Pertempuran untuk PRU14 di Semenanjung Malaysia bermula dan berakhir di Johor

Pada November 2013, saya telah menggariskan strategi 12 mata untuk Pakatan menawan Putrajaya dalam PRU14.

Di Semenanjung Malaysia, Johor adalah kunci untuk membuka gerbang Putrajaya. Untuk Pakatan menawan Putrajaya, strategi tersebut perlu terlebih dahulu dijayakan di Johor.

Usaha menawan Johor bagi menawan Putrajaya dalam PRU14 adalah cabaran terbesar yang perlu ditanggapi oleh Konvensyen Negeri DAP yang akan diadakan di Batu Pahat pada hari Ahad nanti.

Dalam PRU13, Pakatan telah meleburkan status Johor sebagai negeri selamat untuk BN dengan memenangi 5 kerusi parlimen dan 18 kerusi negeri - satu pencapaian yang wajar untuk dibanggakan jika diambil kira jumlah sumber yang dikeluarkan oleh BN di negeri ini.

Namun pencapaian itu tidak mencukupi. Untuk mencapai matlamat menawan Putrajaya dalam PRU14, Pakatan perlu menetapkan sasaran untuk memenangi separuh daripada kerusi parlimen di Johor. Untuk mencapai sasaran ini, kita perlu terlebih dahulu mempertahankan kawasan marginal kita (Bakri dan Batu Pahat) dan kawasan yang baru dimenangi (Kluang, Kulai dan Gelang Patah). Setelah itu, kita mesti melakukan gerak menyerang untuk menawan kawasan marginal BN, iatu Segamat, Sekijang, Labis, Ledang, Muar, Tebrau, Pasir Gudang dan Pulai. Jika kita telah memenangi semua kawasan marginal BN sebelum ini, Pakatan mampu mengumpul 13 daripada 26 kerusi yang dipertandingkan dalam PRU13.

Matlamat yang hendak dicapai ini bukan mudah dan menuntut kita untuk menjayakan setiap perkara berikut yang terdapat dalam strategi 12 mata:

1. Komitmen penuh dan segera daripada ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat DAP, PKR, dan PAS di peringkat kebangsaan, negeri, atau tempatan, untuk meningkatkan sokongan orang awam sepanjang tempoh empat tahun mendatang bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan di Putrajaya pada PRU14

2. Memastikan persempadanan semula yang adil

3. Memberi penekanan terhadap kempen di luar bandar

4. Meningkatkan kerjasama Pakatan di semua peringkat

5. Memberi penekanan terhadap kepimpinan antara-generasi

6. Mematahkan pembohongan dan propaganda BN

Melihat kepada sistem sekarang yang tidak adil, perkara ke-2 di atas penting terutamanya di Johor. Kawasan parlimen terkecil di Johor, iaitu Labis, hanya mempunyai 37,714 pengundi dalam PRU13 berbanding 106,726 di Gelang Patah. Ertinya, bilangan pengundi di Gelang Patah adalah hampir tiga kali lipat lebih tinggi daripada bilangan pengundi di Labis.

Tidak cukup jika pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Tan Sri Abdul Aziz hanya berjanji untuk tidak mewujudkan kerusi yang mempunyai lebih daripada 100,000 pengundi dalam proses persempadanan semula akan datang.

Suruhanjaya Pilihanraya boleh memenuhi janjinya dengan melakukan persempadanan semula dan mengurangkan jumlah pengundi bagi kerusi seperti Gelang Patah, Pulai, dan Pasir Gudang yang mempunyai lebih daripada 100,000 pengundi kepada 80,000 hingga 90,000 pengundi, tetapi pada masa yang sama tidak adil dan tidak demokratik jika ia membentuk kerusi baru yang mempunyai kurang daripada 40,000 pengundi.

Inilah yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya dalam persempadanan semula tahun 2013 apabila ia membentuk kerusi Pengerang daripada parlimen Kota Tinggi, menghasilkan dua kerusi parlimen yang masing-masing mempunyai 32,484 dan 30,420 pengundi, sedangkan kerusi seperti Johor Bahru kekal dengan lebih 90,000 pengundi.

Untuk memastikan persempadanan semula yang adil, Suruhanjaya Pilihanraya tidak boleh hanya menambah kerusi baru di kawasan yang mempunyai jumlah pengundi yang tinggi, khususnya kawasan selatan Johor yang sedang mengalami pembangunan dan peningkatan penduduk yang pesat. Ia mesti juga memberikan komitmen untuk mengurangkan kesenjangan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Salah satu garis panduan yang adil yang boleh dipakai ialah dengan menetapkan supaya kerusi parlimen terkecil di Johor tidak mempunyai kurang daripada separuh jumlah pengundi berbanding kerusi terbesar di Johor. Penggunaan nisbah maksimum 2:1 antara kawasan bandar dan luar bandar akan memberi sumbangan besar ke arah mencapai matlamat melaksanakan persempadanan semula yang saksama.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah