Mesyuarat Kabinet esok harus memutuskan untuk mengadakan sidang Parlimen pada akhir bulan ini untuk membentangkan penstrukturan semula Belanjawan 2015

Mesyuarat Kabinet mesti melakukan apa yang ia sepatutnya buat dalam mesyuarat terakhirnya bagi tahun 2014, pada 17 Disember – untuk mengadakan sidang Parlimen khas pada bulan ini untuk membentangkan penstrukturan semula Belanjawan 2015.

Sewaktu Belanjawan 2015 dirangka, ia dibuat berasaskan anggapan harga minyak pada kadar USD100 (RM357) satu tong.

Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah membentangkan Belanjawan 2015 pada 25 Oktober, harga minyak mentah Brent telah merudum daripada USD100 menjadi USD47.36, nilai terendah dalam masa enam tahun.

Pendapatan berasaskan minyak dan gas adalah tulang belakang ekonomi negara, dan ia setakat ini menyumbang 30% kepada jumlah hasil negara.

Dengan kejatuhan harga minyak mentah, Kerajaan bertanggungjawab untuk menstruktur semula Belanjawan 2015 dan mendapatkan persetujuan Parlimen untuk menstruktur semula Belanjawan 2015.

Kabinet mesti membuat keputusan untuk mengadakan sidang Parlimen Khas sebelum akhir bulan Januari, memandangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah pun mengakui hari ini akan keperluan menstruktur semula Belanjawan 2015.

Belanjawan 2015 yang distruktur semula ini adalah sangat penting, hasil daripada perkembangan ekonomi dan kewangan yang mempunyai implikasi jangka panjang, seperti Ringgit Malaysia mencecah kadar terendah dalam tempoh lima setengah tahun berbanding dolar, mencecah kadar 3.5870 berbanding dolar setakat jam 0626 GMT; nilai paling rendah sejak Julai 2009 dan kejatuhan RM36 bilion dalam rizab antarabangsa Malaysia pada tahun 2014.

Belanjawan 2015 sebanyak RM273.9 bilion jelas tidak mampan hasil daripada kejatuhan harga komoditi, bukan sahaja petrol, tetapi juga minyak sawit dan getah. Malah, pakar-pakar ekonomi turut memberi amaran bahawa Malaysia mungkin berhadapan deflasi.

Sidang Khas Parlimen ini juga mesti membahaskan banyak lagi isu mendesak yang mendepani negara, termasuklah (1) bencana banjir paling buruk dalam sejarah; (2) Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang asing di Sabah; (3) aliran keluar modal haram berjumlah RM1.3 trilion dalam tempoh sepuluh tahun dari 2003 hingga 2012; dan (4) keperluan para moderat di Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, daerah dan garis politik untuk bersatu melawan retorik dan politik kebencian, fanatisisme, sikap tidak toleran dan ekstremisme.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah