Semua tindakan tatatertib terhadap ketua SGMM Nor Izzat dan guru-guru yang mengkritik PBS perlu dibatalkan serta-merta
Tindakan menggantung pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) oleh Kementerian Pendidikan sepatutnya diikuti dengan pembatalan semua tindakan tatatertib terhadap ketua Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) Mohd Nor Izzat Mohd Johari dan guru-guru yang mengkritik PBS.
Tindakan Kementerian Pendidikan menghukum Nor Izzat dan guru-guru yang tampil mengkritik PBS adalah tidak wajar sama-sekali dan boleh dianggap sebagai tindakan jahat dan pengecut untuk menghalang kritikan yang munasabah dalam perkhidmatan pendidikan.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memberi perhatian peribadi beliau untuk memastikan semua tindakan tatatertib terhadap Nor Izzat dan guru-guru yang mengkritik PBS dibatalkan serta-merta.
Pelaksanaan PBS telah menyebabkan guru-guru menjadi seperti kerani pencatat data, memaksa mereka bangun pada jam 2-3 pagi untuk memasukkan markah pelajar berikutan masalah jaringan online. Masalah ini sepatutnya menjadi pengajaran berharga dalam usaha untuk mengubah sistem pendidikan negara.
Nor Izzat dan semua guru yang tampil untuk mengkritik PBS sepatutnya dijemput oleh Kementerian Pendidikan untuk terlibat dalam penilaian terhadap PBS.
Masalah dalam pelaksanaan PBS mencerminkan jurang dan bencana yang menanti usaha transformasi pendidikan negara yang dibuat berasaskan satu pelan induk pendidikan yang disediakan oleh perunding asing yang dibayar dengan upah yang tinggi dan bukannya dihasilkan oleh pakar-pakar pendidikan tempatan.
Muhyiddin perlu memberi laporan penuh kepada Parlimen bulan depan berkenaan masalah pelaksanaan PBS.