Keputusan pilihanraya kecil Kajang – MCA masih hancur dan sokongan terhadap Umno merosot di kalangan Melayu
Ucapan tahniah perlu dikalungkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail atas keputusan cemerlang dalam pilihanraya kecil Kajang kelmarin.
Peratusan keluar mengundi kelmarin merosot sebanyak 16.3 peratus, iaitu apabila hanya 72.1% pengundi keluar mengundi berbanding 88.4% dalam Pilihanraya Umum ke-13 pada Mei lalu, namun Wan Azizah mencatatkan dua keputusan penting dalam pilihanraya kecil kali ini: MCA masih hancur dan sokongan terhadap Umno pula Umno merosot di kalangan pengundi Melayu.
Kepimpinan baru MCA boleh dipuji kerana menganggap keupayaan mendapatkan 25% undi kaum Cina di Kajang sebagai “peningkatan sokongan” di kalangan para pengundi Cina.
Jika pencapaian 25% undi Cina itu bukan membuktikan bahawa MCA masih “hancur”, maka kita tidak tahu apa lagi bukti yang diperlukan.
Sukar untuk disangkal bahawa jika peratus pengundi Cina yang keluar mengundi tidak merosot sebanyak 20%, iaitu lebih 3,000 pengundi, calon BN/MCA mungkin kalah dengan beza undi lebih besar berbanding perbezaan sebanyak 6,824 undi pada tahun lalu, apatah lagi jika diambil kira kejayaan Wan Azizah meningkatkan sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Rakyat, iaitu dari 35% pada tahun lalu kepada 44% dalam pilihanraya kecil kelmarin.
Pilihanraya kecil kelmarin menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat mewakili masa depan politik Malaysia, manakala MCA dan Barisan Nasional mewakili masa silam.