PRU 14: Menuju Putrajaya! Menuju Nusajaya!
Kelmarin, Konvensyen DAP Johor telah memutuskan untuk meletakkan dua pemimpin sebagai jentera pemacu berkembar DAP Johor, iaitu Liew Chin Tong sebagai Pengerusi DAP Negeri dan Dr. Boo Cheng Hau sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Johor untuk meneruskan usaha menempatkan Johor sebagai negeri baris depan bagi Pakatan Rakyat di Semenanjung Malaysia dalam Pilihanraya Umum ke-14 untuk memastikan Pakatan Rakyat dapat menawan Putrajaya bagi membentuk kerajaan persekutuan Malaysia.
Tugas yang perlu dijalankan dengan segera oleh dua jentera pemacu berkembar kepimpinan DAP Johor ini ialah membentuk strategi bersama PAS dan PKR Johor untuk mengorak langkah pertama Pakatan Rakyat dalam pertempuran menawan Putrajaya dalam PRU14 - untuk merebut lapan kerusi marginal barisan Nasional dan lapan kerusi marginal DUN di Johor.
Kerusi marginal adalah kerusi yang dimenangi dengan undi sebanyak 55% atau kurang.
Berdasarkan keputusan Pilihanraya Umum 2013 dan sempadan kawasan pilihanraya yang ada sekarang, lapan kerusi parlimen marginal yang dipegang oleh Barisan Nasional ialah Labis, Pasir Gudang, Segamat, Muar, Tebrau, Ledang, Sekijang dan Pulai.
Lapan kerusi marginal DUN yang dipegang oleh Barisan Nasional ialah Paloh, Gambir, Mahkota, Pemanis, Bukit Naning, Sungai Balang, Senggarang dan Nusa Jaya.
Sambil menyusun strategi untuk memenangi lapan kerusi parlimen dan lapan kerusi DUN tersebut, DAP dan Pakatan Rakyat juga perlu memantapkan 5 kerusi parlimen yang telah dimenangi oleh PR, khususnya tiga kerusi marginal Batu Pahat, Bakri, dan Kluang, selain 18 kerusi DUN PR, khususnya sembilan kerusi marginal Jementah, Bekok, Tangkak, Parit Yaani, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Stulang, Pengkalan Rinting dan Pekan Nenas.
Semoga tahun baru 2014 bermula dengan pembaharuan tekad semua pemimpin dan anggota DAP, PAS, dan PKR untuk mencapai kejayaan dalam PRU14, dengan kesedaran penuh bahawa pertempuran PRU14 di Semenanjung Malaysia untuk menawan Putrajaya bakal ditentukan oleh Johor.
Langkah kedua bagi strategi PRU14 bukan sekadar untuk menawan Putrajaya. Menerusi kempen Impian Malaysia seperti yang boleh dilihat pada kempen Impian Johor, Impian Sabah, dan Impian Sarawak, diharapkan lebih separuh daripada kerusi DUN Johor dapat direbut untuk membolehkan PR menawan Nusajaya dan membentuk kerajaan negeri di Johor.
Semboyan yang harus dipakai oleh DAP dan Pakatan Rakyat sepanjang tempoh tiga hingga empat tahun mendatang menjelang PRU14 dengan itu ialah: Menuju Putrajaya! Menuju Nusajaya!