Mesyuarat pertama Kabinet bagi tahun ini satu sandiwara - keputusannya untuk tidak membuat keputusan!
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menghilangkan diri selama sepuluh hari pada akhir tahun 2013 dan awal tahun 2014, membiarkan kerajaannya hanyut tana kemudi untuk menangani lima krisis nasional yang memuncak dalam tempoh itu - krisis pembinaan negara, ekonomi, pendidikan, keselamatan dan urus tadbir.
Setelah 10 hari menghilang - Jabatan Perdana Menteri sepatutnya memaklumkan kepada rakyat Malaysia ke mana Perdana Menteri menghilang antara 25 Disember 2013 dan 5 Januari - Najib muncul semua untuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama bagi tahun ini dan rakyat Malaysia menarik nafas lega kerana tempoh hanyut tanpa kepimpinan selama 10 hari itu akan berakhir.
Namun, yang menanti rakyat Malaysia adalah kekecewaan besar kerana tiada khabar didengar tentang mesyuarat Kabinet sepanjang hari kelmarin.
Hanya pagi ini akhbar Star berjudul "Decision soon on kalimah Allah" melaporkan bahawa menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Najib akan mengumumkan keputusan Kabinet tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslim.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan bila pengumuman akan dibuat - mungkin kerana memang beliau tidak tahu.
Namun, ada perkara lain yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet kelmarin yang nampaknya tidak diketahui Subramaniam jika dinilai berdasarkan laporan online oleh Star berjudul "Allah issue: Wait for court decision, says Jamil Khir" yang diterbitkan pada jam 2.05 petang tadi.
Berita online oleh Star itu melaporkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menggesa semua pihak untuk menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan tentang penggunaan kalimah Allah.
Apakah ini bererti Najib tidak akan membuat sebarang pengumuman sama ada tentang penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslim atau tentang serbuan haram Jais ke atas Persatuan Alkitab Malaysia dan bahawa Kabinet kelmarin memutuskan untuk tidak membuat sebarang keputusan?
Rakyat Malaysia tentu akan tertawa besar jika tidak kerana perkara yang sedang dihadapi adalah serius sehingga menyebabkan perpecahan dalam negara berikutan jurang perkauman dan keagamaan yang ada sekarang adalah yang paling luas dalam sejarah negara kita.
Sememangnya keputusan kabinet kelmarin adalah satu sandiwara besar - keputusannya untuk tidak membuat keputusan!
Tetapi persoalan yang kita hadapi adalah berat dan serius, maka elok kita kita mengingatkan Najib dan para Menteri Kabinet tentang kata-kata Edmund Burke: "The only thing necessary for the triumph of evil is for good men to do nothing." (Untuk memenangkan kejahatan, cukup dengan orang baik berpeluk tubuh)
Malaysia berhak mendapat jawapan bagi dua pertanyaan mudah:
- Pertama, apakah Perdana Menteri akan mengumumkan keputusan Kabinet tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh Muslim atau tidak; dan
- Kedua, apakah Najib dan Kabinet masih berpegang dengan Penyelesaian 10 Perkara untuk merungkai kontroversi Alkitab yang telah disahkan oleh Kabinet pada April 2011 - dan yang secara jelas telah dicabul dengan serbuan Jais ke atas Persatuan Alkitab Malaysia pada hari kedua tahun baru ini?
Dua hari lalu, Bernama menerbitkan kenyataan Ketua Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad yang menggambarkan pendirian beliau tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslim apabila beliau mempertikaikan niat Father Lawrence Andrew, penyunting mingguan Katolik Herald, dalam menggunakan kalimah Allah untuktuhan "memandangkan ia tidak pernah digunakan sejak Katolik Roman datang ke Melaka 500 tahun lalu."
Ujar Ketua Hakim: "Bagi saya, hanya ada satu niat. Beliau mahu memperdayakan Muslim dengan mengatakan bahawa kita masih boleh beriman dengan Allah dengan menyertai gereja kami."
Komen Ketua Hakim tentang isu yang belum dibicarakan di Mahkamah Persekutuan itu jelas menjejaskan kebebasan dan keadilan badan kehakiman.
Kenyataan yang patut disebut dan layak disokong adalah kenyataan Tan Sri Razali Ismail, Pengerusi Global Movement of Moderates Foundation (GMMF), yang mengajak rakyat Malaysia menolak "pendirian ekstrem" yang dipegang oleh "puak minoriti" dalam negara yang menentang penggunaan kalimah Allah oleh Kristian.
Menurut beliau, kontroversi itu tidak mewakili suara arus perdana di Malaysia.
Ujar beliau: "Kita tidak perlu merasa malu dengan pendapat pihak yang melakukan perkara begini atau agensi yang melakukan perkara begitu. Ia tidak menggambarkan kestabilan Malaysia.
"Pihak yang melihat dari luar mungkin tidak faham bahawa [kontroversi kalimah Allah] hanyalah satu sisi kecil dalam konteks Malaysia."
Apakah Najib dan Kabinet menyokng pendirian Pengerusi Global Movement of Moderates Foundation?