Hari ke-19 kehilangan MH370 tenggelam dalam lautan kekeliruan tentang nasib pesawat serta 239 penumpang dan anak kapal
Dua perkara yang berlaku dalam tempoh 36 jam yang lalu menonjolkan perkembangan tragis di hari ke-19 bencana kehilangan pesawat MH370 Boeing 737-200 di mana masyarakat Malaysia dan dunia dipukul badai kekeliruan tentang nasib pesawat serta 239 penumpang dan anak kapal, iaitu:
- Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada hari Isnin, 25 Mac (hari ke-17) pada jam 10 malam bahawa “dengan menggunakan sejenis analisis yang tidak pernah digunakan sebelum ini bagi penyiasatan sebegini,” kedudukan terakhir pesawat yang hilang adalah di tengah Lautan Hindi, di barat Perth, dan bahawa “pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi.” Pada asasnya – semua 239 penumpang dan anak kapal telah lenyap dalam kejadian terbabit dan tiada siapa terselamat. Bagaimanapun, lebih dari 17 kemudiannya, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Hishammuddin Hussein telah memberitahu Parlimen kelmarin tengahari bahawa operasi SAR (mencari dan menyelamat) akan diteruskan dan beliau tidak akan menyerah kalah selagi masih ada harapan untuk 239 penumpang dan anak kapal terbabit.
- Bendera di agensi kerajaan, sekolah, dan sektor swasta di Johor dan Perak dikibar separuh tiang sebagai menghormati penumpang dan anak kapal MH370; tetapi di Parlimen kelmarin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan mengisytiharkan perkabungan di seluruh negara sehingglah bukti lebih kukuh diperolehi untuk mengenalpasti bangkai pesawat MH370.
Atas sebab itulah keluarga, sanak-saudara, rakan-rakan, dan kita semua yang mendoakan sesuatu yang terbaik untuk 239 penumpang serta anak kapal, semua yang setelah 19 hari menanti dalam sedih dan sengsara mengharapkan kata penamat tentang bencana ini, memberi reaksi beremosi dan malah histerikal terhadap pengumuman Perdana Menteri tentang nasib MH370 yang dikatakan berakhir di selatan Lautan Hindi tanpa seorang pun terselamat – sedangkan pengumuman itu adalah “kata penamat tanpa penamat”, memandangkan belum ada secebis pun bangkai pesawat ditemui.
Apakah operasi SAR Hishammuddin masih memberi maksud “mencari dan menyelamat” atau ia kini bermaksud “mencari dan menemukan” tanpa sebarang jangkaan untuk menemukan walaupun seorang penumpang atau anak kapal yang masih hidup?
Seperti yang telah saya sebutkan di Parlimen pada malam Isnin lalu, sehingga hari ke-17 itu seribu satu persoalan timbul tentang bencana MH370, antaranya mengapa tindakan susulan tidak diambil dengan segera sebaik saja MH370 hilang dari radar awam dan tentera pada 8 Mac lalu; mengapa kita membuang masa selama lebih seminggu menjalankan operasi SAR di Laut Cina Selatan sedangkan maklumat radar menuding ke arah koridor utara dan selatan; dan mengapa pula dunia luar menganggap pihak berkuasa Malaysia tidak telus dan berterus-terang tentang tragedi ini.
Semakin banyak persoalan timbul setelah Perdana Menteri mengumumkan bahawa pesawat Boeing 777 itu berkubur di selatan Lautan Hindi.
Jawapan kepada semua persoalan, kekeliruan, dan kontroversi ini perlu dikemukakan, bukan saja kepada sanak-saudara terdekat para penumpang dan anak kapal terbabit, malah juga kepada semua rakyat Malaysia dan warga dunia.
Justeru itu, Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 mesti dibentuk dan diketuai oleh Ahli Parlimen Pembangkang bagi memulihkan citra dan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa, kerana ia dapat memberi mesej jelas kepada warga Malaysia dan dunia bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak cuba menyembunyikan sesuatu dan sanggup membenarkan perkara sebenar yang berlaku di sekitar bencana MH370 disingkap dan didedahkan.
Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 mesti dibentuk tanpa lengah.