Pembangunan Tidak Terkawal – Pulau Ubah
Saya ingin membawa perhatian Dewan ini kepada masalah pembangunan tidak terkawal di Iskandar Malaysia yang bukan sahaja mencemar khazanah alam sekitar yang sangat bernilai, tetapi juga memusnahkan rezeki rakyat setempat khasnya golongan berpendapatan rendah yang hidup bergantung kepada hasil alam sekitar.
Kes ini berlaku di kawasan Pendas dan Tanjung Kupang, dalam kawasan Parlimen Gelang Patah, Daerah Johor Bahru yang terletak di dalam wilayah pembangunan Iskandar Malaysia.
Sejak bulan Januari lepas, satu projek penambakan laut telah dijalankan dengan rancak di perairan Selat Johor berdekatan Tanjung Kupang, tidak jauh dari Jambatan Linkedua dan sempadan maritim Malaysia-Singapura. Tiada papan tanda, tiada maklumat awam, tiada kelulusan dari pihak berkuasa sama ada agensi kerajaan Persekutuan Jabatan Alam Sekitar, Iskandar Regional Development Authority (IRDA), ataupun kerajaan negeri yang sepatutnya mengawal semua kegiatan tanah (earthworks).
Penambakan laut ini skalanya begitu besar – lebih kurang 2500 ekar luasnya. Saya telah melawat ke kawasan ini pertama kali pada 15 Febuari, 2014 dan kemudia pada 24hb, Febuari 2014. Dasyat dan mengejutkan. Di tengah-tengah laut, sebuah pulau sedang tumbuh dan ia berkembang dengan begitu cepat – berlipat kali ganda saiznya dalam dua lawatan saya itu.
Saya telah mengkaji peta-peta terbitan rasmi kerajaan dan boleh disahkan bahawa pulau ini tidak wujud. Pulau yang ada yang paling dekat dengan pulau baru ini adalah sebuah pulau kecil yang bernama Pulau Merambong di sempadan Malaysia-Singapura. Pulau baru yang tidak wujud di peta Malaysia ini telah saya namakannya sebagai Pulau Ubah.
Untuk maklumat Dewan, ini berlaku di dalam kawasan pembangunan Iskandar Malaysia. Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia, IRDA, adalah sebuah agensi yang dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor. IRDA diberi mandat untuk merancang dan mengawal aktiviti pembangunan dalam kawasan Iskandar Malaysia di selatan Johor. Ratusan Juta Wang kerajaan telah dibelanjakan untuk menggaji konsultan-konsultan canggih dari seluruh dunia untuk membuat pelan pembangunan, kajian, blueprint dan macam-macam yang sepatutnya menempatkan Iskandar Malaysia ini sebagai satu wilayah ekonomi yang terulung di rantau ini.
Dalam Comprehensive Development Plan (CDP) yang diluluskan oleh IRDA dan Kerajaan Malaysia sebagai Masterplan Iskandar Malaysia, projek Pulau Ubah ini tidak wujud dalam perancangan berkenaan.
Dalam blueprint Iskandar Malaysia yang berjudul Shoreline Management Plan terbitan 2013, kawasan perairan Tanjung Kupang ini dikenal pasti sebagai kawasan yang sangat kaya dengan biodiversity marin kerana ada rumpai laut (Seagrass bed) yang mungkin antara terbesar di dunia. Malah dalam pelan tersebut, agensi kerajaan IRDA (bukannya sembarangan NGO alam sekitar) mencadangkan supaya kawasan ini dilindungi dan diwartakan sebagai ‘marine protected area’. Kawasan ini penting untuk memastikan sumber perikanan tidak terputus dan ada potensi untuk dimajukan untuk eko pelancongan. Ia juga merupakan warisan begitu unik dan bernilai sekali untuk anak-cucu kita di Tanjung Kupang.
Komuniti pesisiran pantai tempatan, yang majoritinya nelayan pantai orang Melayu, menduduki tempat ini sejak ratusan tahun dahulu dan di sinilah mereka mencari rezeki. Ada dugong, kuda laut, udang dan ratusan jenis ikan lain, ada yang diambil sebagai rezeki, ada yang dibiarkan untuk kelestarian alam sekitar – penduduk tempatan begitu sayang khazaznah kurniaan Tuhan. Cara hidup yang unik buat nelayan pantai di kawasan ini sepatutnya dilindungi, malah boleh dijadikan tarikan pelancong ke “Kampung Nelayan Pantai” yang tulin dan asli supaya kehidupan asal masyarakat di situ boleh dilindungi. Tetapi yang sebaliknya telah berlaku.
Datanglah kontraktor pasir dan manusia yang bergelar pemaju dan bermulalah projek penambakan pasir ini. Lebih kurang 1000 hekta- satu kawasan laut berukuran 3km kali 3km – yang kaya dengan sumber perikanan kini sedang ditukarkan menjadi tanah.
Sejak bulan lepas, dilaporkan ikan-ikan ternakan dan ikan laut sudah mati secara besar-besaran di perairan Selat Johor. Nilainya kerugian sampai berjuta-juta ringgit. Pengusaha ikan sangkar rugi. Nelayan pantai mengeluh. Tetapi agensi kerajaan mengetepikan isu ini. Sebelum laporan siasatan disiapkan, pihak-pihak berkenaan telah mendakwa bahawa kematian ikan tidak berkaitan langsung dengan penambakan laut.
Saya hairan, adakah nelayan boleh mencari ikan nanti di atas tanah tambakan lebih kurang 2500 ekar ini yang sebelumnya laut? Bagaimana mereka dan anak-anak mereka boleh bersaing dengan pekerja-pekerja asing untuk mendapat kerja di tapak pembinaan? Di mana kampung halaman mereka selepas ini?
Nelayan Pantai dan Perikanan
Mereka nelayan pantai. Mengikut statistik Jabatan Perikanan, terdapat 613 nelayan di daerah Johor Barat, 415 Melayu, 147 Orang Asli, 51 Cina. Gelang Patah adalah pusat perikanan utama di daerah Johor Barat. Di Pendas, Tanjung Kupang ada 250 nelayan pantai, 95% daripadanya kaum Melayu.
Kerja sebagai nelayan mungkin bukan idaman semua orang. Nelayan pantai menggunakan bot dan enjin kecil, mencari ikan dan hasil laut hanya di pesisiran laut dengan alat biasa dan tradisional. Mereka ini bukan sepert nelayan bot besar pukat tunda. Tetapi tanpa mereka yang mengharungi ombak dan matahari panas, mana datangnya ikan dan udang untuk menjadi makanan dan sumber protein murah yang penting untuk masyarakat tempatan?
Perikanan hanya menyumbang kepada lebih kurang 1% GDP Malaysia. Tetapi sumbangan nelayan pantai ini terhadap masyarakat kita, peranan mereka dalam adat budaya identiti Malaysia, tidak dapat disukat sekadar nilai GDP.
Saya minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menjelaskan – apakah dasar kerajaan untuk menjaga hak nelayan pantai? Adakah dasar Kementerian malalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan, adalah membangunkan industri akuakultur besar, menggalakkan pertumbuhan perikanan lautan antarabangsa oleh syarikat, tetapi untuk nelayan pantai ini kecil dan tradisional, tidak ada apa-apa yang boleh dibuat untuk mengelakkan mereka terus terpinggir dalam arus pembangunan negara?
Perkembangan ini menunjukkan betapa jauhnya beza realiti kehidupan dan penderitaan rakyat biasa berbanding dengan janji-janji manis Kerajaan BN, betapa jauh bezanya cara pelaksanaan projek-projek yang kononnya bertujuan memanfaatkan rakyat tetapi realitinya hanya memusnahkan khazanah alam sekitar dan kehidupan tradisi secara membuta tuli. Semua ini berlaku tanpa mematuhi undang-undang negara, malah melanggar kewajipan Malaysia dari segi undang-undang dan konvention antarabangsa.
Tidak menolak pembangunan semata-mata
Adakah saya atau nelayan-nelayan pantai ini menentang penambakan laut ataupun menolak pembangunan semata-mata? Sememangnya tidak. Tetapi ada pertimbangan sosio-ekonomi dan ada prosedur undang-undang yang HARUS diikuti oleh pemaju, kontraktor dan kerajaan sendiri kalau projek penambakan hendak dilakukan. Antaranya: perundingan terbuka dengan masyarakat tempatan, prosedur yang betul diikuti untuk memastikan penambakan laut tidak memusnahkan sumber laut, serta sikap yang betul dalam merancang keutamaan pembangunan – samada ianya dilakukan untuk segelintir pelabur dan golongan berada, atau pun melibatkan masyarakat setempat sehinggalan mereka ini juga dibawa bersama ke dalam arus pembangunan utama.
Menyalahi undang-undang tempatan
Parlimen ini membuat undang-undang Akta Alam Sekeliling pada 1974 – Environmental Quality Act 1974. Dan kemudian di bawah EQA, telah dibuat undang-undang Kajian Impak Alam Sekiat (Environmental Impact Assessment) yang mengatakan proses EIA ialah mandatori untuk kegiatan-kegiatan tertentu. Saya merujuk kepada ‘prescribed activities’ EIA ini dan jelas, penambakan laut atau pesisiran pantai (coastal reclamation) perlu ada EIA. Sebarang pembangunan yang melebihi 500 ekar memerlukan EIA.
Kenapa projek Pulau Ubah ini yang berkeluasan 1000 ekar dibenarkan untuk berlaku tanpa EIA? Saya minta Menteri Alam Sekitar (Cameron Highlands) menjelaskan perkara ini – lupakan panda dari Cina buat sementara, fokuskan kepada isu tempatan. Khazanah alam sekitar dimusnah tanpa mengikut undang-undang yang digubal di Dewan yang mulia ini. Jerebu teruk. Nasib nelayan tidak menentu. Tapi menteri minat dengan Panda sahaja.
Saya minta Perdana Menteri (Pekan), sebagai Pengerusi Iskandar Regional Development Authority (IRDA) untuk menjelaskan perkara ini.
Perdana Menteri harus berikan penjelasan juga, kerana telah timbul ura-ura khasnya di masyarakat Johor bahawa lesen judi – kasino – sedang dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan untuk diberikan kepada syarikat besar untuk mendirikan industri kasino baru di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia telah mula wujud. Projek penambakan laut – seperti Pulau Ubah ini – yang kononnya untuk pembangunan bercampur (mixed development) bangunan residential dan commercial bertingkat di tengah-tengah laut, adakah ini permulaan tapak pembangunan industri kasino kedua di Malaysia?
Matlamat pembangunan agar hidup lebih bermakna dan bermaruah
Akhir sekali, saya ingin kembali kepada pangkal persoalan isu ini. Apakah matlamat pembangunan yang Malaysia kejar-kejar sejak merdeka? Pembangunan untuk memanfaatkan rakyat, untuk membolehkan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama, hidup dengan lebih selesa dan hidup dengan lebih bermakna dan bermaruah. Boleh kami buat bangunan tertinggi di dunia, stadium paling besar, ataupun jika perlu, menambak laut untuk pembangunan. Tetapi kalau kita sesat seperti Kerajaan Barisan Nasional yang mengejar projek-projek mega tanpa mempertimbangkan faktor sosio-ekonomi dan alam sekitar, hak rakyat tempatan akan terus ditindas.
Contohnya di Tanjung Kupang Gelang Patah. Apakah maknanya pembangunan untuk komuniti nelayan pantai ini – adakah hidup akan mereka lebih selesa dan bermaruah? Gelang Patah hanya satu di Malaysia, tetapi corak pembangunan, ataupun dengan istilah lebih tepat, pemusnahan ini sedang merebak seperti penyakit berjangkit ke seluruh negara Malaysia di bawah pemerintahan BN.