Ucapan tentang Jabatan Perdana Menteri dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2015
Melayu dan Islam sebenarnya tidak diserang di Malaysia. Sebaliknya kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Malaysia yang sedang diserang oleh pihak-pihak ekstremis yang tidak bertoleransi yang cuba menjadikan kesederhanaan suatu kata kesat di Malaysia.
Inilah ironi segala ironi.
Ketika kerajaan terus menyebarkan inisiatif Global Movement of Moderates Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kali ini di persidangan APEC di Beijing, Najib pula tidak pernah berkeadaan begitu lemah dan tidak berdaya di negara sendiri untuk menangani anasir-anasir kebencian, tidak bertoleransi dan ekstremisme daripada mula menunjukkan sikap buruk mereka.
Pada hari Bernama melaporkan bahawa cadangan GMM Perdana Menteri dipuji di mesyuarat menteri-menteri luar APEC sebelum persidangan APEC ke 22, seorang bekas menteri Umno telah menyerang inisiatif GMM Najib smbil mendakwa bahawa fanatik Kristian di Malaysia telah merampas konsep kesederhanaan Najib dan mempergunakannya untuk kepentingan sendiri.
Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa bahawa Melayu dan Islam sedang ditekan akibat daripada konsep kesederhanaan ini, menegaskan bahawa terdapat tanda-tanda bahawa konsep itu berada pada landasan yang salah.
Beliau mengiyakan kenyataan oleh Timbalan Ketua Pemuda Umno Johor Khairul Anwar Rahmat yang menyatakan bahawa kesederhanaan adalah tidak sesuai untuk isu-isu tertentu, dan mendakwa pula bahawa itulah pendapat dan fikiran akar umbi Umno.
Khairul menyebut bahawa konsep kesederhanaan ini mesti diletakkan pada tempat yang betul dan digunakan pada waktu yang tepat - dan tidak sesuai digunakan apabila ia melibatkan pergelutan agama dan mengutamakan undang-undang syariah.
Zainuddin berkata suara-suara yang berani untuk mempertahankan maruah dan karakter orang Melayu sudah tidak lagi datang dari Umno tetapi daripada badan-badan bukan kerajaan.
Zainuddin berkata bahawa Khairul adalah tepat dalam mengatakan bahawa adalah lebih baik untuk berjuang hingga ke penghujungnya kerana sekiranya terlalu asyik dengan hal kesederhanaan ini akan menghasilkan umat Islam yang biasa-biasa sahaja dan bukannya muslim yang teguh beriman.
Beliau menulis di blognya: “Perdana Menteri Datuk Seri Najib berjaya dalam usahanya untuk mempromosikan imej Malaysia di luat negara sebagai contoh negara Islam sederhana tetapi mendatangkan kesan yang negatif dalam negara...”
Saya tidak mahu terlibat dalam polemik keagamaan, tetapi tesis bekas menteri Umno ini yang mendakwa mewakili hasrat akar umbi Umno adalah sangat merisaukan kerana beliau nampaknya mencadangkan bahawa Islam bukanlah agama kesederhanaan.
Ini adalah satu tindakan merugikan untuk Malaysia dan juga untuk Islam, terutamanya pada ketika kita melihat kebangkitan kefanatikan dan ekstremisme di serata dunia - contohnya seperti dakwaan sendiri kelahiran semula khilafah, ‘Islamic State’ (IS) yang telah melaksanakan kempen keganasan secara sistematik terhadap kelompok berlainan mazhab, pembunuhan beramai-ramai dan memancung kepala, sambil merekrut antara 20,000 ke 30,000 pengikut dari seluruh dunia, termasuk dari Malaysia melalui media sosial dan menarik minat mereka di antara usia 14 ke 30 dengan menggunakan skrip-skrip yang cukup baik untuk menerangkan kenapa tafsiran jihad mereka adalah suatu kewajipan dalam Islam.
Jangan tersalah faham, Melayu dan Islam tidak diserang di Malaysia. Sebaliknya kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Malaysia yang sedang diserang oleh pihak-pihak ekstremis yang tidak bertoleransi yang cuba menjadikan kesederhanaan suatu kata kesat di Malaysia.
