Terima kasih Hadi, rakyat Malaysia kini mesti memikirkan kenapa tidak harus ada pilihanraya kerajaan tempatan di Malaysia, pada ulangtahun ke-50 pemansuhan pilihanraya kerajaan tempatan
Terima kasih kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, rakyat Malaysia kini mesti memikirkan kenapa tidak harus ada pilihanraya kerajaan tempatan di Malaysia, pada ulangtahun ke-50 pemansuhan pilihanraya kerajaan tempatan.
Lima puluh tahun lalu, pada 1 Mac 1965, Perdana Menteri waktu itu, Tunku Abdul Rahman menggantung pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan, dengan alasan Konfrontasi Indonesia. Beliau bagaimanapun berjanji bahawa sebaik sahaja keadaan kembali aman, beliau jamin bahawa pilihanraya akan dilaksanakan.
Saya pastinya tidak bersetuju dengan dakwaan Hadi bahawa pilihanraya kerajaan tempatan boleh membawa kepada rusuhan kaum seperti tragedi 13 Mei.
Malah, ini kali pertama sesiapa pun mendakwa bahawa kembalinya pilihanraya kerajaan tempatan boleh mengakibatkan satu lagi rusuhan kaum ala 13 Mei.
Sebab berlakunya rusuhan 13 Mei masih lagi rahsia yang disimpan ketat, dan ini sebabnya dalam ucapan pertama saya di Parlimen pada bulan Februari 1971, saya telah menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menjalankan kajian meluas tentang sebab-sebab ia tercetus.
Saya tidak bercadang untuk membincangkan punca-punca 13 Mei, tetapi ia bukanlah berpunca daripada Pilihanraya Umum 1969 bahkan berpunca daripada elemen-elemen tidak bertanggungjawab yang telah mengeksploitasi pilihanraya terbabit demi kepentingan sendiri.
Justeru adalah satu tanggapan yang salah sekiranya sesiapa mendakwa bahawa mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan akan menyebabkan berlakunya lagi rusuhan kaum 13 Mei.
Bagaimana pun, setelah Hadi membuka jalan, saya tidak akan terkejut sekiranya alasan ini digunakan oleh pemimpin reaksionari Barisan Nasional sebagai satu lagi sebab membantah pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan.
Rakyat Malaysia sudah pun menyaksikan paparan luar biasa oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan yang bingkas menyokong seorang pemimpin pembangkang – dengan logik mengarutnya yang tersendiri.
Ramai yang nampaknya sudah lupa bahawa demokrasi kerajaan tempatan yang begitu bertenaga pernah wujud di negara ini pada tahun 1950’an dan separuh pertama dekad 1960’an.
Dahulunya ada 373 pihak berkuasa tempatan dengan lebih 3,000 ahli majlis yang dipilih melalui pilihanraya sebelum pilihanraya kerajaan tempatan digantung pelaksanaannya pada tahun 1965.
Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja diketuai Datuk Athi Nahappan ditubuhkan untuk mengkaji mekanisma kerajaan tempatan, yang telah mencadangkan supaya pilihanraya kerajaan tempatan dikembalikan.
Namun sebuah undang-undang diluluskan pada tahun 1976 untuk memansuhkan pilihanraya kerajaan tempatan, dan walaupun hujah sebuah kerajaan tempatan yang lebih cekap dan bertanggungjawab dikemukakan bagi memansuhkan pilihanraya kerajaan tempatan, sebab sebenarnya ialah pemimpin BN pada waktu itu tidak yakin ia boleh menang dalam pilihanraya kerajaan tempatan – atau kurangnya komitmen terhadap demokrasi dan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik.
Adalah salah juga untuk sesiapa berhujah bahawa pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan akan memberi kelebihan kepada satu-satu kaum sahaja, dengan alasan bahawa kawasan bandar didominasi kaum Cina, dan DAP lah yang akan mendapat untung.
Ini menafikan proses urbanisasi warga Melayu selama 45 tahun sejak pilihanraya umum 1969.
Sepertimana yang disebut oleh Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming dalam kenyataannya hari ini, komposisi etnik di kebanyakan majlis bandaran telah berubah secara signifikan sejak insiden 13 Mei 1969. Penghijrahan besar-besaran warga Melayu daripada kawasan luar bandar ke kawasan bandar telah menjadikan kawasan seperti Kuala Lumpur jauh berbeza hari ini berbanding sewaktu 1969.
Menurut data bancian 2010, populasi warga Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (45.9%) melebihi populasi warga Cina (43.2%). Malah daripada 3 Dewan Bandaraya, 9 Majlis Perbandaran dan 37 Majlis Daerah di Malaysia, hanya 6 yang mempunyai populasi warga Cina yang melebihi Melayu – Ipoh, Kuching Selatan, Johor Bahru Tengah, Pulau Pinang, Sibu dan Subang Jaya!
Dengan kata lain. 88% daripada kawasan bandar ini mempunyai penduduk Melayu yang ramai. Malah di tempat seperti Petaling Jaya, populasi Melayu (46.2%) melebihi warga Cina (39.6%).
Saya tidak rasa Kian Ming boleh dipersalahkan apabila beliau merumuskan:
“Sementara orang Melayu mungkin kurang diwakili dalam populasi pengundi di kebanyakan kawasan bandar akibat daripada profil demografi yang lebih muda, adalah salah untuk mendakwa bahawa DAP akan mendominasi pilihanraya kerajaan tempatan dengan alasan bahawa kawasan bandar didominasi warga Cina”
58 tahun selepas Merdeka dan 52 tahun selepas penubuhan Malaysia, rakyat Malaysia seharusnya bergerak menjauhi politik perkauman dan mendekati politik keterangkuman, menerima kesemuanya sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, daerah, umur dan jantina.
Pilihanraya 2008 dan 2013 adalah bukti bahawa politik keterangkuman menyatukan rakyat Malaysia, berbanding politik ‘pecah dan perintah’ yang mengesampingkan, dan inilah satu sebab penting kenapa selepas 50 tahun, pilihanraya kerajaan tempatan wajar dikembalikan ke Malaysia.