Tindakan Hishamuddin menganjurkan majlis taklimat tentang MH370 “hanya untuk Ahli Parlimen BN” adalah tindakan yang buruk, memecah-belah dan menjejaskan peranan Parlimen untuk mengadakan penyiasatan penuh ke atas tragedi MH370 selepas operasi mencari dan menyelamat
Hari ini hari ke-11 pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang.
Keluarga, sanak-saudara, dan sahabat-handai 239 penumpang serta anak kapal pesawat berkenaan dan masyarakat dunia yang bersatu mendoakan keselamatan mereka sedang menempuh pengalaman yang mengejut dan memedihkan kerana masih belum ada petunjuk tentang keberadaan pesawat atau penumpang dan anak kapal terbabit walaupun usaha mencari melibatkan pasukan pencari dan penyelamat terbesar telah dijalankan – melibatkan lebih seratus kapal dan pesawat dari 26 buah negara.
Inilah waktunya untuk setiap orang tanpa mengira latar kaum, agama, politik, atau kewarganegaraan terus bersatu mendoakan keselamatan 239 penumpang dan anak kapal MH370.
Seperti yang saya sebutkan dalam ucapan di Parlimen Khamis lalu (hari keenam MH370 hilang):
“Setiap hari yang berlalu, harapan dan doa kita buat 239 penumpang dan anak kapal MH370 untuk berada dalam keadaan yang selamat atas apa yang telah menimpa mereka menjadi semakin tipis, namun begitu kita tidak harus putus asa dan mesti terus mendoakan keajaiban buat MH370.
“Semua rakyat Malaysia, malah semua orang di seluruh dunia, tanpa mengira kaum, agama, latar politik dan kewarganegaraan, telah bersatu-padu untuk mendoakan keselamatan 239 penumpang dan anak kapal MH370.
“Kita tidak boleh berpura-pura seolah-olah tidak banyak persoalan yang timbul, sama ada dari pihak keluarga mangsa, sahabat handai atau pun masyarakat dunia, tidak kira di dalam mahu pun di luar negara; yang kian bertambah, hari demi hari, mengenai tragedi MH370; namun usaha mencari jawapan kepada persoalan-persoalan ini harus ditangguhkan kerana keutamaan dan fokus sekarang adalah untuk menemui pesawat terbabit.
“Pun begitu, rakyat Malaysia dan masyarakat dunia, mesti diberi jaminan bahawa pada waktu dan tempat yang tepat, semua jawapan untuk setiap soalan yang ditanya, di dalam dan di luar negara mesti diberikan.
Saya telah mengesyorkan supaya Parlimen Malaysia, mewakili semua rakyat Malaysia, memainkan peranan dalam tragedi MH370 ini bukan saja dengan memberikan sokongan penuh terhadap semua usaha “mencari dan menyelamat” yang digerakkan kerajaan dan semua agensi yang berkenaan tetapi juga mengadakan siasatan penuh ke atas tragedi MH370, termasuk menyelidiki kontroversi dan kekeliruan yang timbul sejak pesawat itu hilang.
Justeru itulah saya menyeru agar segera dibentuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan Bencana untuk memberikan sokongan penuh kepada operasi “mencari dan menyelamat” dan mempersiapkan diri untuk menjalankan siasatan penuh selepas operasi itu selesai bagi mencari jawapan kepada pelbagai persoalan yang timbul tentang tragedi MH370.
Saya merasa kesal kerana sehingga kini belum ada maklum balas dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu pun Hishamuddin terhadap syor pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen itu.
Sejak enam hari lalu, dalam pada operasi “mencari dan menyelamat” dikembangkan, melibatkan wilayah pencarian yang lebih luas di darat dan juga laut, kita masih tidak mendapat sebarang petunjuk tentang perkara sebenar yang berlaku atau lokasi terakhir pesawat.
Dalam pada itu juga semakin banyak persoalan timbul. Persoalan terkini muncul dari tindakan berundur dari kenyataan utama dalam sidang akhbar harian berkenaan urutan peristiwa yang membawa kepada kehilangan pesawat.
Pada hari kesembilan operasi mencari dan menyelamat MH370, Hishammuddin menyebut bahawa salah satu sistem komunikasi pesawat, iaitu ACARS, telah dipadamkan pada jam 1:07 pagi, beberapa minit sebelum seseorang dalam kokpit pesawat mengakhiri komunikasi dengan ucapan “all right, good night” pada jam 1:19 kepada pengawal lalu-lintas udara – petanda jelas adanya sesuatu yang tidak kena dan malah menunjukkan penglibatan juruterbang yang terbabit mengeluarkan ucapan itu.
Namun, kelmarin, iaitu hari ke-10 operasi, ketua eksekutif Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya menyatakan bahawa sistem ACARS yang dipakai setiap 30 minit masih aktif pada jam 1:07 pagi, tetapi gagal mengemaskini jadual berikutnya pada jam 1:37 pagi. Bererti, sistem berkenaan mungkin telah dipadamkan dalam sela waktu 30 minit itu. Satu lagi sistem perhubungan pesawat itu, iaitu transponder penerima dan penghantar isyarat, telah gagal berfungsi pada jam 1:21 pagi. Maklumat baru itu menimbulkan kemungkinan bahawa dua sistem perhubungan pesawat itu telah dimatikan pada masa yang sama atau secara berturutan, menunjukkan bahawa kedua-dua sistem itu sengaja dimatikan dan bukannya terputus berikutan kegagalan mekanikal atau elektrik.
Persoalan, kekeliruan, dan kontroversi berkenaan krisis MH370 semakin banyak. Maka, sesuatu yang malang dan dikesali apabila pemangku Menteri Pengangkutan mengadakan majlis taklimat berkenaan krisis MH370 “hanya untuk Ahli Parlimen BN” di Kuala Lumpur pada jam 8:30 malam ini.
Ini adalah perkembangan buruk dan memecah-belahkan, selain menjejaskan peranan Parlimen untuk mengadakan penyiasatan penuh ke atas tragedi MH370 selepas operasi mencari dan menyelamat.
Hishammuddin perlu diingatkan bahawa setelah berlaku bencana kilang nuklear Fukushima Daiichi pada Mac 2011 – benca terburuk di dunia selepas Chernobyl, menyebabkan 150,000 terpaksa dipindahkan – siasatan bebas oleh parlimen Jepun telah diadakan. Enam bulan selepas siasatan, jawatankuasa parlimen berkenaan merumuskan bahawa bencana nuklear Fukushima itu “diakibatkan oleh manusia” dan bahawa “punca-punca utama kemalangan itu semuanya boleh dijangka.”
Saya menggesa Hishammuddin untuk menghormati dan tidak menjejaskan kepentingan, hak, dan tanggungjawab Parlimen untuk mengadakan siasatan penuh dan menyeluruh ke atas krisis MH370 selepas operasi mencari dan menyelamat serta memastikan taklimat turut diberikan oleh beliau kepada semua Ahli Parlimen, bukan hanya sebahagian mereka, selain memberikan taklimat tersebut segera tanpa sebarang penangguhan.