Adakah Umno/BN mahu Malaysia terjerumus menjadi sebuah negara yang gagal dengan melantik seorang boneka Umno menjadi Pengerusi SKMM?
Selama sembilan hari sejak permulaan tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak mempunyai ketua, ini kerana bekas pengerusinya Mohamed Sharil Tarmizi telah dimaklumkan bahawa kontraknya yang tamat tempoh pada 31 Disember 2014 tidak akan diperbaharui.
Editor Utusan Malaysia, Zulkifli Jalil berkata dalam sebuah ulasan bahawa kontrak Sharil tidak disambung kerana di sepanjang perkhidmatannya SKMM telah memberi kebebasan kepada mereka yang didakwa mencetuskan kebencian kaum, justeru ia gagal sebagai sebuah badan pemantau.
Barangkali Sharil sepatutnya bertindak tegas terhadap mereka yang telah mengeksploitasi ruang siber dan menyalahgunakan media sosial dengan penipuan dan fitnah untuk membangkitkan kebencian kaum, selain konflik dan ketegangan.
Dan yang paling bersalah dalam hal menyalahgunakan internet dalam masa beberapa tahun Sharil mempengerusikan SKMM ini pastilah lidah rasmi Umno sendiri, Utusan Malaysia dan juga bala tentera siber Umno, yang tidak teragak-agak dan tanpa rasa sesal menyebarkan fitnah dan penipuan di ruang internet bagi menimbulkan kebencian kaum dan agama, konflik dan juga ketegangan..
Tetapi Utusan Malaysia, ekstremis Umno dan jentera sibernya pasti bising sekiranya Sharil telah bertindak secara profesional tanpa memihak terhadap Utusan Malaysia dan tentera siber Umno yang menjadi dalang utama dalam kerja-kerja menyalahguna media sosial bagi mencetuskan kebencian kaum dan agama bagi meneruskan objektif yang lebih besar untuk mencipta momok-momok, ancaman, dan musuh-musuh fantasi kononnya orang Melayu dan agama Islam sedang diancam dan hanya Umno lah yang boleh menyelamatkan mereka.
Apa yang Utusan Malaysia dan puak pelampau dalam Umno serta tentera sibernya mahukan ialah supaya SKMM memangsakan laman-laman web pro-Pakatan Rakyat, sambil membiarkan laman-laman pro-Umno terlepas bebas, sedangkan laman-laman itu lah yang paling bersalah menyebarkan fitnah dan pembohongan di internet demi menambah jurang kaum dan agama di negara ini.
Saya tidak berpuas hati dengan Sharil sebagai Pengerusi SKMM kerana beliau tidak cukup tegas terhadap Utusan Malaysia, puak pelampau Umno dan tentera siber mereka setiap kali mereka menyalahgunakan media sosial dengan racun kebencian kaum dan agama.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Ahmad Shabery Cheek akan memutuskan sama ada Umno-BN mahu supaya Malaysia terjerumus menjadi sebuah negara yang gagal, dengan melantik seorang boneka Umno untuk menjadi pengerusi SKMM, yang bukan sahaja akan diperkudakan Perdana Menteri dan menteri yang bertanggungjawab, tetapi juga akan diperkudakan Utusan Malaysia dan pihak-pihak berkepentingan dalam Umno – dan menjadikan SKMM bertukar menjadi unit komunikasi dan multimedia Umno.
Jawatan Pengerusi SKMM juga amat-amat diinginkan ekoran pengaruhnya terhadap penganugerahan menara-menara komunikasi yang begitu menguntungkan, yang akan dibina di kawasan-kawasan luar bandar.
Pada suku kedua tahun ini, SKMM akan memberikan kontrak pembinaan 600 menara di kawasan luar bandar. Kontrak untuk 400 menara pertama berjumlah RM900 juta (USD252 juta). Fasa seterusnya akan memakan belanja lebih RM1.3 bilion (USD360 juta).
Adakah pelantikan seorang boneka Umno sebagai Pengerusi SKMM membuka peluang kepada pembahagian peluang bernilai RM2.2 bilion di kalangan kroni Umno – yang akan mengheret Malaysia ke taraf paling rendah dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah Transparency International dalam tahun-tahun akan datang?
Sekiranya dua faktor yang disebut tadi menjadi pertimbangan utama apabila kontrak Sharil sebagai Pengerusi SKMM tidak disambung, Malaysia boleh melupakan sahaja tentang niat untuk membangun menjadi pusat dan hub antarabangsa bagi komunikasi dan multimedia serta perkhidmatan isi kandungan dan maklumat, atau pun usaha menggalakkan perkembangan masyarakat sivil di mana perkhidmatan berasaskan maklumat akan menjadi asas penambahbaikan kualiti kehidupan dan pekerjaan; kerana kita pastilah sedang berada di landasan ke arah menjadi sebuah negara yang gagal.