Apakah Polis dan SMKM menyiasat dan mengambil sebarang tindakan terhadap fitnah siber tentang Muslim menukar agama kepada Kristian yang disebarkan untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian perkauman dan keagamaan dalam negara?
Apakah Polis dan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMK) menyiasat dan mengambil sebarang tindakan terhadap fitnah siber tentang Muslim menukar agama kepada Kristian yang disebarkan untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian perkauman dan keagamaan dalam negara?
Baru-baru ini dilaporkan bahawa foto seorang aktivis hak asasi wanita Yu Ren Chung dan beberapa orang lain yang menghadiri sebuah majlis anjuran kerajaan yang diedarkan di ruang siber adalah ‘bukti’ bahawa Muslim di negara sedang dibawa untuk memeluk agama Kristian.
Foto yang disebarkan dalam blog sejak tahun 2012 menunjukkan beliau dan beberapa orang lain duduk di kerusi kayu dan banyak di kalangan mereka adalah wanita bertudung kepala.
Pada hakikatnya, foto itu diambil dalam dewan utama Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, dan bukannya dalam sebuah gereja seperti yang didakwa oleh blog-blog terbabit.
Acara itu dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan dan Perancangan Keluarga Negara (LPPKN) pada 29 Februari 2012 untuk membincangkan Dasar Keluarga Negara dan dihadiri oleh kakitangan awam dan beberapa wakil NGO.
Bagaimanapun, blog-blog Malaysia dan Indonesia mendakwa foto itu menunjukkan sekumpulan Muslim yang sedang ditahbiskan dan sebahagian blog terbabit menyalahkan DAP dan PAS.
Memang mengejutkan bila Istac dianggap sebagai gereja.
Namun lebih menyedihkan melihat sesetengah pihak tidak bertanggungjawab di kalangan kita menggunakan taktik jahat dan sanggup mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan untuk melaga-lagakan kaum dan agama dalam negara ini.
Pihak tidak bertanggungjawab ini yang mahu memusnahkan keamanan dan kerukunan hidup masyarakat majmuk Malaysia mesti dihukum.
Apakah polis dan SMKM mengambil langkah proaktif untuk menjejak pihak yang mula menyebarkan fitnah berkenaan dengan tujuan melaga-lagakan kaum dan agama sebagai peringatan bahawa pihak berkuasa tidak akan berdiam diri berdepan dengan tindakan provokatif dan anti-negara seperti yang dilakukan oleh pihak yang mula menyebarkan fitnah berkenaan foto terbabit.
Ahli-ahli Parlimen DAP dalam sidang parlimen minggu depan akan meminta penjelasan tentang tindakan yang telah diambil dalam isu penyebaran fitnah yang bertujuan menimbulkan kekacauan dan pecah-belah dalam negara kita yang berbilang kaum dan agama.