Kabinet perlu membuat keputusan esok untuk menyokong pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 yang diketuai oleh Pembangkang dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung tidak kira sama ada kotak hitam ditemui atau tidak
Hari ini adalah hari ke-20 pesawat MH370 hilang dan masih tiada penjelasan bagi persoalan “apa, bagaimana dan mengapa” berkaitan perkara-perkara yang terjadi di beberapa jam terawal kehilangan pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 beserta 239 penumpang dan anak kapal tersebut sehingga menghasilkan operasi mencari dan menyelamat di darat dan udara paling lama dan terbesar, melibatkan 26 buah negara.
Walaupun kawasan pencarian telah menjadi jauh lebih kecil, iaitu dibataskan hanya di kawasan selatan Lautan Hindi berbanding sebelum ini ketika ia dijalankan di kedua-dua Koridor Utara dan Selatan, dan walaupun imej satelit yang baru diperolehi memaparkan 122 objek yang berkemungkinan adalah sisa pesawat Boeing 777, hari ini pasukan pencari antarabangsa yang dilengkapi dengan 11 pesawat awam dan tentera serta 5 kapal pulang dengan tangan kosong kerana operasi terpaksa dihentikan sementara kerana cuaca buruk.
Pembekuan udara yang teruk dijangka akan berlaku, angin dijangka akan semakin kencang, manakala penglihatan akan menjadi semakin terhad pada hari ini di kawasan seluas 2,500 kilometer di barat daya Perth, dalam kawasan perairan paling dalam dan paling bergelora di dunia, berikutan angin “Roaring Forties” yang bertiup di perairan itu.
Angin itu mendapat nama dari kawasan berkenaan yang berada pada latitud 40 darjah dan 50 darjah serta tiada daratan yang dapat membantu memperlahankan tiupan angin tersebut sehingga ia mampu membentuk ombak setinggi lebih enam meter.
Bagaimanapun, hari demi hari semakin banyak persoalan timbul berkenaan kehilangan pesawat MH370, persoalan-persoalan yang tidak semestinya berkaitan dengan aspek teknikal bencana tersebut dan tidak semestinya hanya boleh dijawab oleh “kotak hitam”.
Sebagai contoh, pengumuman di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa kerajaan akan mempertimbangkan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan di-Raja (RCI) berkenaan tragedi MH370 hanya setelah “kotak hitam” ditemui boleh dibahaskan dan dipertikaikan.
Apakah keputusan ini diambil oleh Kabinet atau hanya seorang-dua Menteri?
Kelmarin, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyebut bahawa beliau akan membawa cadangan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan di-Raja kepada Kabinet kerana beliau tidak boleh membuat keputusan bersendirian.
Kabinet hanya akan bersidang esok. Apakah Hishammuddin atau Shahidan mampu menjangkakan keputusan Kabinet dan merumuskan sendiri bahawa Kerajaan hanya akan mempertimbangkan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan di-Raja berkenaan MH370 jika “kotak hitam” ditemui?
Apa akan berlaku jika “kotak hitam” gagal ditemui sampai bila-bila, sepertimana yang pernah berlaku dalam kemalangan udara sebelum ini – apakah ini bermakna bahawa tiada siasatan akan dibuat bagi menyelidiki punca bencana besar bagi negara dan dunia ini?
Ini akan menyebabkan dunia lebih mentertawakan Malaysia.
Selain itu, ada banyak lagi persoalan lain yang perlu dijawab dan tidak bergantung pada penemuan “kotak hitam”.
Antara persoalan sedemikian adalah jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Abdul Rahim bakri di Parlimen kelmarin bahawa Angkatan Tentera Udara Malaysia tidak menghalang pesawat MH370 ketika radar tentera mendapatinya berpatah-balik di Selat Melaka pada 8 Mac kerana “mengandaikan” bahawa pesawat itu telah diarahkan oleh menara kawalan untuk berpatah balik.
Lebih memeranjatkan apabila Menteri Pertahanan, tidak lain dari Hishamuddin sendiri, ketika ditanya dalam sidang media harian berkenaan MH370, pada hari yang sama Rahim memberi kenyataan di Parlimen, menjawab bahawa beliau tidak dapat mengesahkan apa yang disebut oleh Rahim dalam Parlimen.
Bagaimana kita hendak merasa yakin apabila Menteri Pertahanan sendiri tidak dapat mengesahkan jawapan yang diberikan oleh timbalannya sendiri di Parlimen!
Jika benar perkara yang disebut oleh Rahim itu, iaitu bahawa TUDM tidak menghalang MH370 kerana “mengandaikan” pesawat itu “bukan ancaman” dan telah diarahkan untuk berpatah-balik ke menara kawalan, mengapa TUDM tidak mengambil tindakan segera mendapatkan kepastian dari pihak berkuasa udara?
Bukankah kegagalan untuk mendapatkan kepastian dari pihak berkuasa udara itu jelas satu kecuaian dalam menjalankan tugas, khususnya kerana ia melibatkan soal keselamatan negara?
Berapa kali dan di berapa lokasi radar tentera mengesan MH370 dalam tempoh beberapa jam terawal 8 Mac itu?
Kini kita tahu bahawa apabila radar awam tidak dapat mengesan MH370 pada jam 1.21 pagi 8 Mac, pegawai jabatan perkhidmatan udara yang bertugas telah menghubungi TUDM dengan segera dan mendapat pengesahan bahawa radar tentera telah mengesan bahawa pesawat itu telah bertukar haluan.
Mengapa tiada tindakan susulan oleh pihak berkuasa udara awam dan tentera antara jam 1.21 dan 2.40 pagi tersebut ketika radar tentera di Butterworth mengesan MH370 dan selepas jam 2.40 pagi?
Persoalan ini perlu dijawab dan ia tidak bergantung pada “kotak hitam”.
Ada banyak lagi persoalan sedemikian, termasuk sama ada operasi SAR dilancarkan sebaik saja keadaan memerlukannya, kerana dalam soal bencana udara, masa adalah penting bagi memastikan penumpang dan anak kapal dapat diselamatkan; pembaziran masa selama lebih seminggu sebelum operasi SAR yang melibatkan kapal, helikopter, dan pesawat dipindahkan dari Laut Cina Selatan ke Selat Melaka dan setelah itu Laut Andaman dan Koridor Utara dan Selatan; serta banyak persoalan lain.
Saya menyeru Kabinet esok untuk membuat keputusan menyokong pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 yang diketuai oleh Pembangkang dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung tidak kira sama ada kotak hitam ditemui atau tidak.
Tindakan segera untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 yang diketuai Pembangkang adalah mustahak atas dua sebab:
Pertama, keyakinan pihak di dalam dan luar negeri terhadap Malaysia dan Kerajaan Malaysia akan dapat dipulihkan kerana langkah pembentukan Jawatankuasa berkenaan akan memberi mesej jelas bahawa Malaysia dan Kerajaan Malaysia tidak cuba untuk menyembunyikan sesuatu dan bersungguh-sungguh hendak memberi pendedahan lengkap dan telus berkenaan bencana MH370; dan
Kedua, kerja-kerja awal perlu dijalankan dengan segera untuk melancarkan siasatan ke atas bencana MH370. Memandangkan Malaysia adalah peneraju operasi SAR yang melibatkan pelbagai negara, maka Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang diketuai Pembangkang juga perlu membentuk gugusan siasatan Parlimen berbilang negara berkenaan bencana MH370 yang menyatukan sumber dan kepakaran 26 buah negara.
Saya menyeru para Menteri dalam mesyuarat Kabinet esok menolak cadangan untuk menjalankan siasatan hanya setelah kotak hitam ditemui, pertama, kerana ia menunjukkan bahawa kita hendak menghindari siasatan penuh; dan kedua, kerana ia akan dilihat oleh dunia sebagai satu percubaan oleh kerajaan Malaysia untuk meneruskan dasar tidak berketanggungjawaban dan telus.