Ketika Najib menyampaikan ucapan pertamanya di Persidangan Agung PBB pada September 2010, sewaktu beliau pertama kali merangka cadangan GMM-nya, Najib secara terbuka memuji Presiden Amerika Syarikat Barack Obama atas pendirian terbukanya yang berani dalam menangani Islamofobia dengan mengutuk cadangan membakar Al-Quran oleh seorang paderi dari Florida dan meminta Obama untuk memperkasa para moderat, membawa bersama kumpulan-kumpulan bukan kerajaan dan pergerakan masyarakat supaya lebih ramai dapat melihat kepentingan mengambil pendirian sederhana.
Namun baginya sendiri, sehingga kini, Najib masih tidak bersedia untuk melakukan apa yang Obama lakukan, yang beliau sendiri puji - untuk mengecam Ibrahim Ali atas ugutannya mahu membakar Bible.
Di persidangan PBB dan forum antarabangsa, Najib menyeru kesepakatan para moderat.
Dalam ucapan terbarunya di persidangan PBB, untuk kali ketiganya Najib menyatakan agenda kesederhanaannya untuk dunia apabila beliau mengatakan:
“The fight against extremism is not about Christians versus Muslims, or Muslims versus Jews, but moderates versus extremists of all religions. We therefore need to rally a coalition of moderates; those willing to reclaim their religion, and pursue the path to peace.”
Amat menyedihkan dan mengejutkan bahawa setelah beliau ‘mendakwahkan’ agenda kesederhanaan di forum dunia sepanjang empat tahun lampau, Najib masih lagi belum menggerakkan sebuah pakatan moderat di kalangan Umno dan Barisan Nasional sendiri untuk menuntut semula agama mereka dan menuruti jalan ke arah keamanan dan kesederhanaan.
Seperti yang selalu disebut, sekiranya kita dapat melihat sifat agama melalui kanta kesederhanaan, kita akan dapat mengenali nilai-nilai sejagat yang dikongsi oleh semua agama. Nilai-nilai ini adalah keamanan, keharmonian dan kebahagiaan sebenar yang akan muncul apabila pengikut setiap agama menjauhi sikap terlampau dalam mengamalkan agama dan perilaku seharian dalam kehidupan.
Rakyat Malaysia berhak bertanya kenapa pemimpin serta Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional enggan menyertai pakatan para moderat menentang ekstremisme semua agama, di dalam dan luar negara demi membina masa depan berasaskan keamanan, keharmonian dan keselamatan untuk semua tanpa mengira agama?
Baru-baru ini, riuh-rendah di kalangan pihak yang tidak toleran dan kelompok ekstremis semakin kuat dan lebih mendesak, dan retorik-retorik baru kebencian, intoleransi dan ekstremisme semakin menjadi kebiasaan, termasuklah:
- Pembangkang mahu membina gereja di Petaling Jaya, walaupun sebenarnya tanah tersebut telah dikhususkan oleh kerajaan BN untuk pembinaan gereja 13 tahun lalu pada tahun 2011.
- Desakan nyaring supaya menutup sekolah rendah Cina dengan alasan ia mengakibatkan konflik perkauman.
- Kekecohan untuk cuba mengakibatkan ketegangan antara kaum dan agama mengenai air mineral halal yang meletakkan gambar Dewa Muruga di Batu Caves dengan tujuan pelancongan.
- Rampasan buku dan cakera padat Kristian yang dibeli di Indonesia untuk dibawa pulang ke Sabah; dan
- Keenggana mendakwa Ibrahim Ali yang mengugut mahu membakar Bible berbahasa Melayu dengan alasan dia mempertahankan kesucian Islam dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan sementara Peguam Negara melancarkan ‘blitzkrieg’ menangkap dan mendakwa menggunakan Akta Hasutan.
Semalam, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil telah turut bergabung dengan mereka yang menentang pemansuhan Akta Hasutan dan menjanjikan sejuta tanda tangan dalam kempennya walaupun beliau tidak mempunyai komen tentang sikap double standard Peguam Negara dalam pendakwaan terpilih dan pertuduhan jahat terhadap pemimpin Pakatan Rakyat, aktivis dan intelektual serta terus bisu mengenai skandal RM250 juta National Feedlot Corporation yang melibatkan ahli keluarganya.
Melayu dan Islam tidak diserang di Malaysia. Tetapi sebenarnya Umno lah yang sedang terkepung dan sedang wujud usaha terdesak untuk menyamakan serangan terhadap Umno ini sebagai Melayu dan Islam, dan ini adalah satu kekeliruan yang sangat hebat.
Adakah kita sedang menuruti jalan ‘Talibanisasi’ hanya supaya Umno dapat terus kekal berkuasa di Malaysia?
Walaupun soalan ini dikemukakan The Malaysian Insider dua hari lalu, ia pastinya telah merunsingkan ramai rakyat Malaysia.
Seperti yang tertulis di ruangan ulasan The Malaysian Insider:
“Just like what happened in Afghanistan after the fight to rid of Soviet occupiers, those without political power used religion and race to win over and control the population. It happened there and it appears to be an emerging tactic here.”
Inilah yang sepatutnya ditegah oleh GMM Najib - kecenderungan ke arah Talibanisasi.
Sewaktu ucapan saya mengenai Belanjawan 2015, saya telah bertanya tentang janji Peguam Negaram Tan Sri Gani Patail untuk menyemak semula dakwaan hasutan terhadap Dr Azmi Sharom dan yang lain-lain tetapi tidak ada jawapan pun daripada Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab tentang isu ini.
Sudah dua bulan berlalu sejak Peguam Negara berjanji untuk menyemak semula pesta pendakwaan Akta Hasutan. Adakah ini telah dilakukan, siapa yang melakukan semakan tersebut - atau adakah Nancy langsung tidak tahu menahu tentangnya? Penjelasan Peguam Negara tentang kenapa Ibrahim Ali tidak didakwa atas ugutannya mahu membakar Bible berbahasa Melayu telah menambah garam ke luka, kerana ia bukan sahaja gagal memenangi kembali mereka yang sangsi malah diterima dengan caci maki dan ditolak mentah-mentah oleh majoriti para pengkritik.
Lebih teruk lagi, ia memperkukuhkan persepsi bahawa hujahan Peguam Negara bahawa Ibrahim Ali patut menikmati kekebalan undang-undang kerana dia mempertahankan kesucian Islam dan dilindungi Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja cetek, dangkal dan menyimpang tetapi turut memperlihatkan bahawa Peguam Negara telah gagal dalam tanggungjawabnya untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan pelindung perpaduan antara kaum dan agama serta keharmonian dalam negara yang pelbagai kaum, budaya dan agama.
Jabatan Peguam Negara menyatakan bahawa, setelah konteks dikaji secara keseluruan, kenyataan Ibrahim Ali tidak termasuk ke kategori menghasut.
Adakah ini bermakna wujud konteks tertentu yang membolehkan seseorang mengugut mahu membakar Bible?
Adakah wujud sebarang konteks tertentu di mana mengugut mahu membakar kitab-kitab suci agama lain dibolehkan, contohnya Tripitaka Buddha, kitab Veda Hindu, Kitab Taurat Yahudi, Guru Granth Sahib agama Sikh dan Tao Te Ching agama Tao?
Adakah juga wujud justifikasi kontekstual untuk membolehkan ugutan membakar Al-Quran?
Pastinya tidak. Tidak boleh ada justifikasi dalam konteks apa pun untuk mengugut membakar kitab suci mana-mana agama dalam negara Malaysia yang berbilang agama jika kita mahu mengekalkan kesefahaman antara agama, keharmonian dan keamanan. Memetik kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, untuk melampaui toleransi dan menerima malah meraikan kepelbagaian multi-etnik, agama dan budaya di Malaysia.
Seperti mana kita tidak bertoleransi terhadap rasuah, begitulah juga kita tidak boleh bertoleransi dengan sebarang ugutan untuk membakar mana-mana kitab suci di Malaysia.
Adakah Najib bersedia untuk mengumumkan dasar tidak bertoleransi di Malaysia terhadap ugutan membakar kitab suci mana-mana agama demi menjadi contoh sebuah negara sederhana kepada negara-negara lain?