Minat Muhyiddin yang muncul secara tiba-tiba terhadap pergelutan Zahid-Phua-Shafee-Khalid amat mencurigakan
Baru hari ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab soalan yang saya kemukakan hari Khamis lalu: “Adakah perihal surat Menteri Dalam Negeri kepada pihak FBI yang menjamin integriti seorang warga Malaysia yang didakwa ‘raja judi’ Paul Phua yang sedang dibicarakan di Las Vegas Nevada, dan bertentangan dengan komunikasi pihak polis dengan FBI, dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet?”
Lima hari selepas saya bertanya soalan ini, Muhyiddin berkata di Cyberjaya bahawa Kabinet tidak maklum tentang surat Zahid kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat mengenai Paul Phua dan Kabinet juga tidak berbincang mengenainya sebelum itu.
Kata beliau sebarang ulasan lanjut mengenai hal tersebut akan dibuat selepas beliau mengkaji perkara tersebut.
Beliau juga berkata bahawa beliau tidak tahu menahu tentang versi-versi cerita berbeza mengenai kes Phua oleh peguamnya Muhammad Shafee Abdullah dan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar.
Aduhai, apa jenis Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet yang kita ada di Malaysia ini.
Untuk 12 hari pertama dalam tahun baru ini, populasi yang membaca di Malaysia begitu teruja dengan skandal pertama pentadbiran Najib untuk tahun ini; kecuali Timbalan Perdana Menteri dan ahli Kabinet yang lainnya, yang seakan hidup dalam dunia berbeza berbanding 30 juta rakyat Malaysia, memandangkan mereka mendakwa langsung tidak tahu mengenai skandal Zahid-Phua-Shafee-Khalid ini.
Sekiranya Muhyiddin membaca kenyataan media saya bertajuk “Kisah aneh Menteri Dalam Negeri menulis surat kepada FBI mempertahankan integriti ‘raja judi’ nampaknya semakin menarik” pada 5 Januari, dua hari sebelum mesyuarat Kabinet pada 7 Januari, Timbalan Perdana Menteri pastinya sudah faham mengenai kisah pelik skandal Zahid-Phua-Shafee-Khalid yang melibatkan seorang Menteri Dalam Negeri yang sedang berharap mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia, seorang individu yang didakwa ‘Raja Judi’ yang sedang dibicarakan di mahkamah Las Vegas, seorang broker kuasa Umno yang seakan-akan pengganti bekas perdana menteri Tun Mahathir dan bercita-cita menggantikan Tan Sri Gani Patail sebagai Peguam Negara, dan juga seorang Ketua Polis Negara.
Bukannya mudah untuk mengumpulkan pertunjukan bunga api yang lebih ampuh seperti yang diwakili empat personaliti ini. Namun di saat seluruh warga yang membaca begitu teruja dengan aksi tinju mereka ini, Timbalan Perdana Menteri dan seluruh Kabinet langsung tidak menyedari hal tersebut sedang berlaku.
Bolehkah ini terjadi?
Tidak ada sesiapa yang akan percaya bahawa Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet yang lainnya tidak tahu-menahu tentang skandal Zahid-Phua-Shafee-Khalid, kerana ia adalah pertunjukan terbesar di Malaysia di awal tahun baru, dan menjadi tajuk berita utama di dalam dan luar negara setiap hari di tahun baru ini, membayangi skandal lain seperti skandal berbilion ringgit 1MDB dan juga bencana banjir 2014-2015 yang paling buruk dalam sejarah.
Oleh yang demikian, Muhyiddin dan anggota Kabinet yang lainnya patut menerangkan kenapa mereka telah gagal dalam tanggungjawab mereka kepada orang awam untuk membangkitkan persoalan skandal Zahid-Phua-Shafee-Khalid dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu, terutamanya jika para Menteri benar-benar peduli akan kepentingan dan reputasi negara di persada antarabangsa.
Kenapa surat Zahid ditarik balik dalam perbicaraan di Mahkamah Nevada, Las Vegas setelah Putrajaya membantah ia digunakan dalam pembelaan Phua?
Surat Zahid terang-terang membela Phua. Siapa yang membantahnya daripada digunakan dalam prosiding di mahkamah terbuka? Zahid, Peguam Negara, Polis atau Perdana Menteri sendiri? Sekarang kita tahu bahawa orang itu pastilah bukan Timbalan Perdana Menteri atau menteri kabinet yang lainnya.
Bolehkah rakyat Malaysia mendapat jawapan daripada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Polis Negara?
Dan Muhyiddin pula, bolehkah beliau menjawab kenapa hal tersebut gagal dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu?
Minat Muhyiddin yang muncul secara tiba-tiba terhadap skandal Zahid-Phua-Shafee-Khalid ini sangat aneh dan mencurigakan, tetapi itu akan kita bincangkan lain kali.