Keputusan Umno untuk tidak menyertai pilihanraya kecil Chempaka amat dialu-alukan, tetapi ia seharusnya menjadi pelopor kitaran budi demi perpaduan dan perukunan kembali negara
Keputusan yang diumumkan oleh Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam, bahawa Umno tidak akan menyertai pilihanraya kecil di Kelantan adalah amat dialu-alukan meski bukan kerana sebab-sebab yang diberikan.
Najib berkata bahawa keputusan tersebut dibuat demi perpaduan umat Islam, dan juga supaya kerajaan persekutuan dapat menumpukan kepada kerja-kerja bantuan dan pemulihan banjir yang masih berjalan.
Amat sedih sekali melihat setelah 58 tahun Merdeka, dan 6 tahun melancarkan dasar 1Malaysia, Najib akhirnya mengundur dan bercakap tentang perpaduan umat Islam, ketimbang perpaduan negara Malaysia.
Keputusan Umno untuk tidak menyertai pilihanraya kecil Chempaka seharusnya menjadi pelopor bagi menyemai kitaran budi kesederhanaan, toleransi, demi perpaduan dan perukunan kembali negara; setelah satu tempoh yang begitu lama retorik kebencian, tidak toleran, ekstremisme dan kefanatikan terhadap kaum mahupun agama menguasai ruang awam dan menimbulkan persoalan-persoalan meresahkan tentang masa depan Malaysia.
Tidak dinafikan bahawa usaha-usaha bantuan dan pemulihan pasca banjir perlu digandakan setelah Kelantan dilanda bencana terburuk dalam sejarah pada Disember 2014, walaupun sebuah persidangan khas Parlimen bulan lalu, atau sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat bencana terbabit mungkin merupakan bukti yang lebih baik untuk menunjukkan kebimbangan terhadap kegagalan pengurusan bencana dan keperluan untuk lebih bersedia pada masa akan datang.
Kemungkinan bagi Umno untuk tidak menyertai PRK Chempaka sudah begitu jelas sejak dari mula, seperti yang dapat dilihat melalui mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Barisan Nasional selama dua jam Jumaat lalu dalam tempoh 24 jam kematian Tok Guru Nik Aziz pada malam Khamis 12 Februari dan juga pertemuan antara Perdana Menteri dan Menteri Besar Kelantan di Putrajaya pada hari Isnin.
Ini sebabnya kenapa dalam surat terbuka pra mesyuarat Kabinet yang saya tujukan kepada Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, sebelum mesyuarat Kabinet semalam, dua perenggan terakhir surat itu berbunyi seperti berikut:
“Apakah babak seterusnya dalam perancangan jahat Umno/BN untuk menggugat, memecahbelah dan menghancurkan Pakatan Rakyat, di saat Anwar telah menghalang rancangan mereka, dan kini tidak akan berlaku dua pilihanraya kecil di DUN Chempaka di Kelantan, dan Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang, tetapi hanya satu sahaja.
Sekurang-kurangnya Liow dan Mah boleh menasihatkan pemimpin Umno dan BN untuk meneruskan rancangan asal mereka untuk tidak bertanding dalam PRK Chempaka bagi membenarkan PAS menang tanpa bertanding, dan kemudian juga tidak menyertai PRK Permatang Pauh sekiranya permohonan pengampunan Anwar ditolak.”
Walaupun ada sesetengah orang yang melihat tindakan Umno meminggirkan diri daripada PRK Chempaka sebagai sebahagian daripada rencana Machiavellian Umno untuk menggugat, memecahbelah dan menghancurkan Pakatan Rakyat demi memajukan kitaran jahat komplot demi komplot untuk memperburukkan lagi perbezaan dan perbalahan di dalam Pakatan Rakyat dan PAS, ini sebenarnya tidak perlu dilihat begitu.
Tindakan Umno menjauhkan diri dari Chempaka, diikuti pengumuman jelas bahawa Umno tidak akan bertanding di PRK Parlimen Permatang Pauh, mampu memulakan sebuah proses yang budiman, positif dan menepati ciri negarawan ke arah kerukunan semula negara demi membentuk perpaduan dan konsensus bagi menyepadukan kesemua kuasa politik dan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan daerah di dalam satu ikhtiar nasional demi menyelamatkan Malaysia daripada segala macam tribulasi dan dugaan – baik politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan alam sekitar – yang mengancam negara.
Persoalannya kini ialah, adakah pemimpin negara ini mampu menerima cabaran ini.