Mungkinkah mesyuarat Kabinet esok akan menyelesaikan sama sekali isu kenyataan perkauman Ismail Sabri supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina atau adakah Kabinet akan ponteng sahaja dan tidak bermesyuarat langsung, atau bermesyuarat tanpa membincangkan isu tersebut?

Adakah mesyuarat Kabinet esok akan menyelesaikan sama sekali isu kenyataan perkauman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina yang sudah berlarutan selama dua setengah minggu, atau adakah Kabinet akan ponteng sahaja dan tidak bermesyuarat langsung dengan alasan esok ambang Tahun Baru Cina, atau bermesyuarat tanpa membincangkan isu tersebut?

Saya tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis apabila membaca laporan bahawa Ismail Sabri berkata bahawa beliau tidak akan menghadiri acara sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di kawasannya di Bera, Pahang kerana kekecohan ekoran kenyataan perkaumannya supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina masih belum reda.

Beliau mendakwa telah mendapat maklumat bahawa sekiranya beliau menghadiri acara tersebut, penyokong DAP pun turut mungkin hadir dan mungkin membaling objek ke arahnya.

Ini merupakan kenyataan cuai dan tidak bertanggungjawab yang kedua dalam masa beberapa minggu sahaja, yang menguatkan lagi persoalan sama ada beliau layak untuk terus menjadi menteri bagi semua rakyat Malaysia di dalam negara majmuk ini.

Ismail sekali lagi mencipta sejarah, tetapi sejarah yang keji dan tidak terpuji, apabila menjadi menteri pertama dalam negara yang tidak berani hadir ke acara keramaian sebuah komuniti disebabkan bebelan perkaumannya yang disifatkan sebagai tidak berasas dan merupakan cercaan yang tidak diminta terhadap komuniti Cina, sedangkan masalah kenaikan harga barang bukanlah persoalan kaum dan tidak sepatutnya dilihat melalui kanta perkauman.

Adakah Ismail bangga menjadi menteri pertama yang tidak berani menayang mukanya di majlis perayaan Tahun Baru Cina hanya kerana takut akan bayangan konon akan dilempar objek, walaupun mempunyai pengawal peribadi dan pengiring yang dibayar oleh dana awam?

Ini adalah sebuah tragedi kegagalan membina negara bangsa Malaysia selepas 58 tahun Merdeka – bukti bahawa negara semakin terkebelakang dan tidak maju ke hadapan.

Ismail masih belum menarik balik mahupun meminta maaf atas kenyataan perkaumannya menyuruh pengguna Melayu memboikot peniaga Cina mahupun dikeluarkan daripada Kabinet, walaupun isunya kini bukan lagi mengenai Ismail tetapi bagaimana dan kenapa jemaah menteri seramai 35 orang boleh membenarkan, membiarkan malah mempertahankan Ismail dalam mesyuarat pertamanya berkenaan isu tersebut dan terus tidak mampu membuat keputusan dan tidak berfungsi menyatakan pendirian dalam isu-isu besar antara yang salah dan yang benar.

Tidak ada faedahnya membuang masa dan hujah untuk meyakinkan Ismail Sabri bahawa bicara hipokritnya langsung tidak boleh diterima di kalangan rakyat Malaysia yang berfikir, dan dakwaannya bahawa beliau tidak kesal mahupun meminta maaf atas kenyataan itu malah hanya kesal bahawa respon terhadap kenyataannya cenderung berbaur perkauman seakan menambah garam ke luka.

Dengan kata lain, beliau mendakwa bahawa orang lain semuanya salah, kecuali dirinya sajalah yang betul.

Saya tidak rasa Ismail Sabri boleh meyakinkan pelajar sekolah rendah dengan hujah yang begitu tidak logik, singkat dan mengarut.

Soalan yang lebih utama ialah kenapa jemaah menteri seramai 35 orang tidak dapat menangkap sesuatu yang boleh difahami pelajar sekolah rendah dengan mudah, bahawa Ismail bersalah kerana menimbulkan isu perkauman secara tidak bertanggungjawab apabila beliau menyeru pengguna Melayu memboikot peniaga Cina.

Sekiranya Ismail tidak bersedia untuk menarik balik dan meminta maaf atas kenyataannya, negara wajar bergerak terus – bukan untuk melupakan hal tersebut, tetapi menuntut penjelasan penuh daripada kesemua menteri Kabinet yang lain, tidak kira Umno, MCA, MIC, Gerakan mahupun parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak; serta Perdana Menteri untuk menjelaskan bagaiamana mereka boleh membiarkan, membenarkan malah mempertahankan kenyataan perkauman Ismail.

Ismail dan seluruh 35 anggota jemaah menteri hanya boleh menyalahkah diri masing-masing sekiranya episod Ismail Sabri ini turut menjadi topik perbualan utama, seperti pemenjaraan Anwar pada perayaan Tahun Baru Cina nanti.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah