Zahid pastinya gagal ujian pemahaman di sekolah sekiranya beliau benar-benar percaya apa diperkatakannya mengenai suratnya kepada FBI

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pastinya gagal ujian pemahamannya di sekolah sekiranya beliau benar-benar percaya dengan apa yang telah diperkatakannya mengenai suratnya kepada FBI.

Menurut laporan akhbar New Straits Times 7 Januari 2015, Zahid menjelaskan bahawa suratnya kepada FBI adalah untuk mengesahkan bahawa kongsi gelap 14K tidak wujud di negara ini.

Zahid berkata surat tersebut telah diminta oleh firma guaman Chesnoff & Schonfeld, yang mewakili Paul Phua Wei Seng, seorang warganegara Malaysia, yang bersama anak lelakinya sedang berhadapan pertuduhan melakukan aktiviti pertaruhan haram di Las Vegas.

Kedua-duanya ditahan pada bulan Julai di hotel Caesars Palace ketika Piala Dunia Fifa sedang berlangsung, manakala pihak berkuasa Amerika pula mendakwa Phua adalah sebahagian daripada kongsi gelap yang berpusat di Hong Kong itu.

Zahid berkata bahawa ia adalah satu permintaan kepada menteri hal ehwal dalam negeri untuk mengesahkan bahawa tidak ada kongsi gelap 14K di Malaysia.

Sabtu lalu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bercakap bagi pihak peguam-peguam Phua, memberitahu bahawa surat Zahid bertujuan membetulkan kesilapan dalam suatu laporan yang diserahkan oleh pihak FBI kepada mahkamah sebagai satu dokumen dalaman yang menyatakan bahawa mereka dimaklumkan oleh pihak polis Malaysia bahawa Phua adalah ahli kongsi gelap 14K.

Pada awalnya, surat Zahid bukanlah sahaja untuk mengesahkan bahawa kongsi gelap 14K tidak wujud di Malaysia, kerana beliau menjamin karakter Phua sebagai seorang yang baik dan merupakan aset nasional apabila beliau memohon supaya Phua dibebaskan ketika beliau menulis bahawa Phua telah membantu kerajaan Malaysia dalam projek-projek melibatkan keselamatan negara, dan bahawa kerajaan terus memanggilnya untuk mendapatkan bantuan dari masa ke masa, justeru kerajaan benar-benar mahu Phua kembali ke Malaysia.

Zahid telah menggadaikan reputasi Malaysia serta menjejaskan kedaulatan negara dengan menulis permintaan sedemikian kepada FBI, kerana surat yang sedemikian itu seharusnya ditulis oleh pihak polis dan bukannya Menteri Dalam Negeri – dengan mengandaikan fakta yang dirujuk Zahid itu benar – melalui Kementerian Luar.

Menambah kepada pelanggarannya itu, Zahid malah cuba untuk menguatkan permintaannya dengan menambah pula pertaruhan negara demi seorang individu, sambil memberi isyarat bahawa ia akan memberi kesan kepada hubungan antarabangsa yang baik antara kedua-dua negara terutamanya dalam hal pertukaran maklumat.

Apa yang jelas ialah pihak polis langsung tidak menghargai perbuatan Zahid itu, kerana Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar, sambil mengelak daripada memberi komen mengenai surat Zahid, telah memberi kenyataan tersirat bahawa sementara rakyat Malaysia di luar negara memang diketahui menganggotai kongsi gelap, organisasi jenayah yang merentas negara itu tidak mempunyai sebarang akar di sini.

Sejak itu Zahid telah berdiam diri dan tidak menjawab soalan mengenai projek keselamatan negara yang mana telah dibantu oleh Phua dahulu, dan apa pula projek keselamatan negara yang baru sedang difikirkan oleh Zahid yang membuatkannya menulis bahawa kerajaan terus meminta bantuan Phua dari masa ke masa, justeru mahu Phua pulang ke Malaysia.

Bolehkah KPN mengesahkan bahawa pihak polis benar-benar teruja mahu Phua pulang ke tanah air bagi membantu projek keselamatan negara ini – atau, sama ada pihak polis maklum tentang sebarang projek keselamatan negara yang menerima bantuan Phua, atau sama ada projek yang sedemikian itu hanya diketahui oleh Zahid sahaja.

Zahid tidak boleh terus berdiam diri atau cuba meminimakan kesan buruk suratnya itu dengan mendakwa bahawa ia hanya untuk mengesahkan bahawa kongsi gelap 14K tidak wujud di negara ini, sedangkan ia sebenarnya lebih dari sekadar itu.

Kenapa Zahid mengutuskan surat tersebut secara bersendirian dan secara tidak diplomatik, tanpa memaklumkan kedua-dua pihak polis dan juga Kementerian Luar?

Atau adakah Zahid mengakui bahawa beliau sebenarnya tidak memahami makna suratnya kepada FBI itu; dan jika demikian, siapakah penulis sebenar surat tersebut?

Semua mata bukan sahaja memandang Zahid, tetapi juga melihat bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu menangani skandal pertama dalam pentadbirannya bagi tahun ini; atau adakah Najib akan melakukan apa yang selalunya beliau lakukan dalam keadaan begini dengan terus buat tidak tahu sahaja.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah