Sampai begini sekali rendahnya martabat Presiden MCA ke-10, mengidam kedudukan dalam Kabinet dan langsung melupakan kenangan dan perjuangan Presiden pertama MCA, Tun Tan Cheng Lock?
Daripada setakat melancarkan semula Sekolah Pengajian Politik MCA secara mekanikal dan forum Pemikiran Tun Tan Cheng Lock dengan kata-kata kosong, adalah lebih baik jika Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengenang kembali semangat dan perjuangan pengasas MCA itu dan menggunakan majlis itu untuk menunjukkan bahawa beliau seorang yang layak menggantikan Cheng Lock.
Pada tahun 1957, di bawah kepimpinan Cheng Lock sebagai Presiden MCA, bersama-sama pemimpin Perikatan lain, iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun V T Sambanthan, kepimpinan Perikatan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Reid menyatakan dengan terang dan tegas bahawa agama negara ini adalah Islam dengan jaminan pelaksanaan prinsip ini janganlah memberi kesusahan kepada warga bukan-Muslim yang menganut dan mengamalkan agama mereka, dan tidak pula bererti negara ini bukanlah sebuah negara sekular.
Apa yang telah dilakukan oleh Liow dan kepimpinan MCA untuk mempertahankan prinsip tanpa kompromi Cheng Lock sewaktu awal kemerdekaan bahawa Malaya dan kini Malaysia akan terus menjadi sebuah negara sekular?
Minggu lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom menyebut dalam jawapan kepada Ahli Parlimen DAP Sibu Oscar Ling Chai Yew bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara sekular disebabkan kedudukan istimewa agama Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Pada 27 Mac, Jamil memberitahu Parlimen bahawa kerajaan persekutuan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri PAS Kelantan untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.
Pada 24 April, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata di Alor Setar bahawa Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional tidak pernah menolak hudud.
Sekiranya Cheng Lock masih hidup hari ini, beliau pastinya akan terkedepan menyanggah ketiga-tiga kenyataan ini lantaran ia bertentangan secara total dengan prinsip asas Perlembagaan serta komitmen dan jaminan yang diberikan para pendiri Perikatan.
Adakah Liow menghayati kenangan dan mengikuti jejak langkah Cheng Lock?
Sekiranya pemimpin MCA masih menghormati dan mengenang Cheng Lock, Liow tidak akan membenarkan Menteri UMNO ataupun Perdana Menteri sendiri mengengkari peruntukan dan semangat Perlembagaan Merdeka bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Cheng Lock pastinya terkejut sekiranya presiden MCA seperti Liow hanya ghairah dengan kemungkinan untuk menyertai kembali Kabinet sebagai menteri secepat mungkin, mengharapkan Najib akan bermurah hati untuk memberikan MCA tiga jawatan menteri dan lima kedudukan timbalan menteri.
Sampai begini sekali rendahnya martabat Presiden MCA ke-10, mengidam kedudukan dalam Kabinet dan langsung melupakan kenangan dan perjuangan Presiden pertama MCA, Tun Tan Cheng Lock?