Email kepada Najib mengajak bermesyuarat sebelum mesyuarat Kabinet hari Rabu nanti mengenai lima langkah penting untuk menangani banjir terburuk dalam beberapa dekad terakhir ini, termasuk pembentukan Majlis Tindakan Bersama Bencana Banjir antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat
Sebelum jam 9 malam semalam, saya telah mengutus sepucuk email kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengajak beliau bermesyuarat sebelum mesyuarat Kabinet hari Rabu nanti mengenai lima langkah penting untuk menangani banjir terburuk dalam beberapa dekad terakhir ini, termasuk pembentukan Majlis Tindakan Bersama Bencana Banjir antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Bencana banjir dalam masa dua minggu yang lalu – yang hanya disedari Perdana Menteri sebagai sebuah malapetaka, dengan Gua Musang dan Kuala Krai antara dua tempat paling teruk terjejas, pada hari keempat sejurus pulang dari Hawaii – adalah sebuah musibah nasional yang telah memperlihatkan nilai-nilai terbaik rakyat Malaysia.
Inilah kekuatan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, daerah, garis politik, jantina dan umur; boleh bergabung tenaga dan membantu mangsa-mangsa banjir – dengan bilangan mangsa mencecah suku juta orang dipindahkan ke pusat pemindahan dan lebih satu juta mangsa yang terjejas akibat banjir.
Kerugian akibat bencan ini telah dianggarkan kira-kira Rm1 bilion, dan semakin bertambah – manakala Jabatan Meteorologi telah memberi amaran bahawa mahupun gelombang kedua banjir kelihatan sudah beransur surut, gelombang ketiga lonjakan monsun dijangka bermula pada 7 atau 8 Januari, dengan kemungkinan hujan lebat sehingga tiga hari berturut-turut di kawasan-kawasan tertentu, terutamanya di Johor, Sabah dan Sarawak.
Pembentukan Majlis Tindakan Bersama Bencana Banjir antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat akan membolehkan usaha-usaha bantuan di lapangan dibuat secara rasmi dari segi bantuan yang dilakukan oleh ahli-ahli parti BN dan Pakatan Rakyat kepada mangsa banjir tanpa mengira kaum, agama mahupun negeri dalam masa dua minggu lalu.
Majlis Keselamatan Negara dengan rasminya telah menyatakan bahawa banjir besar yang melanda Kelantan adalah yang terburuk dalam sejarah negeri itu.
Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab dalam kenyataannya menyebut paras air dalam banjir baru-baru ini melampaui banjir pada tahun 1967.
Menurut laporan MKN, paras air Sungai Kelantan di Tambatan DiRaja, yang memiliki paras bahaya pada tahap 25 meter, mencecah 34.17 meter bulan lalu, berbanding 29.7 meter pada tahun 2004 dan 33.61 meter pada tahun 1967.
Paras air di Tangga Krai, yang mempunyai paras bahaya 5 meter, mencecah 7.03 meter berbanding 6.70 meter pada tahun 2004 dan 6.22 meter pada tahun 1967.
Thajudeen sebelum ini telah mendakwa bahawa banjir yang melanda Kelantan adalah luar biasa, menyifatkannya sebagai kejadian sekali dalam seribu tahun.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula dilaporkan berkata bahawa banjir baru-baru ini tidaklah seteruk pada tahun 1967.
Pun begitu, biarpun mendakwa bahawa banjir kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah Kelantan, Thajudeen dengan jelas melupakan bencana ‘bah merah’ di Kelantan pada bulan Januari 1926, yang dirujuk sebagai bencana banjir paling dahsyat melanda Kelantan, menenggelamkan seluruh negeri itu dengan air bah berwarna kemerah-merahan, berbeza daripada air banjir berwarna teh-susu atau perang seperti selalunya, akibat banyak berlaku tanah runtuh berikutan hujan yang turun tanpa henti selama sepuluh hari.
Thajudeen mesti memperjelaskan hal ini, namun apa yang lebih penting ialah bukan menuding jari menyalahkan sesiapa atau mendakwa itu dan ini; ia patut diserahkan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat bencan ini.
Apa yang paling penting dan harus dilakukan segera ialah memastikan pelan pengurusan dan mitigasi banjir dilaksanakan bagi senario terburuk sekiranya gelombang ketiga monsun yang dijangka pada 7 atau 8 Januari ini, demi memastikan semua mangsa banjir terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Pahang boleh memulakan kehidupan baru dan kembali hidup seperti sediakala dalam masa paling singkat – dalam masa dua bulan, dan bukannya ‘sekurang-kurangnya enam bulan’.
Atas sebab ini saya telah menghantar email kepada Perdana Menteri untuk bertemu beliau sebelum mesyuarat Kabinet pada hari Rabu, untuk mengemukakan lima cadangan, iaitu:
- Perisytiharan darurat bencana bagi negeri-negeri yang terjejas akibat banjir;
- Pembentukan Majlis Tindakan Bersama Bencana Banjir antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat;
- Mengadakan sidang Parlimen khas pada bulan ini bagi membahaskan bencana banjir ini, dan juga membahaskan penangguhan pelaksanaan GST supaya tidak menambah beban mangsa-mangsa banjir;
- Menggandakan peruntukan RM500 juta kepada mangsa banjir supaya genap RM1 bilion bagi membolehkan setiap mangsa yang terjejas punca pendapatannya akibat banjir dapat memohon pinjaman tanpa faedah antara RM1,000 hingga RM250,000 untuk memulakan semula kehidupan dan perniagaan mereka;
- Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kelemahan dan kegagalan pelan kesiapsiagaan bencana banjir untuk memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.