Kesilapan Muhyiddin dalam mendakwa bahawa ekstremisme tidak pernah wujud di kalangan Muslim Malaysia samalah keadaannya dengan pujian Najib mengagungkan keganasan kumpulan Islamic State

Kesilapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mendakwa bahawa ekstremisme tidak pernah wujud di kalangan Muslim Malaysia samalah keadaannya dengan pujian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengagungkan keganasan kumpulan Islamic State (IS) pada bulan Jun tahun lalu.

Kesilapan terbaru Muhyiddin ini tergolong sekali dalam senarai kata-kata beliau seperti ‘Malay first, Malaysian second’ serta dakwaan bahawa anak-anak Malaysia mendapat pendidikan yang lebih baik berbanding anak-anak di Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.

Sekiranya tidak ada ekstremis di kalangan Muslim Malaysia, bagaimanakah Cawangan Khas Bahagian Anti Pengganas boleh menahan 51 orang yang disyaki militan Malaysia?

Tambahan pula, kenapa pula bilangan Muslim Malaysia yang menyertai peperangan bersama kumpulan Islamic State di Syria dan Iraq bertambah dari 39 menjadi 59 orang sejak bulan Oktober?

Dan kenapa Muslim Malaysia sehinggakan mengambil pembiayaan peribadi daripada bank dan peminjam wang untuk membayar tambang mereka ke Syria untuk menyertai IS dan mendanai perbelanjaan mereka di sana, mengetahui bahawa pembayaran semula pinjaman tersebut hampir mustahil.

Kenapa sekurang-kurangnya enam orang Muslim Malaysia terkorban di Syria dan Iraq, berperang untuk kumpulan IS?

Adakah Muhyiddin juga mencadangkan bahawa Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) Najib itu tidak relvan, tidak mempunyai peranan dan kepentingan untuk Malaysia tetapi hanya untuk dunia luar?

Hakikatnya ialah memang wujud ekstremis di kalangan semua kaum dan agama, tidak kira di Malaysia mahupun di arena antarabangsa; mereka yang begitu fanatik dengan kebencian kaum dan agama dan sikap tidak toleran dan menjadi ancaman serius terhadap masa depan Malaysia dan juga masa depan dunia.

Inilah sebabnya kenapa golongan moderat di Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, daerah atau garis politik, mesti bersatu hati dalam isu sejagat ini, demi membentuk kesepaduan para moderat bagi menyelamatkan negara daripada para fanatik dan ekstremis serta memastikan suara majoriti kesederhanaan, keterangkuman, toleransi dan harmoni akan menenggelamkan suara-suara dan retorik ekstremisme, kebencian dan perpecahan.

Muhyiddin juga harus berhati-hati dengan ucapan dan kenyataannya, kerana seruannya supaya tindakan tegas diambil terhadap pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen telah diikuti dengan tindakan pantas pihak polis pada malam yang sama, melibatkan sekitar 20 orang anggota polis untuk menahan Paulsen di bawah Akta Hasutan ekoran tweet beliau mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggalakkan ekstremisme.

Adakah wajar bagi pihak polis untuk mementaskan kekuatannya sedemikian, di saat Paulsen telah pun bersetuju semalam untuk hadir ke Bukit Aman dan berkerjasama dengan siasatan polis.

Penahanan Paulsen di bawah Akta Hasutan hanya memperlihatkan sikap pilih kasih dalam penguatkuasaan undang-undang, daripada sikap pilih bulu di peringkat siasatan polis hinggalah pendakwaan terpilih di peringkat Peguam Negara yang telah membusukkan nama negara di mata dunia dari segi kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan di Malaysia.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah