Ketua Polis Negara sepatutnya menjadi anggota polis berpangkat tinggi yang non-partisan bagi mendaulatkan undang-undang tanpa rasa takut mahupun berpihak, bukannya berlagak seperti ketua keselamatan Perdana Menteri dengan menganiaya dan mengganggu mereka yang berani berbeza pendapat
Saya memuji Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di atas sikap bertenang dan tidak hairannya terhadap video ugutan oleh tiga orang lelaki untuk meletupkan kereta yang sedang dipandunya. Ini sememangnya diharapkan daripada penjawat awam apabila berhadapan ancaman ekstremis yang bertujuan menakut-nakutkan mereka daripada melaksanakan tanggungjawab.
Khalid telah menunjukkan contoh yang baik dengan menyatakan bahawa beliau tidak gentar dengan ugutan bunuh terhadapnya, celaannya terhadap kumpulan yang dikenali sebagai ‘Anak Malaysia Anti Demokrasi’ yang dsifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab kerana tidak menghormati demokrasi berparlimen dan tidak memahami makna sebenar demokrasi.
Semua rakyat Malaysia akan menyokong tindakan tegas oleh pihak berwajib untuk menghukum mereka yang terlibat dalam pembikinan video seakan-akan kumpulan pengganas IS yang mengancam untuk bertindak ganas, termasuk mahu membunuh Ketua Polis Negara, kerana rakyat Malaysia tidak boleh membenarkan budaya yang tercela begitu berakar di bumi Malaysia.
Pada 15 Februari, sebuah video telah dimuatnaik menggunakan akaun YouTube yang diberi nama ISIS Malaysia 69, menampilkan empat lelaki bertopeng yang mengugut mahu membakar mercun di mahkamah-mahkamah di seluruh negara, yang kemudian diikuti satu lagi video, menampilkan tiga individu yang memanggil diri mereka Anak Muda Anti Demokrasi (AMAD) pada hari Selasa, mengugut mahu membunuh Khalid, dengan meletupkan kereta yang dipandunya.
Malaysia tidak memerlukan keganasan dan kekejaman ala-ISIS di tanah air kita.
Sehari sebelum video ugutan ala-IS untuk membunuh Khalid ini muncul, saya telah mengeluarkan kenyataan mengkritik Ketua Polis Negara atas kesilapannya mengurus keutamaan, apabila beliau menubuhkan unit khas polis pertama di dunia untuk menguruskan kes hasutan, supaya beliau boleh memberikan arahan melalui Twitter bagi mereka mengganggu pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis NGO, sambil tidak mempedulikan ancaman yang lebih besar oleh IS yang telah melebarkan capaiannya sehingga melibatkan anak muda Malaysia termasuk gadis berusia 14 tahun.
Saya tidak tahu sama ada video ala-IS yang mengugut mahu membunuh KPN sehari kemudian itu merupakan sesuatu yang serius dan membuktikan dengan jelas ketibaan budaya ala-IS di Malaysia, atau sekadar lawak bodoh yang memualkan. Namun kandungan kritikan saya terhadap obsesi KPN terus kekal relevan.
Saya bersetuju dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata semalam bahawa jawatan KPN mesti dihormati kerana barangsiapa yang menjawatnya berperanan sebagai sebuah institusi dan bukan sebagai seorang individu.
Ini tepat sekali kerana Khalid sebagai KPN mewakili sebuah institusi dan bukan seorang individu adalah sebab kenapa beliau harus sedar tentang peranan dan tanggungjawabnya – untuk bertindak sebagai pegawai polis berpangkat tinggi yang non-partisan bagi mendaulatkan undang-undang tanpa rasa takut mahupun berpihak, tidak kiralah sama ada yang melanggarnya itu dari kalangan pembangkang, masyarakat sivil mahupun kerajaan, dan bukannya berlagak seperti ketua keselamatan Perdana Menteri dengan menganiaya dan mengganggu mereka yang berani berbeza pendapat.
Kelakuan Khalid sebagai KPN akhir-akhir ini tidak mencapai standard profesional tinggi yang diharapkan daripada jawatan berinstitusi tinggi itu, dan melemahkan keyakinan dalam negara dan antarabangsa terhadap kredibiliti dan integriti institusi KPN.
Ia seolah-olah pengadil perlawanan bola sepak yang terlupa peranan profesionalnya yang tidak berpihak kepada mana-mana satu pasukan berbanding yang lain dalam sesebuah perlawanan, bukan sahaja membenarkan sepakan-sepakan salah oleh pasukan yang disokongnya, malah turut sama melakukan sepakan-sepakan salah tersebut.
KPN seharusnya menjauhkan diri dari keributan politik negara yang melibatkan peserta politik, sama ada kerajaan, pembangkang atau masyarakat sivil, dan menjaga sifat berkecualinya dengan cermat dan berhati-hati, menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau berpihak dan bertindak terhadap mereka yang melanggar undang-undang, sama ada kerajaan atau pembangkang.
Malangnya, Khalid telah membina imej yang cukup negatif bagi dirinya sebagai ketua keselamatan Perdana Menteri, mengetuai kempen untuk mengganggu, menakut-nakutkan dan malah mengugut pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis NGO sementara sama sekali tidak peduli terhadap pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh Barisan Nasional dan anasir pro-Umno/BN..
Khalid hanya akan menjejaskan kredibiliti dan integriti jawatan Ketua Polis Negara jika beliau meneruskan sikap bertindak secara terpilih dan tersalah arah ini.
Adakah Khalid bersedia untuk menghentikan gangguan dan penindasan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis NGO sepertimana kes terbaru melibatkan Pengerusi DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming; Setiausaha Agung PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Exco Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua AMK Dr Afif Bahardin, Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan, kartunis Zunar, dan aktivis-aktivis NGO seperti pemimpin mahasiswa Adam Adli, aktivis Jingga 13 Fariz Musa; peguam hak asasi manusia, Eric Paulsen; serta aktivis Bersih, Hishamuddin Rais; dan mula mengambil tindakan terhadap orang Umno seperti Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Ismail Sabri, dan juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mashitah Ibrahim atas ucapan penuh kebencian dan pembohongan oleh mereka?
Pun begitu, apa yang menjadi kerunsingan utama buat rakyat Malaysia yang cakna dan peduli ialah perasaan bahawa pihak berkuasa dan polis telah kehilangan arah dalam hal ancaman keselamatan oleh fenomena baru IS di Malaysia.
Sebaliknya tidak harus ada rasa teruja terhadap kemajuan IS seperti yang diluahkan secara terbuka oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam sebuah majlis Umno Jun lalu.
Walaupun terdapat usaha-usaha oleh pihak polis untuk menangani ancaman IS sepanjang enam bulan lalu, adalah amat merunsingkan apabila pihak berkuasa Malaysia kelihatan terus tewas apabila ancaman IS terus bertambah rancak dalam tempoh beberapa bulan lalu sehingga bukan sahaja berjaya mengumpan anak muda Malaysia termasuk remaja lelaki dan perempuan berusia 14 tahun menyertai mereka dalam aktiviti terorisme di Syria dan Iraq, tetapi juga mampu menggerakkan sel-sel mereka di dalam negara dan mengadakan komplot untuk menculik taukey-taukey Cina serta menjalankan rompakan bank – seperti yang didedahkan oleh Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan terbarunya, yang boleh dipersoalkan.
Pada ambang Krismas bulan Disember tahun lalu, polis telah menahan seorang wanita berusia 27 tahun di KLIA, yang merancang untuk terbang ke Syria bagi menyertai seorang pejuang ISIS yang dinikahinya melalui Skype dua minggu sebelum itu.
Bulan lalu, seorang warga Malaysia berusia 29 tahun yang dihantar pulang dari Australia telah ditahan di Kuala Lumpur kerana disyaki mengendalikan sel transit ke Syria bagi warga Malaysia yang direkrut oleh kumpulan pengganas IS.
Baru sahaja semalam dilaporkan mengenai kematian keenam warga Malaysia di Syria setelah berjuang demi IS.
Tidak kurang daripada 60 rakyat Malaysia telah direkrut oleh pihak-pihak pengganas IS di Syria. Pihak polis telah menahan lebih kurang 50 orang warga Malaysia setakat ini, kerana cuba menyertai IS atau menjadi pemudahcara operasi rekrut mereka.
