Sukar untuk membuatkan BN hilang wang pertaruhan dalam pilihanraya kecil Kajang, tetapi tiada lagi kesempatan lebih baik untuk pengundi berbuat demikian berbanding sekarang
Dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam pada hari Sabtu lalu (8 Mac) saya menyebut bahawa para pengundi Kajang perlu cuba melakukan sesuatu yang hampir mustahil dalam pilihanraya kecil Kajang dengan membuatkan calon Barisan Nasional hilang wang pertaruhan, namun keadaan sekarang mendesak kita untuk mencapai keputusan sedemikian.
Saya ingin mengulangi seruan itu malam ini supaya pengundi-pengundi di Kajang cuba mencipta keputusan yang hampir mustahil itu pada 23 Mac nanti.
Saya menganggap percubaan ini hampir mustahil kerana ia menuntut usaha yang besar di pihak pengundi Kajang pada hari pengundian.
Terdapat sekitar 40,000 pengundi dalam DUN Kajang. Dalam PRU13 pada bulan Mei lalu, jumlah pengundi yang keluar mengundi mencecah 87.9 peratus, meliputi 48% pengundi Melayu, 41% pengundi Cina, 10% India dan 1% pengundi dari kaum lain.
Jika jumlah pengundi yang keluar mengundi dalam pilihanraya kecil ialah sebanyak 90% (kadar yang tinggi, di luar kebiasaan bagi pilihanraya kecil), bererti sekitar 36,000 orang keluar mengundi. Calon Barisan Nasional akan hilang deposit jika ia mendapat kurang dari satu per lapan undi, iaitu kurang dari 4,500 undi, manakala calon Pakatan Rakyat, iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, perlu meraih 31,500 undi.
Jika ini terjadi, bererti kita mencatat suatu pencapaian yang belum pernah dicatatkan di Kajang, iaitu menang dengan perbezaan sebanyak 27,000 undi, jauh mengatasi beza undi sebanyak 6,824 undi yang dicatatkan oleh Lee Chin Chen dalam persaingan enam penjuru dalam PRU13 Mei lalu.
Dalam PRU13, calon PKR itu memenangi 80 peratus undi Cina, 60% undi India, dan 35% undi Melayu.
Apakah mungkin untuk Pakatan Rakyat mencatat pencapaian lebih baik dalam pilihanraya kecil Kajang berbanding pencapaian lalu, dengan meningkatkan undi Cina kepada 90%, India 70% dan Melayu 75%?
Saya diberitahu bahawa calon BN pasti akan mendapat “paling kurang” 8,000 undi – menunjukkan betapa sukar dan hampir mustahil untuk membuatkan calon BN hilang wang pertaruhan dalam pilihanraya kecil Kajang.
Namun, tiada kesempatan lebih baik dalam sejarah pilihanraya Malaysia yang telah berlangsung selama lebih separuh kurun dari kesempatan yang kita miliki dalam pilihanraya kecil Kajang kali ini untuk menyebabkan calon BN hilang wang pertaruhan.
Sewaktu saya menyeru pengundi Kajang untuk memastikan calon BN hilang wang pertaruhan pada hari pengundian 23 Mac nanti, saya tidak membayangkan calon rasmi BN Chew Mei Fun. Bagi saya MCA tidak relevan dalam pilihanraya kecil Kajang.
Tiga orang seharusnya menjadi sasaran pengundi Kajang dalam memastikan BN hilang wang pertaruhan dalam pilihanraya kecil Kajang. Chew Mei Fun tidak tergolong di antara mereka.
Tiga orang berkenaan tidak lain ialah mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir yang bukan saja menyokong calon MCA dalam pilihanraya kecil Kajang malah juga terus bertindak secara tidak bertanggungjawab dan tidak wajar dengan terus menyebarkan pembohongan yang bertujuan melaga-lagakan kaum dan agama di negara ini demi agenda politik beliau sendiri.
Saya menyeru pengundi Kajang untuk mengundi bagi pihak 30 juta pengundi Malaysia bagi mencatatkan keputusan “hampir mustahil” dengan menghilangkan wang pertaruhan calon BN dalam pilihanraya kecil Ahad ini kerana empat tujuan baik:
- Bagi menyelamatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari ketidakadilan hukuman lima tahun penjara yang akan menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh;
- Untuk menyelamatkan Pengerusi Kebangsaan Karpal Singh dari ketidakadilan hukuman denda RM4,000 atas kesalahan menghasut yang akan menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugor sedangkan beliau seharusnya tidak didakwa, memandangkan beliau hanya mengemukakan pandangannya sebagai peguam terkemuka negara ini dan sebagai pemimpin politik yang kanan sewaktu kudeta politik di Perak berlaku pada Februari 2009;
- Untuk menyelamatkan badan kehakiman dan sistem keadilan di Malaysia dari terjerumus kembali ke “Zaman Gelap bagi Keadilan” seperti di zaman 80an dan 90an dulu, ketika keyakinan rakyat Malaysia sendiri serta warga dunia terhadap badan kehakiman di Malaysia terhakis; dan
- Sebagai patriot, untuk menyelamatkan Malaysia dari krisis enam serangkai yang sedang dihadapi oleh rakyat dan negara Malaysia sejak PRU13 Mei lalu – krisis pembinaan negara, ekonomi, pendidikan, keselamatan, rasuah dan sistem keadilan.
Saya sendiri tidak yakin bahawa kita akan mencatatkan “keajaiban” dalam pilihanraya kecil Kajang di mana para pengundi menyebabkan calon BN hilang wang pertaruhan, namun saya tetap ingin menyarankan kepada pengundi Kajang agar mencipta sejarah, apatahlagi kerana tiada kesempatan lain yang lebih baik untuk menyebabkan calon BN hilang wang pertaruhan berbanding dalam pilihanraya kecil Kajang kali ini.
Jika pencapaian ini berjaya dibuat pada hari pengundian, akan terjadi gempa bumi politik yang bukan saja akan dapat dirasai di dalam negara, bahkan juga di peringkat antarabangsa, kerana ia melambangkan pengungkapan patriotisme dan nasionalisme oleh pengundi Malaysia yang ingin menyelamatkan Malaysia dari ekstremisme, rasuah, dan ketidakadilan, bagi membuka jalan ke arah keadilan, kebebasan, kemakmuran, dan kemajuan bagi semua rakyat Malaysia.