Adakah surat Zahid kepada FBI dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam – hampir pasti tidak, kerana semua menteri tahu mereka tidak patut mencari masalah
Adakah perihal surat Menteri Dalam Negeri kepada pihak FBI yang menjamin integriti seorang warga Malaysia yang didakwa ‘raja judi’ Paul Phua yang sedang dibicarakan di Las Vegas Nevada, dan bertentangan dengan komunikasi pihak polis dengan FBI, dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam?
Sepatutnya dibincangkanlah, sekiranya para Menteri peduli dengan kepentingan serta reputasi antarabangsa negara, dan sekiranya sistem pentadbiran negara telah melalui proses transformasi, mendaulatkan prinsip-prinsip akauntabiliti dan urustadbir yang baik.
Lagipun, para Menteri seperti juga rakyat Malaysia yang lainnya pasti teringin mahu tahu kenapa surat Zahid itu ditarik balik dalam kes di mahkamah Nevada di Las Vegas selepas Putrajaya membantah surat tersebut digunakan dalam pembelaan Paul Phua.
Surat Zahid jelas mempertahankan Phua. Siapa yang membantahnya daripada digunakan di mahkamah terbuka? Zahid, Peguam Negara, pihak polis atau Perdana Menteri sendiri?
Adakah Menteri-menteri Malaysia juga sekumpulan politikus khas yang seperti hikayat tiga beruk yang punya mata tetapi tidak melihat, punya telinga tetapi tidak mendengar dan punya mulut tetapi tidak berkata-kata – yang langsung tidak berminat dengan apa yang dibuat dan dicakapkan oleh Menteri lain, walaupun mereka terikat dengan prinsip pertanggungjawaban kolektif?
Saya tidak rasa surat Zahid kepada FBI itu sampai pun ke peringkat Kabinet semalam, jika tidak tentulah rakyat Malaysia dimaklumkan tentang keputusan Kabinet mengenainya.
Menteri-menteri kita adalah tergolong dalam kelompok istimewa, mereka pastinya tahu untuk tidak mencari masalah.
Tidak akan ada menteri yang mahu tahu atau bertanya dalam mesyuarat Kabinet apa sebabnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pergi bercuti di Hawaii padahal rakyat di Pantai Timur telah diberi amaran untuk menjangkakan banjir paling besar dalam tempoh beberapa dekad ini; atau bertanya ke mana perginya jet VIP kerajaan ketika Najib memendekkan percutiannya ke Hawaii dan bergegas pulang menaiki pesawat komersil untuk mengendalikan sendiri operasi mitigasi banjir di tanah air, walaupun media melaporkan bahawa pesawat itu berlepas dari Honolulu ke Los Angeles, kemudian ke Indianapolis dan kekal di situ selama enam hari sehingga 31 Disember 2014, dan kemudian berlepas pula ke Los Angeles, New York, London, Dubai, Bangkok dan hanya pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4 Januari.
Tidak ada menteri yang mahu tahu tentang persediaan pengurusan bencana banjir yang begitu teruk, mengakibatkan kematian 23 nyawa, pemindahan suku juta mangsa, dengan sejuta orang terjejas akibat banjir serta kerugian berbilion ringgit; atau kenapa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mempengerusikan satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara sahaja pada tahun 2014, itu pun sudah 12 bulan lalu pada 3 Januari 2014, sedangkan bencana banjir 2014-2015 ini adalah bencana terburuk dalam sejarah.
Di mesyuarat Kabinet semalam, yang tidak bersidang sudah tiga minggu sepanjang bencana banjir terburuk masa kini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa telah diarahkan untuk menentukan peranan dan tanggungjawab kementerian dan agensi dalam kerja-kerja pasca bencana banjir yang melanda beberapa negeri.
Ini bermakna arahan yang dikeluarkan Perdana Menteri pada 28 Disember kepada Menteri-menteri Kabinet yang sedang bercuti di luar negara supaya pulang ke tanah air serta merta bagi membantu operasi banjir tidak dipedulikan, dan Perdana Menteri terpaksa menunggu sehingga semalam untuk mengarahkan KSN bagi menentukan peranan dan tanggungjawab para menteri dalam keadaan pasca bencana ini.
Kenapa keluarkan arahan jika Perdana Menteri tidak mampu menguatkuasakannya, dan terpaksa pula menunggu sehingga mesyuarat Kabinet yang dijadualkan sepuluh hari kemudian pada 7 Januari untuk KSN pula menentukan peranan dan pembahagian tanggungjawab kepada menteri-menteri?
Berapa orang menteri yang patuh kepada arahan Najib dan memendekkan percutian mereka di luar negara dan kembali bekerja lebih awal daripada jadual? Berapa ramai pula menteri yang tidak langsung mengendahkan arahan Najib, meneruskan percutian masing-masing dan berlengah-lengah daripada kembali kepada tugas menteri?
Pastinya semua maklumat ini adalah rahsia kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan menjadi sebab tambahan kenapa para menteri tidak menjaga tepi kain orang lain dan mengabaikan prinsip kebertanggungjawaban kolektif bagi mengelak daripada membangkitkan masalah-masalah yang memalukan menteri lain dalam Kabinet.
Pepatah Inggeris ‘Those who live in glass houses should not throw stones’* pastinya menjadi asas petunjuk para menteri dalam Kabinet Malaysia.
*mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih