Semua ahli UMNO mesti berdiri di barisan pertahanan paling depan untuk mempertahankan institusi-institusi negara dan menuntut Najib untuk secara peribadi bertanggungjawab atas pertukaran dua orang Pengarah SPRM, iaitu Bahri dan Rohaizad, dari SPRM jika beliau enggan membatalkan arahan kepada kedua-dua mereka untuk melaporkan diri di Jabatan Perdana Menteri esok
Negara mana dalam dunia ini yang perdana menterinya berikrar untuk menjadikan pembanterasan rasuah sebagai dasar utamanya tetapi dia sendiri dituduh memiliki segunung wang, dalam kes ini sebanyak RM2.6 bilion, yang disalurkan medalam akaun peribadinya sejurus sebelum Parlimen dibubarkan untuk membuka jalan kepada pilihanraya umum?
Negara mana dalam dunia ini yang perdana menterinya dituduh melakukan korupsi melibatkan wang sebanyak RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun perbankan peribadinya tetapi membisukan diri selama lebih sebulan tanpa mengatakan hatta semudah “Ya” atau “Tidak” untuk mengesahkan sama ada wang sejumlah itu pernah diterimanya atau tidak, sebaliknya terpaksa meluangkan masa yang lama untuk menyusun strategi bersama-sama para penasihat komunikasi beliau untuk mencari cara bagi menjelaskan deposit sebanyak RM2.6 bilion tersebut sebelum akhirnya membuat pengakuan – lima minggu selepas tuduhan berkenaan kali pertama muncul dalam Wall Street Journal pada 3 Julai 2015?
Negara mana dalam dunia ini yang mempunyai Pasukan Petugas Khas yang melibatkan pelbagai agensi, termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara, yang berperanan menyiasat skandal kewangan terbesar negara ini, iaitu skandal RM42 bilion 1MDB dan penyaluran wang sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi PM, tetapi tidak dibenarkan menyempurnakan penyiasatan apabila tiga daripada empat agensi terbabit dilumpuhkan oleh penguasa, iaitu apabila Peguam Negara dipecat, Gabenor Bank Negara pula “kurang sihat” dan pegawai-pegawai SPRM ditangkap dan ditukar jabatan serta-merta?
Negara mana dalam dunia ini mempunyai agensi pencegahan rasuah yang terpaksa memilih jalan akhir dengan meminta pertolongan tuhan menerusi solat hajat untuk menjalankan tugas pencegahan rasuah dan memelihara diri mereka, memandangkan ada kuasa lebih kuat yang masuk campur dalam tugas mereka untuk membasmi rasuah?
Negara mana dalam dunia ini yang demokrasi berparlimennya menyaksikan beberapa institusi utama negara dilanda gelombang serangan yang mengancam kebebasan, kesaksamaan, integriti, dan profesionalisme institusi terbabit sehingga hampir membuka tirai Zaman Gelap yang menjejaskan akhbar, Parlimen, Kabinet, sayap Eksekutif, dan institusi-institusi lain seperti Pejabat Peguam Negara, polis, agensi pencegahan rasuah dan bank pusat – semuanya ditimpa syak-wasangka berasaskan teori mengarut kononnya ada konspirasi antarabangsa untuk mengaitkan Perdana Menteri dengan jenayah dan menjatuhkan kerajaan Malaysia yang dipilih oleh rakyat?
Negara mana dalam dunia ini mempunyai perdana menteri yang sanggup memperkenalkan versi baru ajaran “Saya tolong awak, awak tolong saya” dengan menyuruh pemimpin dan ahli UMNO untuk tidak menyerangnya setelah mengambil wang daripadanya?
Negara mana dalam dunia ini mempunyai perdana menteri yang duba memusatkan pada dirinya sendiri kuasa dan peranan sebagai hakim, juri dan pendakwaraya, bagi membersihkan dirinya daripada tuduhan korupsi sebelum agensi pencegahan rasuah menemubual dan menyoalnya, apatah lagi untuk membiarkan letak-duduk perkara diputuskan oleh Peguam Negara dan mahkamah?
Hanya ada satu jawapan bagi ketujuh-tujuh pertanyaan di atas – Malaysia.
Pertanyaan dan jawapan di atas menunjukkan betapa Malaysia telah jauh tersasar daripada landasan menuju negara moderat dan demokratik yang menjunjung keluhuran undang-undang, tadbir-urus yang baik dan amalan demokrasi berparlimen yang mantap.
