Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap pembunuhan Altantuya dan cara pihak berkuasa mengendalikan kes tersebut merupakan satu-satunya cara untuk menyelamatkan kredibiliti dan reputasi Najib serta jawatannya sebagai Perdana Menteri daripada bebanan Mongolia itu
Perdana Menteri Datuk Seri Najib telah sekali lagi menafikan sebarang penglibatan dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006, dalam rakaman wawancara yang disiarkan oleh TV3 semalam.
Ini berikutan terjerumusnya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama ramai lagi orang yang bertanya siapa yang telah memberi arahan kepada dua bekas komando polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar supaya membunuh Altantuya.
Berkait pembunuhan warga Mongolia itu, Najib berkata beliau telah bersumpah sebanyak tiga kali, termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada tahun 2008 bahawa beliau tidak kenal Altantuya dan tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung.
Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah juga telah muncul mempertahankan Najib, sambil menegaskan bahawa polis telah membersihkan Najib daripada sebarang kaitan dengan pembunuhan Altantuya.
Abdullah berkata bahawa beliau telah dimaklumkan mengenai kes tersebut ketika menjadi Perdana Menteri dan nampaknya begitu yakin dengan hasil siasatan tersebut.
Memandangkan Najib telah mengulangi bahawa beliau tidak mengenali Altantuya dan tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pembunuhan wanita Mongolia itu, kenapakah Najib begitu menentang cadangan siasatan penuh terhadap motif pembunuhan Altantuya, terutama sekali, siapa yang telah memberi arahan kepada dua bekas komando polis itu untuk membunuh warga Mongolia terbabit dan meletupkan mayatnya dengan bahan peledak?
Najib tidak patut berlengah lagi dan mengambil langkah segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pembunuhan Altantuuya dan mengetahui apakah motif pembunuhan tersebut, siapa yang telah mengarahkan dua bekas komando polis itu untuk membunuh Mongolia terbabit dan meletupkan mayatnya dengan bom, serta kelakuan dan pengendalian pihak-pihak berkuasa, seperti pihak polis, Jabatan Peguam negara dan badan kehakiman, yang telah gagal untuk menjalankan tugas dengan cermat demi mencari kebenaran di sebalik pembunuhan Altantuya, terutama sekali motif pembunuhannya.
RCI tersebut akan menjadi proses penyembuhan bagi Malaysia, bukan sahaja untuk mengembalikan keyakinan terhadap ingeriti dan profesionalisme institusi negara, tetapi juga kredibiliti di peringkat antarabangsa serta reputasi Perdana Menteri dan kedaulatan undang-undang di negara ini.
Isu yang patut digali oleh RCI ini termasuklah:
- Siapa yang mengarahkan supaya Altantuya dibunuh?
- Siapa yang telah mengeluarkan letupan C4 tersebut?
- Siapa yang telah memadamkan rekod imigresen kemasukan Altantuya ke dalam negara?
- Kenapa pihak polis, Peguam Negara dan badan kehakiman telah mengabaikan faktor besar dalam kes pembunuhan Altantuya ini memandangkan adalah jelas bahawa kedua-dua Azilah dan Sirul tidak akan membunuh wanita Mongolia yang tidak mereka kenali itu, tanpa didalangi oleh seseorang yang mempunyai motif untuk mengarahkan mereka berbuat demikian.
RCI tersebut juga boleh mendapatkan bantuan daripada peguam senior, Americk Sidhu, peguam kepada penyiasat persendirian, mendiang P. Balasubramaniam dan balunya, A. Santamil Selvi, yang baru-baru ini menyenaraikan soalan yang boleh ditanya kepada beberapa individu berkait pembunuhan Altantuya yang boleh memberi sedikit pencerahan bukan sahaja mengenai motif pembunuhan, tetapi juga siapa yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan Altantuya, iaitu:
“Azilah - Kenapa kamu dan Sirul membunuh seseorang yang kamu tidak kenal?
