Peluang kedua dan terakhir untuk 35 Menteri Kabinet esok bagi menunjukkan sama ada berpendirian bahawa ‘Kami semua Ismail Sabri’ atau ‘Kami Semua Bukan Ismail Sabri”!

Peluang kedua dan terakhir untuk 35 Menteri Kabinet esok bagi menunjukkan sama ada berpendirian bahawa ‘Kami semua Ismail Sabri’ atau ‘Kami Semua Bukan Ismail Sabri”!

Menteri Kabinet sepatutnya berhenti mengelak dan menghentikan pendirian hipokrit mereka, kerana mendabik dada dan berjanji untuk menuntut keadilan bagi komuniti Cina setelah kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri terhadap masyarakat Cina, apabila Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan bahawa menteri-menteri daripada MCA dan MIC tidak langsung meminta Ismail menarik balik kenyataan perkaumannya atau supaya meletakkan jawatan daripada Kabinet. Tidak ada disebut tentang peranan Menteri dari Gerakan dalam Kabinet.

Semalam, selepas seminggu berlengah-lengah, pihak polis akhirnya merakamkan kenyataan daripada Ismail Sabri berikutan seruan perkaumannya supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina.

Rakyat Malaysia masih lagi tertarik dan hairan kenapa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar terus berkeras untuk membazirkan masa dan sumber pasukan polis untuk menyiasat Menteri Pertanian sedangkan Kabinet, pada hari Rabu yang lalu telahpun membenar, membiarkan bahkan mempertahankan kenyataan perkauman Ismail yang menyeru supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina.

Adakah KPN cuba menyatakan bahawa pihak polis berani mengatakan yang Perdana Menteri dan seluruh anggota Kabinet adalah salah dalam mempertahankan kenyataan Ismail Sabri, dan mengemukakan kertas siasatannya kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya?

Siapa yang boleh membayangkan Peguam Negara mendakwa bukan sahaja Ismail tetapi juga Perdana Menteri dan keseluruhan anggota Kabinet di mahkamah kerana mempertahankan seruan perkauman Ismail supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina?

Senarionya akan berubah sekiranya Kabinet dalam mesyuaratnya esok mengisytiharkan bahawa 35 menteri Kabinet tidak menyokong, merelakan mahupun mempertahankan kenyataan Ismail dengan menyatakan “Kami semua bukan Ismail Sabri”!

Adakah Kabinet akan mengeluarkan kenyataan selepas mesyuaratnya esok menjelaskan bahawa Kabinet tidak bertindak mendahului siasatan polis atau pun kuasa pendakwaan Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam episod Ismail Sabri ini?

Sementara saya masih mempunyai keraguan terhadap cakap-cakap kosong pihak polis dalam pertunjukan kononnya menyiasat Ismail Sabri sedangkan tangan mereka dibelenggu keputusan Kabinet Rabu lalu (kecualilah Kabinet mahu memberi jaminan bahawa polis masih bebas untuk menyiasat dan Peguam Negara juga bebas mendakwa Ismail Sabri), saya bagaimana pun berpendapat bahawa pihak polis tidak sepatutnya berlengah dan segera melancarkan siasatan terhadap dakwaan ugutan bunuh terhadap Ismail Sabri.

Seorang menteri yang telah membuat kenyataan perkauman supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina pun berhak mendapat perlindungan terhadap kebebasan dan kehidupan di mata undang-undang, dan ini tidak boleh dinafikan daripada Ismail!

Semalam, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melembutkan rasa tidak senangnya terhadap seruan perkauman Ismail supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina apabila beliau menggesa orang ramai supaya menilai dengan cermat kenyataan Ismail sebelum menghukumnya, dengan berkata ‘Apa yang kita baca di surat khabar sahaja tidak cukup’.

Oleh yang demikian, saya pun mencari perkongsian asal di Facebook Ismail, yang merupakan perkongsian paling terkenal di kalangan personaliti awam (terutamanya di kalangan Menteri Kabinet) di Malaysia, yang begitu terkenal dan mempersalahkan diri sendiri sehingga Ismail pun telah memadamkannya!

Membaca semula perkongsian asal oleh Ismail yang mencadangkan supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina, ia memperlihatkan suatu pelanggaran yang amat dahsyat terhadap ikrar seorang Menteri untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama justeru mesti dikecam dengan sekeras-kerasnya – dan bukan kerja Kabinet untuk membenarkan, membiarkan apatah lagi mempertahankan kenyataan Ismail sepertimana yang telah ia lakukan pada hari Rabu yang lalu.

Mungkin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak patut bertanya kepada setiap Menteri Kabinet sama ada mereka komited untuk menjadi menteri untuk semua rakyat Malaysia, bukan sahaja untuk sesebuah kaum, agama atau daerah; dan kemudian meminta mereka yang tidak bersedia untuk menjadi menteri bagi semua supaya segera meletakkan jawatan.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah