Langkah Utusan membangkitkan semula dongeng Tentera Kacang Merah adalah percubaan terdesak askar siber upahan UMNO untuk memastikan mereka tidak diketepikan dari menerima dana perang siber UMNO yang berjumlah ratusan juta ringgit
Kelmarin, dalam ulasan ke atas kolum Awang Selamat, berjudul “Pihak berkuasa kita!” dalam Minguan Malaysia, 2 Mac 2014, saya telah menyebut bahawa ketika membaca kolum tersebut perkara pertama terlintas di fikiran saya ialah kolum itu seperti “musang berbulu ayam”.
Ini kerana kolum Awang Selamat itu, nama samaran untuk pengarang-pengarang Utusan, bukan saja menonjolkan kemunafikan malah ia terang-terangan cuba untuk mengalih perhatian kita daripada perbuatan pengarang Utusan yang tidak henti-henti mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan menerusi penyebaran fitnah dan pembohongan dengan tujuan melaga-lagakan kaum dan agama di Malaysia.
Awang membangkitkan semula tuduhan bahawa DAP membiayai Tentera Kacang Merah (TKM) yang kononnya dianggotai 3,000 cybertrooper dan mendapat peruntukan sebanyak RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu. Kolum itu juga mengecam pihak berkuasa kerana mengamalkan sikap pilih bulu dengan “memberikan lesen besar untuk membuat provokasi keterlaluan” kepada DAP dan TKM untuk “menghina Islam, Melayu, pasukan keselamatan, kakitangan awam dan negara.”
Pertanyaan yang ingin saya bangkitkan hari ini ialah mengapa pengarang Utusan tiba-tiba membangkitkan semula dongeng Tentera Kacang Merah yang kononnya dibiayai DAP dan dianggotai oleh 3,000 cybertrooper sedangkan sejak enam bulan lalu ia telah berhenti sama sekali menyebut tentang perkara itu?
Pada bulan Mei dan Jun tahun lalu, para pengarang Utusan Malaysia menyebarkan dongeng tentang Tentera Kacang Merah yang kononnya dibiayai DAP, dianggotai oleh 3,000 cybertrooper, dan mendapat peruntukan sebanyak RM100 juta hingga RM1 bilion sepanjang enam tahun lalu untuk menyerang dan mencemarkan nama pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Mereka berbohong besar dengan mendakwa bahawa TKM mempunyai dua pusat operasi, satu di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, dan satu lagi di Komtar, Pulau Pinang.
Seperti yang saya sebutkan ketika itu, semua yang disebarkan itu adalah dongeng moden yang tidak mempunyai kebenaran walau sebesar zarah.
Menurut dongeng Utusan, modus operandi yang digunakan TKM ialah menyerang mana-mana ahli politik, ahli perniagaan, atau penghibur yang dilihat sebagai pro-BN menerusi facebook, tweeter, dan YouTube untuk meningkatkan kebencian para pengundi Cina terhadap mereka.
Seperti yang saya sebutkan pada 27 Jun 2013, saya tidak pernah mendengar tentang Tentera Kacang Merah sehinggalah perkara itu dibangkitkan oleh Utusan Malaysia dalam beberapa rencana. Saya masih berpegang dengan kata-kata saya itu.
Saya telah menyebut Utusan sebagai “surat bohong” dan bukannya “surat khabar” kerana akhbar itu telah menyebarkan pembohongan tentang TKM yang kononnya dibiayai DAP dan saya telah memimpin sejumlah Ahli Parlimen DAP, termasuk Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, dan Ahli Parlimen Bukit Bintang Foung Kui Loon, disertai media, untuk melawat Hotel Concorde pada jam 10 malam, 4 Julai tahun lalu.
Kami mendapati Hotel Concorde yang kononnya menjadi pusat Tentera Kacang Merah itu hanya dipenuhi dengan pemimpin dan penggerak UMNO dan tiada Tentera Kacang Merah di sana. Malah kami juga membuat penemuan yang mengejutkan – bahawa ais kacang berharga mahal di hotel itu tidak mempunyai kacang merah sama sekali!
Sejak itu, dongeng TKM tajaan DAP yang disebarkan Utusan menjadi bahan jenaka seluruh negara dan selama enam bulan ia tidak lagi disebut, sekali pun oleh Utusan Malaysia sendiri, sehinggalah ia diungkit semula oleh Utusan Malaysia beberapa hari lalu, termasuk menerusi kolum “musang berbulu ayam” Awang kelmarin.
Mengapa Utusan begitu terdesak untuk membangkitkan semula dongeng TKM yang kononnya dibiayai DAP, dianggotai oleh 3,000 cybertrooper, dan mendapat peruntukan sebanyak RM100 juta hingga RM1 bilion sepanjang enam tahun lalu?
Saya telah sebut pada bulan Jun tahun lalu bahawa “kegilaan” terhadap dongeng TKM DAP itu berkait dengan agenda sulit yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO untuk menghalalkan peruntukan sebanyak RM350 juta sepanjang lima tahun mendatang bagi memerangi TKM DAP yang tidak wujud dan hanyalah rekaan semata-mata.
Utusan menghidupkan semula dongeng ini kerana laba dan wang. Ia jelas merupakan usaha terdesak askar upahan UMNO supaya mereka tidak diketepikan dari mendapat dana perang siber UMNO jumlahnya mencecah ratusan juta ringgit.
Askar siber upahan Umno, termasuk kalangan yang telah menerima bayaran lumayan untuk menjadi boneka dongeng TKM Utusan, kini sedang berhempas-pulas memastikan supaya mereka tidak diketepikan dari menerima dana siber Umno memandangkan mereka dianggap ‘ketinggalan zaman’ untuk menggerakkan perang siber Umno yang kini digerakkan oleh sekumpulan ‘genius’ IT.
Umno/BN kini mempunyai rancangan perang baru yang akan dikendalikan oleh sekumpulan “panglima” muda yang bijak IT dan akan membekalkan maklumat serta menyediakan taktik menyerang dan bertahan dalam perang siber Umno/BN yang baru.
Untuk rancangan baru ini, tidak banyak ruang dibuka kepada askar upahan Umno yang dulu, khususnya kalangan yang telah mengumpul kekayaan dengan menyebarkan dongeng Tentera Kacang Merah DAP. Atas sebab inilah pengarang-pengarang Utusan yang sentiasa menganggap diri mereka sebagai penaung askar siber upahan Umno melancarkan semula dongeng TKM DAP sebagai usaha terakhir mereka untuk kekal relevan dalam rancangan perang siber Umno/BN yang baru.
Saya rasa tidak mudah untuk mencari dalam bidang kewartawanan di dunia ini akhbar seperti Utusan Malaysia sebagai contoh kemerosotan teruk dari sebuah akhbar yang dihormati kerana berani menyampaikan kebenaran, jujur, dan berprinsip, menjadi sebuah “surat bohong” yang gemar membekalkan pembohongan dan tipu-daya.
Wartawan yang masih mempunyai harga diri tidak mungkin merasa bangga melihat perkara yang dilakukan oleh Utusan kini atas nama kewartawanan.