Cadangan pertemuan antara para pemimpin tertinggi Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat untuk membincangkan agenda dan pelan induk Perpaduan Nasional bagi membina semula perpaduan

Tahun ini kita akan menyambut ulangtahun ke-50 pembentukan Malaysia yang telah berlangsung pada 16 September 1963.

Amat malang, menyedihkan, dan mengejutkan apabila ancaman terbesar terhadap perpaduan dan solidariti Malaysia sepanjang tempoh 50 tahun pembentukannya timbul pada tahun ini - serbuan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Persatuan Alkitab Malaysia (BSM) serta rampasan ke atas Alkitab berbahasa Melayu dan Iban kelmarin.

Tidak keterlaluan kalau disebut bahawa serbuan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh Jais serta rampasan ke atas Alkitab berbahasa Melayu dan Iban itu sebagai tamparan terhebat terhadap perpaduan dan proses pembentukan negara Malaysia yang telah berlangsung selama 50 tahun serta mampu menimbulkan perpecahan, pertelagahan dan malah menggoyangkan negara.

Saya setuju sepenuhnya dengan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) bahawa serbuan dan rampasan ke atas Alkitab berbahasa Melayu dan Iban itu mencabul kebebasan beragama para penganut Kristian yang dijamin oleh perlembahaan dan merupakan "serangan agresif" terhadap hubungan antara agama di Malaysia.

Lebih serius daripada itu, tindakan tersebut amat menjejaskan usaha pembangunan negara yang berlangsung sejak lima dekad yang lalu, menggoncang asas masyarakat Malaysia yang berbilang agama, dan menimbulkan pertanyaan di kalangan rakyat Sabah dan Sarawak sama ada syarat-syarat asasi yang disepakati ketika mereka bersetuju untuk menyertai negeri-negeri Semenanjung - 20 perkara untuk Sabah dan 18 perkara untuk Sarawak - bagi membentuk persekutuan Malaysia serta perjanjian-perjanjian lain yang telah dipersetujui oleh Putrajaya, misalnya Penyelesaian 10 Perkara berkenaan kontroversi Alkitab, akan dipenuhi.

Justeru itulah rakyat Sarawak dan Sabah, termasuk daripada kem Barisan Nasional, memberikan reaksi keras terhadap serbuan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh Jais ke atas (BSM) serta rampasan ke atas Alkitab berbahasa Melayu dan Iban.

Sebagai contoh, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr. James Masing secara tidak berlapik telah mengecam sikap "penakut" dan "berhati-hati secara keterlaluan" para pemimpin kerajaan pusat dalam menangani isu kalimah Allah dengan memperkenalkan "dasar yang tidak munasabah demi memuaskan hati setiap orang."

Menurut beliau, menteri-menteri Kabinet "seharusnya bersikap berani dalam mengambil pendirian dan memberikan kata putus peraturan keagamaan mana yang perlu dipatuhi oleh rakyat Malaysia."

Menurut beliau, serbuan itu "menggambarkan sebuah dasar yang tersasar," dan menegaskan"

Tidak wajar untuk sebuah negara mengamalkan dua jenis undang-undang keagamaan untuk isu yang sama. Pendekatan ini tidak akan berhasil. Ia tidak mungkin berhasil. Para pemimpin Malaysia perlu memberikan kata putus peraturan keagamaan mana yang perlu dipatuhi rakyat Malaysia.

"Cara ini lebih jelas untuk rakyat Malaysia. Peraturan berkenaan harus diterapkan untuk semua, sama ada bagi yang tinggal di Lubok Antu (di Sarawak), Pulau Penyu (Sabah) atau pun Kuala Perlis."

Menurut Masing, dasar kerajaan berkenaan isu kalimah Allah tidak berasaskan prinsip, sebaliknya dirumuskan untuk memuaskan hati semua pihak dan ia meningkatkan ketegangan keagamaan dalam negara ini.

Menurut beliau lagi, dasar keagamaan tidak seharusnya berasaskan kepentingan politik.

"Ia mesti berasaskan prinsip keagamaan yang kukuh yang telah ditempa oleh hikmah ilahiah selama berkurun-kurun."

Masing mengingatkan para pemimpin kerajaan pusat bahawa rakyat Sabah dan Sarawak melakukan perjalanan.

"Mereka ke Semenanjung untuk bekerja. Mana mungkin mereka dibenarkan untuk menggunakan kalimah itu di satu bahagian negara dan dilarang daripada menggunakannya di satu bahagian negara yang lain?"

Masing membangkitkan perkara paling relevan apabila beliau bertanya mengapa penggunaan kalimah itu menjadi satu isu sekarang.

