Emel mustahak kepada Najib untuk mendapatkan sokongan Kabinet esok bagi membentuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 dan menyokong usaha mencari dan menyelamat serta untuk bersedia bagi mengadakan siasatan penuh ke atas krisis MH370
Saya baru saja menghantar emel mustahak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta mesyuarat Kabinet esok memberi sokongan kepada pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 bagi menyokong usaha mencari dan menyelamat serta untuk bersedia bagi mengadakan siasatan penuh ke atas krisis MH370 selepas selesai operasi mencari dan menyelamat.
Dalam emel kepada Perdana Menteri itu saya telah memaklumkan beliau tentang usul pindaan yang dikemukakan pagi ini oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bagi Seremban YB Anthony Loke ke atas Usul Menyembah Ucapan Terimakasih yang kini sedang dibahaskan oleh Parlimen. Usul berkenaan mencadangkan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 bagi menyokong usaha mencari dan menyelamat serta untuk bersedia bagi mengadakan siasatan penuh ke atas krisis MH370 selepas selesai operasi mencari dan menyelamat.
Hari ini adalah hari ke-13 operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan oleh pelbagai negara di darat dan laut, melibatkan lebih seratus buah kapal, helikopter, dan pesawat terbang, selain sistem radar 26 buah negara, untuk mencari pesawat MH370 Boeing 777-200 serta 239 penumpang dan anak kapalnya dalam dua wilayah seluas 2.24 juta batu persegi (sekitar 7.68 kilometer persegi) dari selatan Lautan Hindi hingga ke Kazakhstan di utara.
Sejauh ini kita nampaknya belum mendapat sebarang petunjuk tentang keberadaan pesawat terbabit atau apa yang terjadi di awal pagi 8 Mac, walaupun ada laporan baru menyebut satelit Australia memaparkan dua objek di Lautan Hindi yang mungkin berkaitan dengan pesawat MH370 yang hilang, namun ia belum disahkan.
Ketika Malaysia mengharapkan masyarakat dunia bersatu dalam operasi terbesar dalam sejarah dunia ini, rakyat Malaysia, khususnya Parlimen Malaysia, seharusnya menampilkan perpaduan dalam menyokong misi mencari dan menyelamat pesawat yang hilang serta mengadakan siasatan menyeluruh ke atas krisis MH370.
Matlamat-matlamat di atas mendasari usul pindaan ke atas Usul Menyembah Ucapan Terimakasih bagi membentuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 yang dikemukakan oleh YB Anthony Loke, terutamanya kerana Titah Ucapan Yang di Pertuan Agong dalam Titah baginda sewaktu pembukaan Parlimen pada 10 Mac 2014 telah menyatakan secara khusus simpati dan keprihatinan terhadap penumpang dan anak kapal pesawat serta keluarga mereka.
Dalam emel kepada Perdana Menteri, saya telah menegaskan bahwa sebagai negara yang menerima kesan langsung dari krisis MH370, Malaysia bukan saya semestinya memainkan peranan utama dalam operasi mencari dan menyelamat, malah juga dalam menjalankan siasatan pasca-operasi di peringkat parlimen pelbagai negara – justeru itu Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 perlu dibentuk tanpa lengah meski pun sekadar untuk membuat persiapan sebelum menjalankan siasatan penuh dan menyeluruh setelah operasi mencari dan menyelamat selesai.
Dalam emel itu saya menyebut: “Saya menulis emel ini untuk menggesa agar Kabinet esok menyokong pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 agar semua Ahli Parlimen, tidak kira BN atau PR, Menteri atau penyokong kerajaan, memberikan sokongan padu terhadap cadangan ini.
“Bagaimanapun, jika kerajaan ingin menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan MH370 menerusi usul berasingan dalam sesi sidang Parlimen kali ni, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat sedia menyambutnya dan sanggup menyokong cadangan alternatif sedemikian.”