DSP Musa Safri (yang ketika itu merupakan aide de camp kepada Timbalan Perdana Menteri Najib Razak) - Apa sebenarnya yang kamu suruh Sirul dan Azilah buat kepada perempuan Mongolia yang malang itu dan siapa sebenarnya yang menyuruh kamu mendapatkan khidmat mereka?
Nasir Safar (Pegawai Khas Najib) - Kenapa kamu berlegar-legar memandu sekitar hadapan rumah Abdul Razak Baginda pada petang 19 Oktober 2006, melihat Azilah dan Sirul menculik Altantuya?
Perdana Menteri Najib - Tahukah anda bahawa empat orang staf anda terlibat dalam hal ini? Jika ya, kenapa mereka terlibat?
Deepak Jaikishan (ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan isteri Najib, Rosmah Mansor) - Siapa yang meminta kamu supaya menyuruh PI Bala menutup mulut, dan membawa beliau dan keluarganya keluar dari Malaysia sebaik sahaja beliau mengeluarkan kenyataan bersumpah yang pertama (SD1)? (Ini sepatutnya mudah sahaja kerana Deepak sudah pun mengaku tentang ini)
Rosmah - Kamu kah orangnya? Jika bukan, siapa?
Johari Razak (adik kepada Najib) - Adakah kamu menelefon peguam senior Cecil Abraham pada petang 3 Julai 2008 dan meminta beliau menyediakan SD2 untuk ditandatangani PI Bala? Jika ya, kenapa dan bagi pihak siapa?
Cecil - Adakah kamu menerima panggilan telefon daripada Johari Razak pada 3 Julai 2008 untuk menyediakan SD2? Jika ya, adakah kamu melakukannya?
Sunil Abraham (anak lelaki Cecil yang juga seorang peguam) - Ada atau tidak kamu membantu ayah kamu untuk menyediakan SD2 dan adakah kami menghantarnya sendiri ke hotel Hilton KL Sentral pada pagi 4 Julai 2008?
Zainal Abidin Muhayat - Adakah kamu seorang Pesuruhjaya Sumpah pada tahun 2008 dan adakah kamu mempunyai pejabat di Tetuan Zul Rafique and Partners, Lorong P Ramlee, Kuala Lumpur? Jika ya, siapa yang menghantar kamu ke hotel Hilton KL Sentral pada 4 Julai 2008 untuk memperakui tandatangan Balasubramaniam di SD2?
Nazim Razak (seorang lagi adik kepada Najib) - Adakah anda dan isteri anda berada di The Curve, Mutiara Damansara lewat malam 3 Julai 2008? Jika ya, adakah anda bertemu dengan Balasubramaniam di sebelah ruang pameran VW?
Dan jika ya, ada atau tidak kamu mengugut Balasubramaniam untuk mengikut arahan Deepak Jaikishan dan meninggalkan negara bersama keluarganya segera, atau sebaliknya keselamatan keluarganya tidak dapat dijamin?
Najib - Ada kamu arahkan Johari dan Nazim untuk masing-masing mengaturkan, penyediaan SD2 dan penerbangan keluar Balasubramaniam dari Malaysia? Jika ya, kenapa itu satu keperluan?
Hamzah Zainuddin (Ahli Parlimen Umno Larut) - Adakah anda, pada tahun 2011 menawarkan jalan selamat untuk Balasubramaniam pulang ke negara, termasuk tawaran wang tunai sekiranya beliau mengaku salah membuat kenyataan palsu dalam SD1. Jika ya, kenapa dan bagi pihak siapa?”
Najib mesti proaktif dan tidak boleh terus bergantung kepada penafian dan sumpahnya sahaja jika beliau mahu meyakinkan orang ramai dan dunia bahawa beliau langsung tidak ada kena mengena dengan pembunuhan Altantuya.
RCI terhadap pembunuhan Altantuya dan cara pihak berkuasa mengendalikan kes tersebut merupakan satu-satunya cara untuk menyelamatkan kredibiliti dan reputasi Najib serta jawatannya sebagai Perdana Menteri daripada bebanan Mongolia itu.
Beranikah Najib menubuhkan RCI ini?