’ berada di Parlimen selama lebih empat dekad.
Serangan penipuan oleh tentera siber Umno terhadap pemimpin DAP sepanjang beberapa hari ini adalah satu lagi bukti kemunafikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Shabery Cheek yang kononnya akan mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan internet di negara ini, terutamanya yang melibatkan penyebaran fitnah di media sosial.
Malah, Shabery mesti menjawab sama ada beliaulah yang bertanggungjawab ke atas serangan fitnah oleh tentera siber Umno ini, kerana tidak masuk akal bahawa penyalahgunaan internet sebegini boleh berlaku di depan matanya tanpa beliau sedari.
Serampang kedua serangan Umno ialah apabila pemimpinnya turut melompat menyokong Hadi bagi kenyataan ‘13 Mei jika kembalikan undi ketiga’, dan dalam masa beberapa hari ini, kenyataan Hadi telah diberikan keutamaan berbanding Presiden Umno dan Timbalan Presidennya di dalam Utusan Malaysia - pertama kali dalam sejarah lidah rasmi Umno itu!
Apabila Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bahawa Malaysia adalah antara demokrasi yang paling demokratik walaupun tanpa undi ketiga, rakyat Malaysia segera teringat akan satu lagi kata-katanya - bahawa Malaysia mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia, sedangkan universiti di Malaysia telah gugur daripada ranking universiti dunia, manakala anak-anak 15 tahun kita terkebelakang empat lima tahun berbanding rakan-rakan mereka di Shanghai, Singapuram Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan dalam tiga subjek kritikal - membaca, sains dan matematik menurut penilaian pelajar antarabangsa.
Namun apa yang paling menarik ialah apabila Muhyiddin memihak kepada Hadi dan mempersoalkan kesan-kesan terhadap perpaduan akibat kembalinya pilihanraya kerajaan tempatan, merujuk perwakilan kaum yang tidak sekata di mana majoriti kawasan bandar mempunyai kepadatan tinggi warga bukan bumiputera.
Jika menggunakan logik ini pilihanraya DUN dan Parlimen pun patut dimansuhkan.
Adakah Muhyiddin akan membuat cadangan sedemikian, sambil mendakwa inilah demokrasi paling demokratik di dunia?
Dalam apa keadaan pun, apa hak Muhyiddin untuk bercakap mengenai perpaduan negara sedangkan beliau mengaku beliau “Malay first, Malaysian second”?