Saya setuju dengan Danny Quah, profesor kelahiran Pulau Pinang dalam bidang Ekonomi dan Pembangunan Antarabangsa di London School of Economics and Political Science, yang menulis dalam The Diplomat awal minggu ini bahawa Malaysia telah “terbabas” – melencong daripada ideal demokrasi, keluhuran undang-undang, kebebasan bersuara dan kesetaraan.
Kita wajib mencegah Malaysia daripada terus terjerumus ke jurang dan akhirnya menjadi sebuah negara gagal, ditadbir oleh kerajaan yang menyasar, Parlimen yang menyasar dan demokrasi berpalimen yang menyasar.
Sebagai langkah pertama menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang terbabas dan gagal, saya menyeru semua ahli UMNO untuk membentuk barisan pertahanan paling depan bagimempertahankan institusi-institusi negara dan menuntut Najib untuk secara peribadi bertanggungjawab atas pertukaran bersifat menghukum ke atas dua orang Pengarah SPRM, iaitu Datuk Bahri Mohamad Zindan Datuk Rohaizad Yaakob, dari SPRM sekiranya beliau enggan membatalkan arahan kepada kedua-dua mereka untuk melaporkan diri di Jabatan Perdana Menteri esok.
Mesyuarat bahagian UMNO seluruh negara perlu mengisi baris terdepan dalam barisan pertahanan itu bagi mempertahankan institusi-institusi negara daripada satu lagi gelombang serangan ke atas kebebasan, kesaksamaan, integriti, dan profesionalisme institusi-institusi terbabit.
Bolehkah “arahan pertukaran serta-merta” Bahri dan Rohaizad ke Jabatan Perdana Menteri yang bersifat menghukum, sembarangan dan sama sekali tidak boleh dipertahankan itu dibatalkan?
Jika tidak, langkah seterusnya dan barisan pertahanan kedua bagi institusi negara ialah dengan para menteri yang berhemah dan patriotik, dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari Rabu ini, menuntut agar arahan pertukaran Bahri dan Rohaizad dibatalkan serta-merta.
Mereka malah perlu menuntut agar pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan arahan berkenaan, termasuk Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, digantung daripada tugas.
Bolehkah kita mengharapkan Khairy Jamaluddin, Paul Low, dan malahan juga Shahidan Kassim untuk memainkan peranan utama dalam barisan pertahanan kedua ini dalam Jemaah Menteri untuk mempertahankan SPRM walaupun ia akan menyebabkan mereka hilang jawatan sebagai menteri?
Kata Najib, selepas rombakan Jemaah Menteri beliau tidak mahu “Yes Men” di kalangan menterinya, maka kes Bahri dan Rohaizad akan menjadi ujian sama ada Jemaah Menteri Najib yang baru dirombak itu tidak lain adalah “Yes Cabinet”!
Barisah pertahanan institusi negara ketiga adalah anggota-anggota panel pemantau bebas SPRM yang seharusnya bersuara mempertahankan SPRM daripada tekanan atau campurtangan dari luar agensi itu dalam menjalankan tugas berkanunnya untuk membasmi rasuah.
Saya memuji tindakan panel perundingan dan pencegahan rasuah SPRM yang menuntut supaya dua pegawai yang ditukar dari SPRM itu dikembalikan. Pengerusi panel tersebut, Johan Jaafar, menyebut bahawa pertukaran mendadak itu hanya akan membangkitkan lebih banyak kecurigaan dan memarakkan teori konspirasi.
Apakah semua anggota panel pemantau SPRM itu sepakat dengan Johan dan bersedia untuk meletak jawatan beramai-ramai sebagai tanda bantahan sekiranya mereka gagal menyelamatkan SPRM dan memastikan Bahri dan Rohaizad dikembalikan segera ke SPRM?
Parlimen akan menjadi barisan pertahanan keempat institusi negara dan rakyat Malaysia, manakala rakyat Malaysia, khususnya dalam Pilihanraya Umum ke-14, akan membentuk barisan pertahanan kelima bagi mempertahankan SPRM dan institusi negara daripada terus dilanda serangan.
Isteri Bahri, Datin Noor Haslina Abdullah, telah menyertai anak perempuan mereka, Elia Bahri, membela suaminya menerusi catatan di Facebook.
Dalam catatan Facebook, Haslina menyatakan bahawa beliau masih tidak dapat menerima perkara yang berlaku ke atas suaminya dan akan terus berdoa untuknya serta berharap agar orang lain turut berdoa bagi Bahri dan pasukannya kerana mereka telah “dianiaya”.
Dapatkah bahagian, cawangan, dan tiga juta ahli UMNO menyelamatkan Bahri dan Rohaizad dengan membentuk barisan pertahanan pertama institusi negara Malaysia?
Esok rakyat Malaysia akan mendapat jawapannya.