Saya boleh keluarkan nama Anifah Aman daripada senarai calon Perdana Menteri sekiranya beliau merasakan orang Sabah tidak layak menjadi Perdana Menteri atau sekiranya beliau tidak komited dengan Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 mengenai hudud

Saya boleh keluarkan nama Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman daripada senarai calon Perdana Menteri dalam gabungan pasca-BN dan PR di Putrajaya sekiranya beliau merasakan orang Sabah tidak layak menjadi Perdana Menteri atau sekiranya beliau tidak komited dengan Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 bahawa hudud tidak sesuai dengan negara yang berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia.

Sedih sekali apabila Anifah telah mengikut rakan-rakannya dalam Barisan Nasional dengan memperlihatkan pemahaman dangkal terhadap cadangan saya, memandangkan beliau barangkali turut mengalami penyakit yang dihidapi pimpinan BN yang lain – malas membaca dan tidak memahami dengan tekun apa yang diperbincang dan dicadangkan.

Sebaliknya beliau akan sedia maklum bahawa satu hari sebelum itu, saya telah menyebut nama tiga pimpinan PKR yang boleh menjadi calon Perdana Menteri iaitu Nurul Izzah Anwar, Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Dalam kenyataan yang sama juga saya sebutkan tiga nama calon Perdana Menteri daripada Umno, dalam sebuah gabungan pasca-BN dan PR untuk menyelamatkan Malaysia, demi mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Saya telah katakan bahawa sekiranya kedua-dua pakatan politik di negara ini, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat kehilangan keyakinan awam, kredibiliti dan legitimasi, maka rakyat Malaysia harus berani berfikir di luar kotak dan bergerak melangkaui senario politik yang didominasi oleh dua gabungan politik ini, menjadi sebuah fasa baru politik Malaysia, pasca BN dan PR.

Malangnya perkembangan politik hari demi hari bukan sahaja membawa kepada satu senario di mana kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sama-sama hilang kredibiliti, seperti gambaran berikut:

  • Seruan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Hadi Awang kepada kesemua 136 Ahli Parlimen beragama Islam untuk menyokong rang undang-undang peribadinya berkenaan hudud, yang langsung tidak mengambil kira malah menghina Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan juga keputusan konsensus bahawa sebarang RUU persendirian haruslah terlebih dahulu dikemukakan kepada Majlis Pimpinan PR untuk dibincangkan.
  • Pergelutan 12 hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, walaupun terdapat dakwaan awal daripada Presiden MCA dan Gerakan bahawa Najib akan mengeluarkan kenyataannya mengisytiharkan bahawa Umno/BN membantah RUU persendirian Hadi.

Dalam keadaan ini, rakyat Malaysia mesti bersedia untuk menjarakkan diri daripada acuan politik semenjak Merdeka pada 1957 dan terbentuknya Malaysia pada tahun 1963 dan membentuk sebuah aturan politik baru di mana Umno tidak menetapkan objektif politik, di mana Perdana Menteri bukan sahaja boleh datang dari Semenanjung tetapi juga Sabah dan Sarawak, dan di mana Perdana Menteri wanita pertama boleh dicalonkan.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah