Najib mesti mempertimbangkan penubuhan RCI mengenai bencana banjir 2014-2015, kerana sebarang siasatan yang tidak melibatkan pertanyaan terhadap kegagalan Majlis Keselamatan Negara dalam membuat persediaan pengurusan dan mitigasi bantuan bencana banjir hanya akan membuat penyakit penafian makin melarat
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata semalam bahawa pakar-pakar negara akan dilibatkan untuk menentukan punca berlakunya bencana banjir baru-baru ini dan kemudian mengurangkan kesannya pada masa akan datang.
Laporan The Star “Experts to be engaged to check floods” memetik Najib sebagai berkata semalam di pelancaran Menara Razak di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bahawa hal tersebut telah dibangkitkan dalam Kabinet dan mereka telah memutuskan bahawa perlu untuk mengetahui punca-punca yang mengakibatkan banjir tersebut.
Najib berjata bahawa pihak Kerajaan percaya bahawa tenaga pakar tempatan adalah mencukupi untuk melaksanakan kajian-kajian yang sepatutnya.
Beliau berkata bahawa kita mahu pakar-pakar ini membimbing Kerajaan berkenaan apa yang perlu dilakukan dari segi mitigasi dan juga pembangunan lestari.
Saya merasakan bahawa pengumuman Najib ini amat mengecewakan.
Sementara saya mengalu-alukan siasatan terhadap bencana banjir terburuk di zaman ini, pengecualian siasatan terhadap kegagalan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menyediakan pengurusan bantuan dan mitigasi banjir hanya akan membuatkan penyakit penafian kerajaan semakin melarat.
Inilah sebabnya kenapa saya terus mendesak supaya ditubuh sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja yang berkuasa penuh untuk menyiasat bencana banjir dan 2014-2015 serta kesiapsiagaan menguruskan bencana, terutamanya apabila wujud masalah dalam rantaian arahan dan kegagalan komunikasi di pihak MKN di saat bencana banjir paling buruk melanda negara.
Kesemua pakar tempatan itu boleh disapina oleh RCI untuk menentukan punca-punca berlakunya banjir serta mencadangkan langkah-langkah mitigasi paling berkesan dalam konteks pembangunan lestari; namun pakar-pakar ini dalam kapasiti masing-masing tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat kelemahan MKN, terutamanya kenapa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin yassin yang juga pengerusi MKN hanya mengadakan mesyuarat sekali sahaja sepanjang tahun sebelum bencana terjadi – itu pun sekitar 12 bulan dahulu, pada 3 Januari 2014.
Saya ingin menggesa Perdana Menteri untuk mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak menubuhkan RCI bagi menyiasat bencana banjir terburuk ini, kerana ini akan berkesudahan sebagai pelanggaran tanggungjawab yang amat serius sekiranya pihak Kerajaan Persekutuan gagal menubuhkan RCI dalam keadaan skala dan jangkauan musibah banjir 2014-2015 ini, yang melibatkan sembilan negeri, mengorbankan 23 jiwa, memindah suku juta mangsa, menjejaskan sejuta individu dan mengakibatkan kerugian berbilion ringgit terhadap harta benda awam.