Kenyataan yang bertentangan malah mengelirukan oleh beberapa Menteri Kabinet dan jabatan kerajaan, termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Wanita Keluarga dan Pembangunan Komuniti, jabatan-jabatan agama; apabila seorang gadis berusia 14 tahun dari Muar Johor yang sedang belajar di sebuah sekolah tahfiz di Shah Alam ditahan di KLIA ketika beliau ingin berlepas ke Syria minggu lalu, adalah contoh terbaik bahawa pihak polis jabatan kerajaan telah hilang punca tentang bagaimana cara terbaik untuk menangani ancaman IS.
Penahanan gadis 14 tahun itu pada 17 Februari lalu dipercayai merupakan kali kedua seorang remaja ditangkap kerana disyaki terlibat dalam aktiviti IS, kerana pada 13 Oktober lalu, seorang remaja berusia 14 tahun turut ditahan bersama lima orang ahli keluarganya kerana berniat menyertai kumpulan pengganas IS.
Mengulas tentang pengaruh kumpulan pengganas IS di Malaysia, bekas KPN Tan Sri Musa Hassan berkata bahawa pihak-pihak berkaitan seharusnya berusaha mendidik orang ramai tentang bagaimana pihak pengganas ini telah tersasar daripada ajaran Islam sebenar dan menasihatkan rakyat Malaysia supaya menjauhi mereka dan mengelak daripada terlibat dengan pengganas yang berpangkalan di Syria ini.
Musa berkata bahawa orang Melayu di negara ini, apabila bercakap tentang Islam, mereka mudah dipengaruhi untuk membantu bedasarkan simpati. Jadi kita harus mengingatkan mereka bahawa IS ini bukan masalah kita, jangan terlibat dalam masalah negara lain.
Strategi reaktif yang bersahaja dan tidak kreatif ini menerangkan kenapa cabaran idea IS menjangkaui sempadan antarabangsa tidak ditangani secara berkesan, kerana tarikan IS tidak bergantung kepada media tradisional untuk menyampaikan mesej mereka tetapi keberkesanan laman web mereka dengan ribuan tentera siber bagi mempromosi ideologi IS.
Media arus perdana Malaysia, sambil mencerminkan pemikiran tuan-tuan politik mereka di dalam kerajaan, masih menampilkan imej IS yang jinak, tanpa mempedulikan keganasan dan kekejaman mereka memenggal kepala, menyalib dan membunuh mangsa beramai-ramai.
Artikel utama dalam keluaran terbaru majalah Atlantic, ‘What ISIS really means’ berhujah bahawa “IS adalah sekadar sekumpulan penderita sakit jiwa, sebuah kumpulan keagamaan dengan aqidah yang bersukat, dan dari kalangan mereka adalah agen utama ari kehancuran mendatang.”
IS berpaut pada idelogi Salafi-Jihadi yang mendukung Daulah Islamiah melalui peperangan dan mengkafirkan kerajaan yang tidak mendaulatkan undang-undang syariah, yang turut melibatkan ketua-ketua negara setiap negara umat Islam yang melaksanakan undang-undang manusia mengatasi Syariah – termasuk Malaysia.
Dengan pengumuman bahawa ‘Khilafah’ telah dipulihkan, IS kini berada dalam fasa baru ‘jihad ofensif’ – yang membenarkan kemasukan secara paksa ke negara-negara yang diperintah oleh orang bukan Islam atau tidak menyerah kepada khilafah.
Sepertimana yang dijelaskan oleh seorang ideolog IS, ‘tanpa khilafah, jihad ofensif adalah konsep yang tidak boleh digunakan. Tetapi peperangan demi menyebarluaskan khilafah adalah tanggungjawab utama khalifah’.
Undang-undang peperangan kejam yang diamalkan oleh IS dipersembahkan sebagai dasar belas kasihan berbanding kekejaman – bahawa IS mempunyai tanggungjawab menjalankan keganasan ke atas musuhnya dengan memenggal kepala, menyalib, memperhamba wanita dan kanak-kanak, kerana memperbuat yang demikian itu mempercepatkan kemenangan dan mengelak konflik berterusan.
Pihak berkuasa kerajaan dan politik harus segera menanggapi kerumitan dan cabaran ancaman IS kepada keselamatan dan usaha pembangunan negara di Malaysia, dan menyediakan strategi nasional yang berkesan untuk melawan dan mengalahkannya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak patut membentangkan satu lagi Kertas Putih apabila Parlimen bersidang 9 Mac nanti mengenai perkembangan terbaru ancaman IS di Malaysia.