"Mengapa ia menjadi masalah sekarang? Mengapa Muslim di Semenanjung tiba-tiba memegang hak cipta ke atas perkataan tersebut?"

Beliau bertanya sama ada kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan telah diketepikan dan digantikan dengan "kebebasan beragama secara terbatas."

"Apakah kita mempunyai kebebasan beragama atau apakah ia dibataskan kini?"

Di Sabah, bekas Menteri Kabinet dan Presiden UPKO, parti komponen Barisan Nasional, Tan Sri Bernard Dompok telah mengingatkan Kerajaan Persekutuan bahawa serbuan berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan berlawanan dengan semangat Penyelesaian 10 Perkara yang dicapai oleh kerajaan dan kelompok Kristian serta telah disahkan oleh Kabinet pada April 2011.

Menurut Penyelesaian 10 Perkara yang diumumkan pada tahun 2011 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Idris Jala, Putrajaya membenarkan Alkitab diimport dalam semua bahasa, termasuk edisi Bahasa Malaysia/Indonesia.

Penyelesaian itu juga menyebut bahawa Alkitab boleh dicetak dalam negara di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Saya ingin mengingatkan Najib tentang janjinya dalam Perutusan Tahun Baru tiga hari lalu bahawa dalam tahun baru 2014 rakyat Malaysia tidak lagi akan berpecah-belah dan berselisih seperti pada tahun pilihanraya umum 2013.

Kata Najib:

"Saya percaya Malaysia sudah cukup matang untuk mengharungi debat-debat yang getir. Perpecahan antara kita akan berakhir dengan masa, di mana kita boleh sama-sama melihat negara kita terus membangun dan jadi dewasa, kita juga akan melihat bahawa mereka yang tidak sependapat dengan kita kekal menjadijiran-jiran, rakan-rakan sekerja - dan sahabat-sahabat kita. Namun saya juga percaya bahawa kita harus memperkukuhkan komitmen kita terhadap perpaduan yang selama ini menjadi asas kukuh negara kita.

Kita harus aktif dalam usaha menggapai perpaduan. Kestabilan dan kemajuan kita bergantung kepada tampuk perpaduan ini. Di atas paksi yang sama, saya telah menubuhkan Majlis Perundingan Perpaduan Negara, yang akan melaporkan kepada Jemaah Menteri segala cadangan yang boleh kita lakukan untuk merapatkan lagi rakyat Malaysia.

Tanggungjawab kerajaan - dan keutamaan saya - adalah untuk memastikan keamanan, kestabilan dan kemajuan berterusan kerana masa depan negara bergantung kepada faktor-faktor ini. Membina semula perpaduan negara, dan menggalakkan debat umum yang berlandaskan rasa hormat menjadi sebahagian besar daripada rancangan ini. Apabila tahun baru menjelma, anda akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang bagaimana kerajaan akan melaksanakan dasar ini."

Tiada siapa menaruh harapan tinggi pada Majlis Perundingan Perpaduan Negara untuk memberi sebarang dampak penting, khususnya apabila dalam tempoh kurang daripada 48 jam Perdana Menteri menyampaikan Perutusan Tahun Baru 2014 Malaysia terjerumus ke dalam salah satu babak perpecahan dan pertelagahan paling buruk sehingga menimbulkan persoalan tentang jaminan kebebasan beragama yang diberikan perlembagaan serta semua persoalan hak asasi yang lain.

Perdana Menteri tidak kelihatan dan suaranya tidak kita dengar. Rakyat Malaysia tidak tahu sama ada beliau berada dalam negara atau di luar. Timbalan Perdana Menteri menyimbah minyak ke dalam api, manakala menteri-menteri kabinet semua menyembunyikan diri.

Bukan ini caranya mentadbir negara atau menunaikan janji Najib dalam Perutusan Tahun Baru beliau bahawa rakyat Malaysia akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang bagaimana kerajaan akan membina semula perpaduan nasional.

Kerajaan tampaknya hilang punca untuk membina semula perpaduan nasional, maka saya mencadangkan supaya diadakan pertemuan antara pemimpin-pemimpin tertinggi Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat untuk membincangkan agenda dan pelan induk Perpaduan Nasional bagi membina semula perpaduan nasional.

Pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat perlu bertemu dalam tempoh seminggu dua ini untuk membincangkan agenda dan pelan induk Perpaduan Nasional bagi membina semula perpaduan nasional.

Kini terserah kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri Barisan Nasional untuk mengambil langkah yang wajar.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah