Zahid jangan sangka rakyat Malaysia semuanya bodoh, walaupun beliau telah berjaya memperbodohkan Kabinet apabila menteri-menteri akur sahaja menerima penerangan mengarutnya mengenai surat kepada FBI

Saya tidak percaya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai masalah pemahaman, sehinggakan tidak mengerti bahawa suratnya bukan sekadar bertujuan untuk memperjelaskan bahawa Paul Phua, individu didakwa raja judi yang dibicarakan atas pertuduhan judi haram di Las Vegas, Nevada bukanlah seorang anggota kongsi gelap 14K ‘di Malaysia’.

Saya tidak percaya Zahid sebegitu bersahaja sehingga merasakan bahawa ketika suratnya kepada FBI itu menyebut bahawa Phua membantu kerajaan Malaysia dalam ‘projek berkaitan keselamatan negara’, dan bahawa kerajaan terus memanggilnya untuk memberi bantuan dari masa ke masa dan benar-benar mahu beliau pulang ke Malaysia, dan pembebasan Phua akan memberi kesan baik kepada hubungan antara dua negara ini terutamanya berkaitan pertukaran maklumat; bahawa kenyataan-kenyataan ini akan difahami pihak FBI sebagai melebih-lebih, dan tidak bermakna apa-apa, serta tidak bermaksud untuk mempengaruhi FBI dalam mengendalikan kes Phua.

Zahid bertindak secara sangat biadap apabila mengkehendaki orang ramai bersikap bodoh dan mudah tertipu dengan kisahnya, konon surat kepada FBI itu sekadar bertujuan mengesahkan bahawa Phua bukanlah seorang anggota kongsi gelap 14K ‘di Malaysia’ dan tidak lebih dari sekadar itu.

Zahid mendakwa semalam bahawa Kabinet dalam mesyuaratnya Rabu lalu telah berpuas hati dengan penjelasannya mengenai hal tersebut.

Saya tidak percaya bahawa Menteri Kabinet kita pun mempunyai masalah pemahaman, jika tidak pastilah mereka tidak berjaya ke kemuncak kekuasaan politik seperti sekarang.

Untuk sebab-sebab yang mereka sahaja tahu, mereka kelihatan seperti orang bodoh yang mudah tertipu; dan ini menghina maksud politik dan integriti mereka apabila menjadi seperti lembu dicucuk hidung dan menerima sahaja penjelasan mengarut Zahid mengenai suratnya kepada FBI itu, meski sedar dan tahu bahawa Zahid tidak berkata benar.

Adakah mana-mana Menteri yang betul-betul percaya bahawa surat Zahid kepada FBI itu tidak lebih dari sekadar menjelaskan bahawa Phua bukanlah anggota 14K ‘di Malaysia’ dan bersedia mengaku seorang demi seorang?

Saya sangsi jika ada satu pun menteri kabinet yang bersedia untuk mengaku secara terbuka bahawa beliau benar-benar percaya dengan penjelasan Zahid, walaupun mereka secara kolektif telah terpaksa menerima dakwaan Zahid, atau sekurang-kurangnya tidak pecah lubang di mata orang awam bahawa kononnya penjelasan beliau itu telah diterima Kabinet.

Zahid jangan sangka rakyat Malaysia semuanya bodoh, walaupun beliau telah berjaya memperbodohkan Kabinet apabila menteri-menteri akur sahaja menerima penerangan mengarutnya mengenai surat kepada FBI bagi pihak Paul Phua.

Zahid telah membuat suatu pendedahan semalam dalam usahanya menjustifikasi suratnya kepada FBI itu, dengan mendakwa bahawa Menteri Dalam negeri sebelum ini pun pernah menulis surat sedemikian.

Benarkah Menteri Dalam Negeri sebelum ini juga pernah menulis surat secara unilateral kepada FBI, tanpa pengetahuan pihak polis dan Ketua Polis Negara pada waktu itu, menyangkal laporan polis kepada FBI, tanpa kebenaran dan pengetahuan Kementerian Luar?

Jika demikianlah keadaannya, maka menteri-menteri terdahulu jauh lebih tidak berdisiplin, liar dan melulu daripada apa yang disangkakan rakyat Malaysia.

Bekas Menteri Dalam Negeri seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Azmi Khalid mesti bersuara dan membersihkan nama mereka, pastinya itulah harapan rakyat Malaysia.

Daripada hanya seorang menteri menjamin dan menyokong karakter seorang raja judi yang sedang dibicarakan di Las Vegas, kita kini mempunyai seluruh anggota Kabinet Malaysia yang turut menyokong Zahid dalam menjamin karakter dan integriti individu yang disyaki sebagai seorang raja judi.

Adakah ini niat Kabinet Malaysia pada hari Rabu ketika ia, menurut Zahid, menerima penjelasannya mengenai surat kepada FBI itu?

Zahid berkarta semalam bahawa sifat ‘projek keselamatan negara’ yang menerima bantuan Phua dan tidak boleh didedahkan itu adalah tertakluk rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Adakah Zahid telah memberitahu Kabinet Rabu lalu tentang sifat projek keselamatan negara ini?

Jika tidak, bagaimana para Menteri boleh menerima penjelasan Zahid mengenai suratnya kepada FBI?

Jika ya, kesemua Menteri Kabinet sekarang bukan sahaja bertanggungjawab terhadap surat Zahid kepada FBI secara kolektif, tetapi secara persendirian juga.

Ini pastinya kali pertama dalam sejarah negara apabila seorang Menteri Dalam Negeri menggunakan OSA untuk menyimpan rahsia bukan sahaja daripada orang ramai, tetapi juga daripada pasukan polis dan juga Ketua Polis Negara, tentang sifat projek keselamatan negara yang melibatkan Phua itu.

Apa yang paling penting tentang sidang media Zahid semalam ialah beliau berhenti secara tiba-tiba sebelum sempat pihak media bertanyakan soalan untuk mendapatkan penjelasan.

Ini merupakan bukti kukuh bahawa Zahid sendiri tahu bahawa beliau sedang cuba menegakkan benang yang basah, dan tidak berani mendedahkan dirinya kepada persoalan daripada pihak wartawan.

Reputasi antarabangsa Malaysia telah cukup tercemar ekoran surat Zahid kepada FBI, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mesti campur tangan untuk menyelesaikan masalah ini. Jika tidak beliau seakan maharaja Nero, yang tenang bermain biola tatkala Rom dijilat api.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah