Najib perlu segera jelaskan catatan blog beliau

Misteri terbesar yang menyelubungi kita kini di bawah kepimpinan Najib adalah Rancangan Perpaduan Nasional (RPN) yang beliau umumkan selepas mesyuarat Kabinet pada 29 Januari dan dicatatkan dalam blog beliau sekitar seminggu yang lalu, iaitu pada 25 Februari, memandangkan sebelum itu tiada siapa pernah mendengar tentang RPN.

Lebih menghairankan, tiada seorang pun Menteri Kabinet yang lain, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup yang menjaga portfolio perpaduan negara, pernah menyebut tentang RPN sebelum atau selepas mesyuarat Kabinet pada 29 Januari lalu.

Nampaknya, selain Najib, tiada siapa dalam Kabinet dan Kerajaan yang mempunyai pengetahuan tentang RPN.

Ada dua persoalan timbul tentang mesyuarat Kabinet pada 29 Januari lalu dan catatan blog Najib tiga hari lalu.

Pertama, persoalan yang timbul setelah Najib buat pertama kali menyebut tentang RPN pada 29 Januari lalu dalam kenyataan selepas mesyuarat Kabinet, apabila beliau menyebut bahawa “dalam mesyuarat kabinet hari ini, anggota Kabinet telah meneliti suatu rancangan untuk membentuk persekitaran yang kondusif dan akan membantu membentuk perpaduan nasional menerusi kesatuan dan kesepakatan dalam negara” dan setelah beliau menyebut buat kali kedua tentang RPN dalam blog beliau tiga hari lalu bahawa RPN akan didedahkan dan dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan mendatang.

Mengapa Najib menampilkan RPN seperti persembahan tarian bogel dengan membuat pendedahan sedikit demi sedikit? Mengapa beliau tidak mendedahkan keseluruhan RPN sekaligus kepada orang awam?

Apakah Kabinet telah meluluskan RPN dalam mesyuarat pada 29 Januari lalu dan mengapa RPN yang telah diteliti oleh Kabinet itu tidak terus dibentangkan kepada orang ramai untuk membolehkan mereka memberi maklum-balas supaya rancangan itu dapat menjadi pelan induk perpaduan negara yang menyeluruh dan inklusif?

Seperti yang sama telah sebutkan dalam Surat Terbuka ketiga saya kepada Perdana Menteri dan Kabinet sebelum mesyuarat pada 29 Januari itu, saya mengalu-alukan kenyataan Najib sebelum itu yang menyebut bahawa beliau akan membawa saranan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya diadakan “kesepakatan kebangsaan” ke dalam mesyuarat Kabinet.

Malah, ketiga-tiga Surat Terbuka saya kepada Perdana Menteri dan Kabinet sepanjang Januari tahun ini sentiasa menyeru mereka untuk menyambut pelawaan kepimpinan Pakatan Rakyat “untuk menyayangi dan menyelamatkan Malaysia” dengan memelihara perpaduan, keharmonian, dan toleransi dalam negara dan untuk mengambil tindakan tegas bagi mematahkan sebarang rencana jahat untuk menimbulkan kekacauan dan ketegangan perkauman dan keagamaan menerusi perbuatan menghasut dan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan di Malaysia.

Tiga puluh hari telah berlalu sejak mesyuarat Kabinet pada 29 Januari lalu. Mengapa Perdana Menteri atau wakilnya masih tidak membuat tindakan susulan bagi keputusan Kabinet pada 29 Januari itu dengan menghubungi pemimpin Pakatan Rakyat untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Pimpinan Barisan Nasional-Pakatan Rakyat berkenaan perpaduan dan kesepakatan nasional?

Pada 10 Februari lalu, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang telah dilantik oleh Kabinet untuk berhubung dengan Pakatan Rakyat berkenaan cadangan dialog perpaduan nasional itu menyebut bahawa Barisan Nasional perlu berbincang terlebih dahulu tentang perkara berkenaan kerana setakat ini hanya Umno yang telah menyatakan persetujuan.

Menurut Tengku Adnan, sebaik saja mendapat persetujuan parti-parti BN yang lain, beliau akan menghubungi PR untuk menetapkan tarikh.

Tiga puluh hari telah berlalu sejak mesyuarat Kabinet pada 29 Januari lalu dan Majlis Tertinggi BN belum bersidang dan membuat keputusan tentang cadangan berkenaan atau menghubungi Pakatan Rakyat. Ini menunjukkan sikap amat tidak bertanggungjawab dalam keadaan jurang perkauman dan keagamaan semakin luas berikutan tiadanya tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk menangani perbuatan sesetengah pihak yang tidak henti-henti meniup bara perkauman dan keagamaan menerusi penyebaran fitnah dan pembohongan.

Kegagalan kerajaan untuk bertindak menangani isu penting dalam negara menyebabkan lebih banyak berlaku peristiwa yang dapat meningkatkan ketegangan, antaranya tunjuk perasaan “tampar dan ayam” pada 6 Februari lalu oleh “Majlis NGO Islam”.

Kelmarin, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sekali lagi digertak apabila Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Selangor telah memberikan beliau tempoh 10 hari untuk meminta maaf berikutan penerbitan video “Onederful Malaysia CNY 2014”. Mereka menuduh Teresa menghina pasukan keselamatan berkaitan tragedi Lahad Datu, sedangkan video beliau sama sekali tidak menyebut tentang insiden tersebut, dan mengamcam untuk menggerakkan satu “batalion” untuk membantah Teresa!

Ini membawa kita kepada catatan blog Najib tiga hari lalu, menimbulkan persoalan sama ada polis, Peguam Negara, dan kerajaan tidak bertindak sepanjang 30 hari lalu kerana Perdana Menteri telah menasihatkan bahawa respons terbaik terhadap puak penghasut dan pelampau ialah dengan “mengabaikan” mereka, bukannya mengutuk atau memberikan perhatian kepada mereka!

Tentunya Najib perdana menteri pertama di dunia memberikan nasihat kepada semua, termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang seperti polis dan pejabat Peguam Negara, untuk mengabaikan pihak yang melanggar undang-undang seperti para penghasut dan pelampau yang tidak henti-henti meniup bara perkauman dan keagamaan menerusi penyebaran fitnah dan pembohongan dengan tujuan menimbulkan kacau-bilau perkauman dan keagamaan.

Jika ini bukan niat Najib, beliau sepatutnya menjelaskan dengan segera maksud catatan blog beliau itu dan mengisytiharkan bahawa sebagai Perdana Menteri, beliau mahu semua agensi penguatkuasaan undang-undang menegakkan undang-undang dan tidak memberi muka kepada puak penghasut dan pelampau yang cuba melaga-lagakan kaum dan agama.

Apakah Najib sanggup membuat penjelasan sedemikian sebelum kredibiliti beliau sebagai Perdana Menteri dan kerajaan makin calar?

Malah, saya menyeru Najib untuk segera menjelaskan bahawa catatan blog beliau bukan arahan untuk menghalang polis, Pejabat Peguam Negara, dan semua agensi penguatkuasaan undang-undang dari menjalankan kewajipan mereka untuk tidak memberi muka kepada para penghasut dan pelampau yang tidak henti-henti meniup bara kebencian perkauman dan keagamaan..

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah