35 Menteri dalam Kabinet Najib bagi tahun 2015 telah mencipta sejarah – mereka ternyata mempunyai masalah pemahaman yang lebih teruk berbanding murid sekolah rendah biasa yang telah sedia terkebelakang beberapa tahun berbanding negara-negara lain
Walaupun Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bahawa Malaysia memiliki sistem pendidikan terbaik di dunia, mengalahkan Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat, penilaian pendidikan antarabangsa seperti PISA (Programme for International Student Assessment) dan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) terus konsisten menunjukkan bahawa anak-anak Malaysia berusia 15 tahun bukan sahaja berada di bawah tahap sederhana antarabangsa dalam ketiga-tiga subjek pembacaan, sains dan matematik; bahkan ketinggalan empat hingga lima tahun berbanding rakan-rakan mereka di negara-negara/rantau yang berprestasi cemerlang di Shanghai, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Jepun.
Namun mujurlah 35 Menteri Kabinet tidak mewakili negara dalam penilaian PISA dan TIMSS ini, kerana jika tidak Malaysia pastinya ketinggalan lebih sepuluh tahun berbanding negara-negara lain.
Ini adalah kerana Kabinet pada hari ini telah mencipta rekod dan sejarah; dengan memperlihatkan bahawa 35 menteri dalam Kabinet Najib bagi tahun 2015 mempunyai masalah pemahaman yang lebih teruk berbanding murid sekolah rendah biasa yang telah sedia terkebelakang beberapa tahun berbanding negara-negara lain.
Ini kerana murid berprestrasi sederhana dan biasa-biasa pun tidak akan membuat kesilapan besar sepertimana yang dilakukan oleh 35 Menteri ini hari ini, dengan menyimpulkan bahawa seruan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ismail Sabri Yaakob kepada pengguna Melayu supaya memboikot perniagaan orang Cina adalah tidak menyasarkan peniaga Cina sahaja, bahkan sebenarnya diarahkan kepada semua peniaga.
Selepas mesyuarat Kabinet, pihak polis memanggil Ismail Sabri untuk siasatan ke atas seruan perkaumannya di Facebook supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina, yang menyebabkan saya menulis di Twitter, ““Sheer rigmarole when PMO has cleared Ismail Sabri” (Kenyataan PMO membersihkan Ismail Sabri sekadar cakap kosong).
Ini telah menyebabkan pihak polis, majoritinya yang penuh dedikasi dan profesional serta komited kepada tugas menjaga keamanan dan mendaulatkan undang-undang, kelihatan bodoh.
Pada hari Isnin apabila Ismail melampaui batas dengan bebelan perkaumannya di Facebook menyeru pengguna Melayu untuk memboikot peniaga Cina, saya berpeluang bertanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sama ada akaun Twitternya bermasalah atau Bukit Aman sedang berhadapan masalah akses internet, kerana beliau nampaknya membisu beberapa jam di Twitter.
Salah satu daripada ‘trademark’ Khalid sebagai Ketua Polis Negara ialah bertindak pantas menggunakan Twitter untuk mengarahkan anggota polisnya menyiasat pemimpin politik atau organisasi sivil (tetapi bukan dari Barisan Nasional) untuk sebarang pelanggaran undang-undang dalam kenyataan atau ucapan mereka, sepertimana saya juga turut menjadi mangsa, apabila Ketua Polis Negara menulis di Twitter bahawa pihak polis akan menyiasat saya di bawah Akta Hasutan kerana mengatakan pada ulangtahun kelima kematian Teoh Beng Hock bahawa pembunuh mendiang masih belum dibawa ke muka pengadilan kerana Beng Hock tidak bunuh diri dengan melompat dari tingkat 14 bangunan pejabat SPRM di Shah Alam pada 16 Julai 2009.
Hanya beberapa jam kemudian selepas tweet saya itu Khalid menulis di Twitter bahawa Ismail akan disiasat, tetapi ternyata ini semua sandiwara semata-mata, banyak drama tetapi tidak ada makna.
Mesyuarat Kabinet hari ini adalah yang paling memalukan dalam sejarah negara kerana Menteri-menteri Kabinet tidak banyak beza berbanding bekas-bekas pemimpin pemuda Umno yang berhimpun semalam dengan mengangkat sepanduk sokongan kepada Ismail Sabri bertulis ‘I am Ismail Sabri’.
Ia menunjukkan bahawa 35 Menteri ini tidak mampu menyatakan pendirian terhadap apa yang benar dan salah di negara ini.
Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, daerah, jantina dan usia akan harus menilai dan menghakimi kualiti serta karakter 35 Menteri Kabinet ini, kerana tidak ada mana-mana warga Malaysia yang telah menghadirkan rasa malu yang lebih teruk kepada kedudukan dan reputasi antarabangsa negara selain Menteri-menteri Kabinet sendiri sejak bermula tahun baru.