Pemimpin-pemimpin politik boleh bertemu dan membincangkan cadangan menarik Mahathir untuk melihat sejauh mana ia boleh membawa kepada matlamat "Menyelamatkan Malaysia"

Pemimpin-pemimpin politik boleh bertemu dan membincangkan cadangan menarik Mahathir untuk melihat sejauh mana ia boleh membawa kepada matlamat “Menyelamatkan Malaysia”

Pada Mac tahun ini, saya telah menyarankan agar rakyat Malaysia mengumpul keberanian untuk memikirkan perkara-perkara yang tidak terfikirkan, termasuk membayangkan kemunculan seorang Perdana Menteri baru dan gabungan kerajaan baru sebelum Pilihanraya Umum ke-14 dalam tempoh tiga tahun ini bagi “Menyelamatkan Malaysia”, mempertahankan Perlembagaan Malaysia, kedaulatan undang-undang dan membentuk urus tadbir yang baik.

Menerusi beberapa kenyataan media dan ucapan sepanjang Mac dan April, saya telah membincangkan kemungkinan wujudnya satu pakatan besar “Menyelamatkan Malaysia” pasca-BN dan pasca-PR.

Saya juga telah menyatakan dengan jelas bahawa jika pakatan besar “Menyelamatkan Malaysia” pasca-BN dan pasca-PR itu dibentuk, ia mestilah tidak terhad kepada hanya kaum atau agama tertentu tetapi meliputi semua kaum, agama, dan daerah, atau dalam ungkapan lain, sebuah kerajaan gabungan yang jamak-kaum, jamak-agama dan jamak-daerah, meliputi Muslim dan bukan-Muslim, Melayu dan bukan-Melayu, serta warga Malaysia dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.

Gabungan itu juga mesti melampaui pakatan dan parti politik sedia ada, merangkumi Ahli-Ahli Parlimen dari kedua-dua kubu politik dan juga kedua-dua sisi Laut Cina Selatan, iaitu meliputi Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, bagi mempertahankan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dengan seorang Perdana Menteri baru dan sebuah kerajaan Malaysia yang baru.

Saya juga telah melakar satu senario, iaitu berasaskan kedudukan di Parlimen sekarang, Perdana Menteri baru boleh dilantik dari kalangan Ahli Parlimen dari Sarawak, Sabah atau Semenanjung Malaysia, dari mana-mana jua parti politik, lelaki atau wanita, yang mendapat sokongan majoriti daripada 222 Ahli Parlimen – dan beliau mesti komited untuk Menyelamatkan Malaysia serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Saya malah telah menyebut nama beberapa Ahli Parlimen dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia; dari kedua-dua kubu politik, lelaki dan wanita, yang boleh dilantik untuk menjadi Perdana Menteri – antara nama yang telah saya sebut ialah Tengku Razaleigh Hamzah dan Nur Jazlan Mohamed.

Saya juga telah menegaskan bahasa pakatan besar “Menyelamatkan Malaysia” tidak harus menjadi satu gabungan yang oportunistik, sebaliknya ia mesti diasaskan atas satu program yang berasaskan prinsip-prinsip dan kepentingan negara, misalnya untuk mempertahankan ciri-ciri asasi Perlembagaan Persekutuan, memulihkan kebebasan institusi negara, serta meningkatkan integriti, kebebasan, keadilan, dan harga diri rakyat negara ini.

Gabungan besar “Menyelamatkan Malaysia” pasca-BN dan pasca-PR harus menjadi satu gabungan berwawasan dan berpandangan jauh, dengan matlamat mengembalikan keagungan negara Malaysia dan membolehkan Malaysia melonjak naik dalam pelbagai bidang, termasuk bidang politik, ekonomi, pendidikan, teknologi dan alam sekitar, selain membentuk sebuah kerajaan yang bersih dari rasuah, cemerlang dan menjunjung kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia – bukannya terjerumus ke dalam jurang dan menjadi sebuah negara gagal.

Dalam ucapan kepada para pelajar di Iskandariah, Mesir, pada bulan April lalu, saya menyebut bahawa salah satu agenda utama gabungan besar “Menyelamatkan Malaysia” pasca-BN dan pasca-PR ialah membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buloh untuk kembali menyertai arus perdana politik Malaysia.

Saya telah bertanya ketika itu sama ada gagasan gabungan besar “Menyelamatkan Malaysia” pasca-BN dan pasca-PR ini, melampaui pakatan dan parti politik sedia ada, adalah sesuatu yang praktikal dan mampu dicapai?

Sudah tentu ia cabaran terbesar yang sedang dihadapi rakyat Malaysia kini dan hanya masa akan menentukan sama ada gagasan itu mampu dicapai atau tidak.

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencadangkan agar Pembangkang menyokong undi tidak percaya di Parlimen terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sambil mengekalkan Barisan Nasional sebagai kerajaan.

Para pemimpin politik boleh bertemu dan membincangkan cadangan menarik itu bagi melihat sejauh mana ia boleh membawa kita kepada matlamat “Menyelamatkan Malaysia”.

(Kenyataan Media di Kuala Lumpur, Jumaat, 21 Ogos 2015)

Lim Kit Siang DAP Parliamentary Leader & MP for Gelang Patah