Adakah Najib bakal menjadi mangsa keenam Mahathir, atau adakah Malaysia bakal mengheret ‘harimau’ atau ‘buaya’ pertamanya ke mahkamah dan ke penjara dalam kempen anti rasuah negara?
Politik Malaysia negara menggelegak dengan berita tergempar baru-baru ini, lantas membangkitkan persoalan sama ada Perdana Menteri Malaysia keenam bakal menjadi mangsa keenam Mahathir, atau adakah Malaysia bakal mengheret ‘harimau’ atau ‘buaya’ pertamanya ke mahkamah dan ke penjara dalam kempen anti rasuah negara?
Sepanjang 45 tahun yang lalu, Perdana Menteri keempat Malaysa Tun Dr Mahathir Mohamad telah memangsakan lima pemimpin politik utama negara, bermula dengan Bapa Malaysia yang juga Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman, dua Timbalan Perdana Menteri yang hampir sahaja menjadi Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan juga Tengku Razaleigh Hamzah, calon perdana menteri sepanjang zaman.
Persoalannya sekarang ialah sama ada Mahathir akan menambah Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak, ke koleksi mangsa-mangsa politiknya di Malaysia.
Namun Najib nampaknya tidak akan berdiam diri, dan timbul persoalan sama ada ‘harimau’ atau ‘buaya’ pertama akan diheret ke mahkamah dan kemudian ke penjara dalam sejarah hambar pembanterasan rasuah di Malaysia.
Baru-baru ini, pentadbiran Najib dan jentera publisitinya telah menguar-uarkan pencapaian anti-rasuah negara, malah mendakwa bahawa kedudukan Malaysia dalam tangga Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International bagi tahun 2014 adalah kedudukan terbaik negara dalam tempoh sepuluh tahun.
Ini tentunya tidak benar.
CPI 2014 adalah yang terbaik dalam tempoh enam tahun Najib menjadi PM, tetapi yang paling buruk jika dibandingkan dengan zaman Tun Abdullah di mana CPI antara tahun 2004 ke 2008 berada antara tangga ke 39 hingga 47; dan lebih buruk dibandingkan dengan sembilan tahun di zaman Mahathir antara 1995 hingga 2003, ketika negara berada di tangga ke 23 pada tahun 1995, dan tempat ke 37 pada tahun 2003.
Jika kita mengkaji tangga dan skor CPI 2014 bagi kesemua 175 negara dan tempoh 20 tahun siri CPI TI sejak 1995 ke 2014, tidak ada sebab untuk sesiapa mempercayai bahawa sasaran Malaysia untuk menduduki tangga 30 teratas dalam CPI 2020 sebagai realistik atau boleh dicapai.
Malah, menjelang 2020, Malaysia berhadapan kemungkinan dipintas China, mahupun Indonesia di kedua-dua skor dan kedudukan CPI, apabila dalam CPI TI pertama pada tahun 1995, Malaysia menduduki tangga ke-23 daripada 41 negara dengan skor 5.28 daripada 10, manakala China dan Indonesia menduduki dua anak tangga paling rendah dengan skor CPI 2.16 dan 1.94 daripada 10, masing-masing. (i.e. berada di kedudukan 90 peratus terendah daripada skor CPI).
Namun dalam masa 20 tahun yang lalu, Malaysia telah mencapai kedudukan sebagai salah satu negara yang telah direndahtarafkan di kedua-dua kedudukan dan skor CPI, dan tewas kepada negara-negara yang dahulunya mempunyai kedudukan dan skor CPI lebih rendah pada tahun 1995, dan kini berpotensi dipintas oleh negara-negara termasuk China dan Indonesia yang dahulunya berada di kedudukan paling bawah CPI TI tahun 1995.
Di Indonesia, Presiden barunya Joko Widodo sedang mengetuai sendiri kempen membanteras korupsi manakala di Cina, meski ia jatuh empat mata dalam skor CPI tahun lalu, kempen membanteras rasuah ‘harimau dan lalat’nya telah menyaksikan penambahbaikan yang cemerlang dalam skor CPI China dalam tempoh dua dekad yang lalu.
Tangkapan dan pendakwaan atas kesalahan rasuah terhadap para ‘harimau’ dan ‘buaya’, tidak kiralah yang berpangkat menteri atau yang setara dengannya, kini menjadi perkara biasa dalam kempen anti-korupsi di Indonesia dan China, tetapi belum pernah ada satu pun ‘harimau’ dan ‘buaya’ yang diheret ke mahkamah dan didakwa dengan jayanya atas kesalahan rasuah di Malaysia dalam tempoh lebih tiga dekad.
Kesemua rakyat Malaysia seharusnya bimbang bahawa melalui trend ini, Malaysia berisiko dipintas Indonesia dan China sebelum CPI tahunan pada tahun 2020, dari segi kedudukan dan skor; kecuali jika Malaysia benar-benar berusaha keras dan memperlihatkan kesungguhannya membanteras rasuah.
Secara tiba-tiba, terlihat kemungkinan bahawa kempen anti rasuah di Malaysia bakal memasuki sebuah era baru.
Adakah kempen pembanterasan rasuah negara di ambang senario baru, dengan para ‘harimau’ dan ‘buaya’ turut diheret ke mahkamah dan penjara, sepertimana China dan Indonesia?