Rakyat Malaysia berhak tahu selepas mesyuarat Kabinet esok sama ada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri di bawah BN akan berhenti menyalurkan dana kepada kumpulan ekstremis, rasis dan pendukung ketuanan Melayu Perkasa

Dua minggu lalu terdedah maklumat bahawa Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan dana kepada kelompok ekstremis, rasis dan pendukung ketuanan Melayu Perkasa menerusi pelbagai agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Biro Tata Negara (BTN), dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), membolehkan Perkasa menjalankan kempen mengapi-apikan semangat perkauman dan menimbulkan ketegangan keagamaan untuk menyerang dasar 1Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perlu diakui bahawa kempen Perkasa menentang 1Malaysia dengan sokongan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad selama ini agak berjaya memandangkan sejak tujuh bulan yang lalu, selepas Pilihanraya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013, Najib belum menegaskan semula 1Malaysia sebagai dasar utama beliau di atas sebarang platform umum.

Najib meneruskan gimik 1Malaysia seperti Kedai Rakyat 1Malaysia dan klinik 1Malaysia, tetapi beliau sentiasa berhati-hati untuk tidak menyebut tentang matlamat 1Malaysia untuk membentuk sebuah Malaysia di mana rakyatnya mengutamakan sifat mereka sebagai warga Malaysia mengatasi latar kaum, agama, daerah dan status sosioekonomi.

Pendekatan "Malay first, Malaysian second" Perkasa dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tampak lebih mendapat tempat dalam kerajaan Umno/Barisan Nasional, sehinggakan Perkasa berani untuk menyatakan secara terbuka, dalam mesyuarat agung tahunannya dua ninggu lalu, kemungkinan untuk pertubuhan itu menggantikan Umno di masa depan.

Dalam berbalas hujah antara para pemimpin Umno dan Perkasa berkenaan ancaman Perkasa untuk menggantikan Umno, secara tidak sengaja terdedah maklumat tentang penyaluran dana oleh kerajaan kepada Perkasa untuk beberapa kegiatan dan program anti-Najib.

Memang kebenaran lebih aneh daripada cereka. Tiada siapa pernah membayangkan bahawa kerajaan Malaysia sanggup mempermainkan Perdana Menteri sendiri yang ke sana ke mari di atas pentas dunia untuk mempromosi "Global Movement of Moderates" dan menonjolkan dirinya sebagai model bagi moderat seluruh dunia sedangkan di tanahair, kerajaannya sendiri menyalurkan dana kepada Perkasa untuk menjalankan kempen ekstrem dan perkauman untuk menyerang dasar 1Malaysia Najib yang moderat dan inklusif.

Mesyuarat pertama Kabinet bagi tahun baru ini perlu menilai semula soal penyaluran dana oleh kerajaan kepada Perkasa bagi mengenal pasti siapa yang mensabotaj dasar 1Malaysia dan "Global Movement of Moderates" Najib.

Atau apakah sebenarnya Najib sendiri secara sengaja dan sedar cuba mensabotaj dasar utama beliau?

Seminggu yang lalu, saya telah mengemukakan sepuluh soalan kepada Najib, Menteri Kabinet dan para pemimpin Umno/Barisan Nasional tentang pendanaan Perkasa oleh Kerajaan yang saya sifatkan sebagai "penipuan paling keji oleh kerajaan sepanjang sejarah 56 tahun negara ini," termasuk:

  1. Bila kerajaan secara rahsia menyalurkan dana kepada Perkasa, dalam bentuk apa dan di bawah penyeliaan siapa? Bila kelulusan diberikan oleh Kabinet atau apakah pendanaan itu begitu sulit sehinggakan Kabinet sendiri tidak mengetahui tentangnya?
  2. Apakah rasional bagi penyaluran dana oleh kerajaan kepada Perkasa? Apakah Najib telah dipaksa oleh mantan perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, penasihat Perkasa, untuk menyalurkan dana rahsia kerajaan kepada Perkasa?
  3. Apakah ada agensi kerajaan yang lain selain MKN, BTN, dan Jasa di peringkat Persekutuan atau di peringkat negeri yang dikuasai BN yang telah menyalurkan dana kepada Perkasa sejak empat tahun lalu? Jika ada, kemukakan perinciannya.
  4. Bagaimana penyaluran dana secara rahsia oleh kerajaan kepada Perkasa dan NGO lain, menerusi pelbagai agensi kerajaan, boleh terlepas daripada perhatian Ketua Audit Negara sejak empat tahun lalu?
  5. Apakah Peguam Negara sedar tentang pakatan sulit kerajaan dengan Perkasa sehinggakan para pemimpin Perkasa kebal daripada pendakwaan dan penangkapan atas beberapa kegiatan jenayah, termasuk kenyataan dan ucapan menghasut yang pernah dikeluarkan oleh para pemimpin Perkasa, termasuk mengapi-apikan semangat perkauman, menimbulkan ketegangan keagamaan, mengancam berulangnya "13 Mei" dan untuk melancarkan "jihad" ke atas orang Kristian, selain mengeluarkan kenyataan tidak peka dan menghina agama Hindu?

Selain 10 soalan yang telah saya kemukakan dan masih belum dijawab, ada soalan kesebelas yang ingin diketahui oleh para pembayar cukai Malaysia selepas mesyuarat Kabinet esok - sama ada Kabinet telah mengeluarkan arahan kepada semua agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan agensi kerajaan negeri BN untuk menghentikan semua penyaluran dana kepada Perkasa.

Apakah Najib atau mana-mana menteri kabinet menjawab persoalan ini selepas mesyuarat Kabinet esok atau rakyat Malaysia perlu menunggu hingga bulan Mac apabila Parlimen bersidang semula dan soalan-soalan ini diajukan oleh Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah