DAP mengalu-alukan respons positif Kabinet terhadap ajakan 'Sayangi dan Selamatkan Malaysia' Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengadakan Sidang Kemuncak Pimpinan BN/PR

DAP mengalu-alukan respons positif Kabinet terhadap ajakan "Sayangi dan Selamatkan Malaysia" Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengadakan Sidang Kemuncak Pimpinan BN/PR bagi mengukuhkan perpaduan nasional dan menggagalkan rancangan sekelompok kecil pengkhianat yang cuba menggoncang kestabilan Malaysia dengan mencetuskan satu lagi 13 Mei.

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah berulangkali menyampaikan ajakan berkenaan - seperti tercermin pada tiga Surat Terbuka saya kepada Perdana Menteri dan Kabinet pada 8, 22, dan 29 Januari lalu yang sentiasa menyebut tentang Sidang Kemuncak Barisan Nasional/Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan Malaysia.

Di bahagian penutup surat terbuka ketiga kepada Perdana Menteri dan Kabinet kelmarin, saya telah menggesa Perdana Menteri dan Kabinet untuk menyambut tindakan patriotik pimpinan Pakatan Rakyat - untuk bersama-sama memastikan Malaysia terus harmoni dan aman serta memastikan 13 Mei terus berkubur dalam lipatan sejarah.

Terdapat jurang perbezaan pandangan yang besar antara parti-parti dan para pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat tentang jalan politik yang perlu diambil oleh Malaysia setelah lebih separuh kurun pembentukan negara ini. Semua perbezaan pandangan ini dikemukakan secara demokratik dan diputuskan oleh rakyat Malaysia menerusi peti undi.

Namun, ada satu perkara yang wajib dipersetujui oleh kedua-dua BN dan PR jika kedua-dua pakatan ini patriotik, iaitu bahawa kedua-duanya perlu bersatu untuk menyelamatkan Malaysia daripada perancangan sekelompok kecil manusia tidak bertanggungjawab yang bersikap seperti pengkhianat yang cuba menggugat kestabilan dalam negara ini untuk mencetuskan satu lagi kejadian 13 Mei dengan secara terus-menerus mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan dan meningkatkan ketegangan dalam negara.

Saya setuju sepenuhnya dengan Najib yang menyebut dalam kenyataan beliau kelmarin bahawa untuk menjayakan "rancangan perpaduan" ini, semua pihak perlu komited untuk "tidak menyebarkan pembohongan dan fitnah serta mengkahiri politik kebencian."

Para pemimpin DAP dan PR telah sering menjadi mangsa politik pembohongan, fitnah, dan kebencian, maka terpulang kepada semua pemimpin politik daripada kedua-dua pihak BN dan PR untuk menunjukkan contoh politik Malaysia yang bersih daripada pembohongan, fitnah, dan kebencian yang telah menjadi kebiasaan terutamanya sejak lapan bulan yang lalu.

Seperti yang telah saya sebutkan, jika Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bersatu dalam tekad mereka, maka 13 Mei tidak akan berulang dan mereka akan berusaha sedaya-upaya untuk menentang golongan yang tidak henti-henti mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan.

Menurut Najib kelmarin, rancangan perpaduan ini tidak bererti kerajaan perpaduan akan dibentuk.

Penjelasan beliau itu wajar sekali kerana soal "kerajaan perpaduan" tidak pernah terlintas di fikiran mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat ketika kami berkali-kali mengemukakan saranan agar diadakan Sidang Kemuncak Pimpinan BN/PR bagi menangani krisis nasional yang sedang memuncak dalam negara.

Menurut Najib, kabinet kelmarin telah meneliti satu rancangan untuk mewujudkan dan mengembangkan sebuah persekitaran yang kondusif dan akan mengukuhkan perpaduan nasional menerusi perpaduan dan permuafakatan dalam negara berasaskan empat pendorong utama, iaitu faktor sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa.

Memandangkan Kabinet BN telah memberi respons positif terhadap cadangan untuk mengadakan Sidang Kemuncak Pimpinan BN/PR, sebuah sekretariat gabungan perlu dibentuk untuk merancang Sidang Kemuncak itu secara terperinci, termasuk rancangan perpaduan nasional kerajaan yang akan dbincangkan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebaik saja kami menerima perincian rancangan itu.

Saya pasti semua rakyat Malaysia akan merasa lega jika para pemimpin BN dan PR bersungguh-sungguh berusaha mewujudkan muafakat kebangsaan ke arah perpaduan dengan mencegah pihak yang cuba melaksanakan rancangan khianat mereka menerusi kegiatan mereka yang mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan serta cuba meningkatkan ketegangan dengan menyebarkan pembohongan dan fitnah.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah