Bangun dalam perasaan sedih seperti sebahagian besar rakyat Malaysia yang lain memandangkan tragedi MH370 telah memasuki hari ketiga tanpa sebarang khabar jelas berkaitan kehilangan pesawat itu dan 239 penumpangnya
Pagi ini saya bangun dalam perasaan sedih seperti sebahagian besar rakyat Malaysia yang lain memandangkan lebih 50 jam berlalu sejak pesawat MH370 dilaporkan hilang dari radar dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan tiada khabar jelas tentang apa yang berlaku kepada 239 penumpang dan anak kapal Boeing B777-200 itu.
Setakat ini tiada tanda-tanda ia terhempas, tiada serpihan pesawat ditemui, tiada signal kecemasan dari pesawat itu sebelum ia terputus hubungan dengan pusat kawalan di darat, dan tiada petanda jelas bahawa pesawat itu telah mengalami kegagalan teknikal di udara.
Semakin sukar untuk warga Malaysia dan warga lain di seluruh dunia terus menggantung harapan, namun semua kita terus mendoakan keselamatan dan keajaiban untuk 239 orang dalam pesawat MH370 itu.
Kita terpaksa berdepan dengan kemungkinan bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku terhadap pesawat dan 239 penumpang dan anak kapal di dalamnya walaupun operasi mencari dan menyelamat antarabangsa telah ditingkatkan untuk menemukan pesawat Malaysia Airlines berkenaan.
Tanpa mengira anutan politik, kaum, agama, atau kewarganegaraan, semua penduduk Malaysia dan dunia, khususnya penduduk di 14 buah negara yang warganya berada dalam pesawat itu, perlu bersatu-padu untuk terus memberi sokongan dan galakan kepada sanak-saudara, keluarga, dan sahabat-taulan 239 penumpang dan anak kapal yang sedang menempuh saat-saat paling menyedihkan, mengharukan dan mencabar.
Tragedi dan misteri MH370 telah memasuki hari ketiga. Semakin banyak persoalan timbul tentang pengurusan krisis, kehilangan pesawat dan operasi mencari dan menyelamat.
Namun, semua persoalan itu perlu diketepikan terlebih dahulu untuk memberi tumpuan kepada usaha mencari pesawat terbabit dan memberikan sokongan kepada keluarga 239 orang penumpang dan anak kapal yang terjejas.
Atas sebab itu, saya tidak akan mengemukakan sebarang komen, kritikan, atau respons (termasuk terhadap tuduhan-tuduhan jahat yang dilemparkan terhadap saya) sepanjang tempoh dua hari ini.
Marilah kita memberikan sepenuh tumpuan dan memanjatkan doa buat 239 orang penumpang dan anak kapal MH370 serta keluarga dan sahabat handai mereka.