Jangan jadikan Timbalan-timbalan Naib Canselor mangsa korban, sedangkan yang sepatutnya meletakkan jawatan ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Muhyiddin Yassin dan Timbalan Canselor Amin Jalaludin atas campurtangan politik berterusan terhadap kebebasan dan kecemerlangan akademik
Timbalan-timbalan Naib Canselor, Profesor Dr Mohd Hamid Abd Shukor (Akademik dan Antarabangsa) dan Profesor Datuk Dr Rohana Yusof (Hal Ehwal Pelajar) tidak sepatutnya dijadikan mangsa korban dalam campurtangan politik berterusan ke atas sebuah universiti yang dahulunya terulung di tanah air.
Jika ada sesiapa yang patut meletakkan jawatan, orang itu ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas campurtangan politik berterusan terhadap kecemerlangan dan kebebasan akademik di Universiti Malaya; dan Timbalan Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin, yang telah gagal mempertahankan staf akademik dan anak mahasiswa Universiti Malaya daripada campurtangan politik dari Putrajaya.
Tragedi yang melanda Universiti Malaya ialah ia telah jatuh takhta daripada menjadi sebuah universiti utama dunia pada zaman 60’an dan 70’an, dan ditinggalkan jauh oleh universiti yang setaraf dengannya dari kalangan universiti kebangsaan di Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura serta Australia, dan tidak ada tanda-tanda Universiti Malaya akan kembali menduduki tangga berprestij dunia dari segi kebebasan dan kecemerlangan akademik yang pernah didudukinya sekitar empat puluh tahun lalu.
Sebaliknya, terdapat usaha-usaha tanpa henti oleh para birokrat di Putrajaya, mematuhi arahan tuan-tuan politik mereka, untuk meneruskan projek pembodohan ke atas populasi universiti, tidak kira ahli akademik mahupun mahasiswa, dan memahukan mereka supaya meninggalkan idealisme dan menerima status quo dalam negara tanpa kritikan dan tanpa banyak tanya – yang hakikatnya merompak idealisme terbaik dan idea-idea konstruktif golongan terpelajar dan generasi muda Malaysia.
Mesyuarat Kabinet pada hari Rabu depan mesti bertindak untuk menarik balik keputusan menghukum dua Timbalan Naib Canselor ini, satu kerana tidak menyokong Umno dan satu lagi kerana terlalu berlembut dengan mahasiswa dalam kes pidato Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilarang pada penghujung tahun lalu.
Universiti di tanah air mesti menjadi lapangan pertembungan idea dan bukannya tempat membungkam pemikiran.
Ini semua demi negara, bagi memastikan kecemerlangan universiti dan persaingan yang berterusan, bukannya untuk kepentingan Umno atau Barisan Nasional.