Skuad khas perlu dibentuk merangkumi SKMM, Polis, dan wakil BN dan PR untuk membersihkan sosial media dari kegiatan mengapi-apikan semangat perkauman dan kegamaan menerusi penyebaran fitnah dan pembohongan

Intimidasi terkini terhadap Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkaitan video "Onederful Malaysia CNY 2014" perlu dikutuk sekeras-kerasnya.

Polis perlu bertindak menurut Seksyen 124A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama sehingga tujuh tahun terhadap sesiapa yang "cuba mempengaruhi dengan cara kekerasan" seorang ahli parlimen dari menggunakan kuasanya.

Malam kelmarin, Utusan Malaysia menghantar SMS alert yang menyatakan bahawa "Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok telah ditampar oleh seorang lelaki tidak dikenali selepas ceramah di Permatang Pauh pada jam 11.30 malam."

Bagaimana pun, akhbar harian Umno itu kemudian membuat pembetulan dengan menyebut bahawa Teresa tidak ditampar,sebaliknya telah "diberikan" telur busuk oleh seorang lelaki dan telur itu pecah ketika mereka bersalaman.

Insiden itu berlaku setelah Teresa memberikan penjelasan tentang video "Onederful Malaysia CNY 2014" kepada sekitar 300 orang pendengar di Permatang Pauh, Pulau Pinang, bahawa video itu tidak anti-Melayu, anti-Islam, anti-raja, atau anti-pasukan keselamatan, apabila seorang lelaki berusia sekutar 30-an menghampiri Tersa di tempat beliau sedang duduk.

Lelaki terbabit mahu bersalaman dengan Teresa. Sewaktu bersalaman, Teresa menyedari lelaki tersebut sedang memegang telur dan ia pecah, mengotorkan tangan beliau dan terpercik ke pakaiannya.


Saya mengalu-alukan dua perkembangan terbaru yang menunjukkan bahawa polis dan pihak berkuasa mengambil sikap lebih serius dan bertanggungjawab terhadap peningkatan jenayah kebencian dan perbuatan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan yang bertujuan menimbulkan kekacauan dalam masyarakat majmuk.

Polis menyarankan supaya tuduhan melakukan intimidasi jenayah dikenakan terhadap dua orang lelaki yang menawarkan ganjaran tunai kepada sesiapa yang berjaya mengemukakan foto menampar Teresa Kok, walaupun kertas siasatan polis belum dikembalikan oleh Pejabat Peguam Negara kepada polis untuk tindakan susulan.

Hal ini didedahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng yang menyatakan bahawa polis akan mengemukakan semula kertas siasatan itu kepada pejabat Peguam Negara tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan meminta penjelasan di Parlimen minggu depan sama ada pejabat Peguam Negara telah bertindak untuk mendakwa "Majlis NGO islam" yang telah melakukan beberapa kesalahan dalam tunjuk perasaan "tampar dan ayam" di Kuala Lumpur, bukan saja dengan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang sanggup menampar Teresa, malah turut menyembelih dan melumur darah ayam ke atas gambar pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat, selain menggertqk dengan 13 Mei.

Berita baik yang lain ialah pengesahan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa ia telah melancarkan siasatan bsama dengan polis Kedah terhadap sebuah blog yang menyebarkan dakwaan palsu tentang Muslim murtad - tindakan yang jelas dibuat untuk meniup api perkauman dan keagamaan.

Minggu lalu, aktivis hak asasi wanita Yu Ren Chung telah membuat aduan tentang blog dari Kedah itu yang telah menyebarkan berita palsu pada Mac 2012 tentang kejadian murtad berasaskan gambar yang menunjukkan beliau dan beberapa wanita Muslim sedang duduk di bangku kayu yang mirip dengan bangku dalam gereja.

Laman web Yu menjelaskan bahawa gambar itu diambil pada 29 Februari 2012 dalam sebuah acara membincangkan Dasar Keluarga Negara yang dianjurkan oleh agensi kerajaan, iaitu Lembaga Pembangunan dan Perancangan Keluarga Negara (LPPKN).

Pegawai Women's Aid Organisation (WAO) itu menegaskan bahawa acara itu bukan dibuat di gereja tetapi di dewan Institut Pemikiran dan tamadun Islam Antarabangsa (Istac) di sini.

Blog Kedah itu juga telah mencemarkan wanita dalam gambar berkenaan, iaitu Zaiton Ismail, aktivis pertubuhan Islam Ikram Malaysia, menimbulkan keaiban kepada beliau dan keluarga apabila berita palsu tersebar bahawa beliau telah memeluk agama Kristian.

Ikram telah mengutuk tindakan tidak bertanggungjawab mengubahsuai gambar itu untuk menyebarkan berita kononnya pemurtadan telah berlaku dan pertubuhan itu telah menuntut blogger Kedah terbabit untuk meminta maaf atas perbuatan keji tersebut.

Prof Madya Dr Roohaida Othman, ketua sayap wanita Ikram, mengingatkan blogger terbabit bahawa fitnah adalah perbuatan berdosa di sisi Allah dan dianggap lebih buruk daripada membunuh orang tidak berdosa.

Parlimen menjangkakan tindakan segera dan pantas dari MCMC dan polis terhadap pembohong siber berkenaan yang telah terlalu lama dibiarkan melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab, berbahaya, dan khianat di media sosial dengan tidak henti-henti menghasut dan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan sehingga mengancam keamanan dqn kerukunan hidup masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sepatutnya membentangkan Kertas Putih kepada parlimen minggu depan untuk memperincikan tindakan yang telah diambil oleh kerajaanu untuk menyelamatkan Malaysia dari rencana jahat pihak yang anti negara dan khianat yang menyalahgunakan media sosial dan internet untuk meniup api perkauman dan keagamaan.

Saya sendiri baru saja menjadi mangsa pihak yang menyalahgunakan media sosial untuk meniup api perkauman dan keagamaan di Malaysia.

Saya menghantar pesanan tweeter semalam:

“Umno cyberliars are getting very desperate n devising new ways to paint DAP as anti-Malay anti-Islam anti-Rulers. Work of cowards n traitors”.

Pesanan itu saya hantar setelah cybertrooper Umno menuduh saya mengeluarkan ungkapan anti-Islam sedangkan ia tidak pernah berlaku. Satu petikan yang kononnya dari saya telah digambarkan sebagai bahan publisiti Pakatan Rakyat dan dimuatkan dengan logo DAP, PKR, dan PAS, serta logo "Ubah".

Gambar yang disebarkan itu memuatkan wajah saya dan petikan anti-Islam yang kononnya datang dari saya:

“I PERSONALLY THINK THAT MALAYSIA WILL NOT BE ABLE TO REACH ITS FULL POTENTIAL AS A DEVELOPED COUNTRY DUE TO THE LIMITATIONS OF ISLAM. NOW IS THE TIME FOR US TO REMOVE ALL THE BARRIERS BY CHANGING THE CURRENT GOVERNMENT AND THE CONSTITUTION. INI KALILAH!”

Petikan ini yang kononnya datang dari saya adalah pembohongan kerana saya tidak pernah membuat ucapan sedemikian. Ia adalah sebahagian dari konspirasi untuk menggambarkan DAP dan pemimpinnya sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja - tuduhan yang sama dilontarkan kepada video Teresa Kok walaupun tiada sama sekali unsur-unsur berkenaan dalam video beliau.

Bilakah pihak berkuasa akan mencegah para penjaja kebencian, khususnya di media sosial, dari terus meniup api perkauman dan keagamaan?

Saya setuju tindakan undang-undang diambil terhadap penyokong Pakatan Rakyat jika mereka menyebarkan fitnah dan pembohongan untuk menyalakan api perkauman dan keagamaan.

Apakah Perdana Menteri, Kabinet, dan pemimpin Barisan Nasional akan bersetuju tindakan undqng-undang diambil terhadap cybertrooper BN yang mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan menerusi fitnah dan pembohongan?

Nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini untuk "mengabaikan" para penghasut dan pelampau adalah respons paling tidak bertanggungjawab dalam keadaan kerajaan sepatutnya tidak berbelah bagi dalam menghapuskan para penghasut dan pelampau!

Untuk mengatasi masalah penyebaran fitnah dan pembohongaan yang bertujuan meniup api perkauman dan keagamaan ini saya menyeru supaya sebuah pasukan khas di peringkat tinggi dibentuk untuk membersihkan media sosial dari perbuatan meniup api perkauman menerusi penyebaran fitnah dan pembohongan.

Untuk memberi kredibiliti kepada pasukan ini dan memastikan tndakan diambil terhadap semua pihak yang anti-negara dan khianat yang ingin memusnahkan negara ini menerusi tindakan meniup api perkauman dan agama menerusi pembohongan, ia perlu dianggotai oleh wakil SKMM, Polis, dan wakil dari Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat..

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah