Najib perlu mendedahkan RPN supaya orang ramai dapat memberi maklum balas sebelum rancangan itu diputuskan

Dalam catatan blog beliau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Rancangan Perpaduan Nasional (RPN) “akan didedahkan dan dilaksanakan dalam masa beberapa bulan ke depan” sebagai hasil dari “berbulan-bulan menjalankan kerja secara senyap.”

Ini adalah kali kedua Najib menyebut tentang Rancangan Perpaduan Nasional.

Kali pertama beliau menyebutnya selepas mesyuarat Kabinet pada 29 Januari lalu ketika mengumumkan bahawa para Menteri telah meneliti Rancangan Perpaduan Nasional “untuk membentuk dan mengembangkan persekitaran yang kondusif untuk meningkatkan perpaduan nasional menerusi kesatuan dan kesepakatan dalam negara.”

Menurut beliau, Rancangan Perpaduan Nasional dibuat berasaskan empat pendorong, iaitu faktor sosial, politik, kerajaan, dan hubungan antarabangsa, selain berasaskan prinsip-prinsip demokrasi.

Sebelum 29 Januari, tiada siapa pernah mendengar tentang Rancangan Perpaduan Nasional.

Siapa yang merangka Rancangan Perpaduan Nasional ini dan pihak mana pula yang telah dirundingi? Sehingga kini, semuanya masih kekal sebagai satu misteri.

Kalau kerajaan sememangnya telah mempunyai Rancangan Perpaduan Nasional yang telah diluluskan oleh Kabinet dan akan didedahkan dalam tempoh beberapa bulan ke depan dan diterajui pelaksanaannya oleh Perdana Menteri, mengapa dan apa gunanya Majlis Perundingan Perpaduan Negara (MPPN) mengadakan jelajah ke seluruh negara untuk mengadakan dialog bagi mengumpul maklum balas dari orang ramai tentang perpaduan nasional dan keharmonian antara kaum sebelum Pelan Induk Perpaduan Negara (PIPN) mula dirangka – dengan MPPN telah memperuntukkan masa dua tahun untuk menyiapkan PIPN di samping laporan awal dalam jangkamasa enam bulan.

Apakah dialog MPPN di Kuala Lumpur, Seremban, dan Melaka minggu lalu, serta Johor, Kelantan, dan Terengganu minggu ini, serta di Sabah dan Pahang (8 dan 9 Mac), Labuan, Kelantan dan Terengganu (15 Mac), Perlis dan Perak (16 Mac), Sibu dan Miri (23 dan 24 Mac) dan pusingan terakhir di Kuala Lumpur pada 30 Mac nanti akan menjadi suatu pengulangan yang sia-sia dan membazirkan tenaga dan masa?

Apakah anggota-anggota MPPN telah diberikan salinan RPN untuk panduan dan rujukan mereka sepanjang jelajah seluruh negara atau RPN masih tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi?

Najib sepatutnya mendedahkan Rancangan Perpaduan Nasional (RPN) supaya orang ramai dapat memberi maklum balas sebelum rancangan itu diputuskan agar ia terhasil sebagai pelan tindakan yang komprehensif dan inklusif bagi memulihkan perpaduan dan kesepakatan nasional dalam negara.

Saya juga meminta Perdana Menteri memastikan dengan segera bahawa semua Ahli Parlimen dari Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat diberikan salinan Rancangan Perpaduan Nasional yang telah diluluskan oleh Kabinet pada 29 Januari untuk membolehkan Ahli-ahli Parlimen membahaskan RPN dalam sesi Parlimen yang akan bermula dua minggu lagi.

Najib tidak pernah berhenti mendabik dada sebagai orang pertama bercakap tentang “perdamaian kebangsaan” sejurus selepas Pilihanraya Umum ke-13, tetapi Najib juga adalah orang yang pertama memberikan tanggapan salah tentang pilihanraya umum itu sebagai “tsunami Cina” sedangkan pada hakikatnya ia adalah tsunami rakyat Malaysia, atau tsunami penduduk bandar.

Saya mengakui bahawa Najib adalah orang pertama menyebut tentang “perdamaian kebangsaan” selepas PRU13, tetapi sepanjang sepuluh bulan yang lalu beliau tidak melakukan apa-apa untuk memberi pengisian dan menggerakkan proses perdamaian kebangsaan. Lebih parah lagi, beliau hanya mendiamkan diri apabila pihak yang tidak bertanggungjawab mula mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan dengan cara menyebarkan pembohongan untuk menimbulkan ketegangan dalam negara.

Akibatnya, sepanjang 10 bulan lalu kita menyaksikan jurang antara kaum dan agama yang paling luas dalam sejarah 56 tahun negara.

Saya tidak selalu bersetuju dengan Tun Daim Zainuddin, tetapi saya setuju apabila mantan Menteri Kewangan itu dalam wawancara dengan KiniBiz menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa “Islam sedang diancam di Malaysia”, menyatakan rasa kecewanya dengan Najib yang tidak menunjukkan daya kepimpinan yang mantap, dan menegaskan bahawa rakyat Malaysia mahukan keamanan dan kestabilan.

Saya setuju sepenuhnya dengan Daim apabila beliau menyebut: “Jika ada pihak mahu menimbulkan masalah, kekang mereka. Undang-undang yang ada memadai untuk menangani perkara ini. Kalau kita bertangguh dan berlengah, orang akan mengambil kesempatan. Itulah bahayanya.”

Di situlah kegagalan Najib, seperti yang boleh kita lihat sepanjang 10 bulan lalu apabila kerajaan dan polis gagal bertindak ke atas pihak yang bertanggungjawab secara terus-menerus mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan dengan menyebarkan pembohongan, terutama akhbar Umno Utusan Malaysia.

Langkah Najib mengabaikan para penghasut dan pelampau yang tidak henti-henti mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan dengan menyebarkan pembohongan mengingatkan kita kepada kata-kata terkenal Edmund Burke: “Untuk kejahatan menang, cukup dengan orang baik yang tidak berbuat apa-apa.”

Semua warga Malaysia, lelaki, perempuan, Melayu, Cina, India, Orang Asli, Kadazan, Iban, Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao tidak harus berpeluk tubuh kerana mereka tidak boleh membiarkan kejahatan menang di Malaysia.

Atas sebab inilah kempen “Walk in the Park” yang digerakkan oleh sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai “Malaysians for Malaysia” dan dilancarkan oleh aktivis masyarakat Azrul Mohd Khalib sebagai usaha menolak keganasan, kekerasan, dan ketaksuban, serta mendukung toleransi, keamanan, dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama perlu disokong oleh semua warga Malaysia bagi mencegah kejahatan dari bertakhta di tanahair kita yang tercinta.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah